Polis Tembak Mati Dua Daripada Tujuh Suspek Lolos Daripada Tahanan

Thursday, January 10, 2013 by
Polis Pulau Pinang mengesahkan dua suspek yang ditembak mati di Padang Ibu di Permatang Pauh, Pulau Pinang tengahari ini adalah Joe Mafia atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy.'. 

l
 Anggota polis membawa keluar mayat seorang banduan yang ditembak mati di perkampungan Padang Ibu, berhampiran Kampung Pelet, Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.Dalam kejadian tersebut polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah berjaya meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Mahkamah Butterworth Isnin lepas.




Mohd Fairuz Adam, 31, atau 'Joe Mafia.'


Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy.'
 


Sebuah helikopter polis berlegar di atas kereta suspek yang digunakan untuk melarikan diri di Kampung Padang Ibu di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Khamis. Dua daripada tujuh tahanan yang melarikan diri ketika di bawa ke Mahkamah Butterworth ditembak mati oleh polis pada pukul 1 petang tadi.



BUKIT MERTAJAM: Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kedua-dua penjenayah itu ialah Mohd Fairuz Adam yang dikenali sebagai Joe Mafia dan
Mohd Noor Mohd Mustaffa, juga daripada geng Joe Mafia.

"Siasatan awal polis mendapati mereka cuba keluar dari negeri ini. Kereta yang digunakan pula dipercayai diperoleh daripada geng Joe Mafia yang masih bebas," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai dua penjenayah itu pada pukul 12.30 tengah hari di sekitar Kubang Semang dan berjaya menjejaki mereka 15 minit kemudian.


Polis berjaya menembak mati dua daripada tujuh tahanan yang melarikan diri.

"Polis mengarahkan mereka memberhentikan kenderaan tetapi mereka ingkar dan terus memecutkan kereta menghala ke Kampung Padang Ibu berhampiran Kampung Pelet.

"Penjenayah itu kemudiannya masuk ke laluan mini tar (jalan kampung) dan polis terus mengejar mereka lebih kurang tiga kilometer lagi sebelum melepaskan tembakan pada tayar kereta menyebabkan pemandunya hilang kawalan," katanya.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki penjenayah itu kemudiannya terbabas ke tebing tali air dan di situ berlaku tembak menembak dengan anggota polis yang mengejar mereka.

Siasatan awal polis mendapati pistol yang digunakan oleh penjenayah berkenaan diperolehi daripada geng Joe Mafia.

Abdul Rahim berkata, polis kini meneruskan usaha memburu lima lagi penjenayah yang masih bebas dan operasi itu membabitkan 259 anggota termasuk daripada Unit Udara dan Pasukan Gerakan Am (PGA).


Polis menggunakan anjing daripada Unit K9 untuk mengesan suspek yang melarikan diri di kawasan ladang kelapa sawit.
 

"Kesemua penjenayah ini bergerak dalam dua kumpulan, satu kumpulan adalah geng Joe Mafia yang berjaya ditembak mati hari ini manakala lima lagi bergerak dalam kumpulan lain. Kami nasihatkan mereka menyerah diri," katanya.

Beliau berkata, polis juga menerima maklumat awam mengenai seorang daripada penjenayah iaitu Mohd Sharimy Nor didapati membeli bekalan makanan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kulim-Butterworth dekat sini pada pukul 2 pagi.

Abdul Rahim turut menasihat orang awam agar tidak memberi perlindungan kepada lima penjenayah terbabit dan jika didapati ada yang memberi perlindungan, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan.

"Siasatan polis juga mendapati ada orang awam yang memberi penjenayah ini makanan seperti roti, kami harap orang awam dapat beri kerjasama kepada polis," katanya.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor, manakala tujuh lagi melarikan diri ke sekitar kawasan ladang sawit di Ara Kuda. BERNAMA