Penduduk Kampung Gempar Helikopter PDRM Terhempas Di Depan Mata

Thursday, January 01, 2015 by
KEADAAN helikopter Ecureuil Unit Udara Polis yang terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir pada jam 6.15 petang tadi. 


TANAH MERAH: Penduduk Kampung Rambai di sini gempar apabila sebuah helikopter jenis Ecureuill AS 355F2 milik Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas pada 6.30 petang tadi, selepas berlegar-legar di ruang udara kampung itu.

Beberapa saksi yang ditemui berkata, helikopter itu dilihat terbang rendah dan berlegar-legar sebanyak dua pusingan, sebelum kedengaran seperti letupan dan terus menjunam ke darat.

Anggota misi kemanusiaan dari Kuala Lumpur, Mohd Zulhasnan Abdullah yang ketika itu sedang mengagih-agihkan bekalan di kampung itu berkata, beliau dan pasukannya menyangkakan pada mulanya helikopter itu terbang rendah kerana mahu menurunkan bekalan makanan.


"Melihat keadaan itu (helikopter terbang rendah), orang kampung rasa seronok dan berkumpul untuk melihatnya.

"Tiba-tiba helikopter jadi tak seimbang dan jatuh menjunam betul-betul di depan mata kami. Bila melihat keadaan itu, kami dan orang kampung berpusu-pusu pergi sana dan kami membawa keluar empat orang - tiga lelaki dan seorang wanita," katanya ketika ditemui di kampung itu, di sini hari ini.

Mohd Zulhasnan berkata, beliau dan rakan-rakannya mendapati tiga orang lelaki cedera parah di bahagian kepala manakala seorang wanita hanya cedera ringan dan mengadu pening.

"Kami, dengan bantuan orang kampung, memasukkan dua orang mangsa lelaki pertama ke dalam kereta Perodua Alza, manakala dua lagi dimasukkan dalam Triton milik saya untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu, dan memberitahu Bernama bahawa semua di dalam helikopter itu selamat dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

"Alhamdulillah dua juruterbang dan dua kru terselamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung Saifulizam Mohamad, 40, berkata, walaupun ketiga-tiga mangsa lelaki cedera parah, mereka masih dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, selepas orang ramai berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa dari bangkai helikopter itu, ketiga-tiga lelaki itu dibaringkan di halaman rumah beliau, manakala wanita itu masih boleh berjalan sendiri.

"Sebab saya ada bertanya kepada lelaki itu, berapa orang di dalam helikopter, dan beliau menjawab empat. Saya cuba nak pastikan sama ada beliau masih sedar," katanya.

Seorang lagi saksi, Zaisa Mohd Zin, 31, berkata, beliau berasa pelik apabila melihat helikopter itu terbang rendah berhampiran kawasan rumahnya, menyebabkan beliau terasa ingin merakam kejadian itu.

"Tapi dalam saya cuba nak capai handphone, tiba-tiba terdengar dentuman dan saya lari keluar, melihat helikopter itu sudah terhempas di darat.

"Tapi nasib baik kebetulan ada beberapa orang doktor yang sedang berada di kampung kami tengah membantu agih-agihkan makanan di madrasah berhampiran. Saya tengok mereka sempat memberi rawatan awal, termasuk memberi oksigen menggunakan topeng," katanya.

 
PENDUDUK kampung melihat keadaan helikopter Ecureuil Unit Udara Polis yang terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir pada jam 6.15 petang tadi. 

 
Kejadian helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Kampung Rambai, Tanah Merah, Kelantan hari ini adalah yang ketiga membabitkan helikopter pasukan itu dalam tempoh 15 tahun, kebetulan daripada jenis yang sama iaitu AS355 Ecureuil buatan Perancis.

Dalam insiden kemalangan terbaharu pada 6.30 petang tadi, dua juruterbang pesawat berkenaan bersama dua kru terselamat tetapi mengalami kecederaan pada anggota badan.

Sebelum ini, sebuah helikopter PDRM terhempas pada 14 Disember 2010 yang mengorbankan seorang juruterbang pelatih polis, Inspektor Mohammad Sukri Othman, 31.

Helikopter yang dipandu Mohammad Sukri terhempas di kawasan bekas lombong di Malim Nawar, dekat Kampar, Perak, semasa beliau menjalani sesi latihan penerbangan solo.

Pada 10 Februari 1999, tiga anggota unit PDRM dan dua kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan cedera apabila helikopter yang mereka naiki, terhempas ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ketika itu mereka terbabit dalam tugasan menjalankan kerja pemantauan alam sekitar melalui udara.

Sehingga kini PDRM mempunyai 10 helikopter dan beberapa pesawat Pilatus, Cessna and Beech craft King Air 350.

(Kredit: BERNAMA)

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©