Anggota-Angota Polis Wanita Afghanistan sedang bertugas mengawal penunjuk-penunjuk perasaan. (Gambar Fail)
Sejurus menyertai pasukan Polis Kebangsaan Afghanistan, Friba memberi dirinya gelaran ‘naga’ dan berikrar untuk menegakkan undang-undang di tanah airnya yang sentiasa huru-hara.
Kini selepas lima tahun, dia sudah terasa penat. Penat untuk menepis gangguan seksual daripada rakan sekerja lelaki, bimbang jika bajet untuk anggota keselamatan wanita dikurangkan dan takut sekiranya kerajaan mengetepikan mereka.
Wanita dalam pasukan polis dijadikan sebagai pameran bagi usaha sama Afghanistan - Barat untuk mempromosikan hak penduduk dalam era baru Afghanistan yang lahir daripada sikap optimis masyarakat selepas tumbangnya kuasa Taliban pada 2001.
Imej polis wanita memegang senjata disiarkan di seluruh dunia, bahkan ia memberi inspirasi kepada satu rancangan televisyen yang popular di kalangan wanita muda negara itu.
Namun peralihan daripada burqa (purdah) kepada pakaian seragam warna hijau buah zaitun bukanlah perkara mudah. Dalam satu temu bual bersama 12 polis wanita yang ditempatkan di seluruh Kabul, kebanyakannya mengeluh kerana terpaksa berhadapan dengan gangguan seksual dan diskriminasi. Kekecewaan jelas terbayang di wajah mereka.
Sasaran yang ditetapkan Presiden Hamid Karzai mengajak 5,000 wanita menyertai pasukan polis sebelum 2014 berakhir iaitu ketika askar asing meninggalkan negara itu.
Namun sikap tidak acuh kerajaan, kaedah pengambilan anggota baru yang lemah dan kurangnya minat pihak berkuasa serta masyarakat yang dikuasai lelaki menyebabkan pasukan polis kebangsaan hanya ada 1,850 anggota polis wanita atau 1.25 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Keadaan nampaknya bertambah buruk. Berdekad hidup dalam konflik juga menyumbang kepada parut masyarakat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, walaupun sudah ada perubahan positif, kes keganasan terhadap wanita tetap berterusan.
Sesetengah pengamal undang-undang wanita dan kumpulan pejuang hak asasi manusia menyalahkan Hamid Karzai kerana kurang minat terhadap hak wanita ketika dia mengadakan bicara keamanan dengan Taliban. Bagaimanapun pihak pemerintah menafikan tuduhan ini.
Hampir satu pertiga daripada anggota polis wanita ditempatkan di Kabul, dengan bidang tugas seperti menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas wanita di lapa-ngan terbang dan memeriksa data biometrik.
Sentiasa diganggu
Sesi temu bual dengan Friba berlangsung dalam bilik berhias poster pegawai polis memegang senjata di sebuah balai polis.
“Saya ialah ‘naga’ dan saya boleh mempertahankan diri sendiri tetapi kebanyakan anggota wanita sentiasa mengalami gangguan seksual. Semalam, seorang rakan setugas memegang payudara anggota polis wanita. Dia sangat malu dan tersipu-sipu apabila lelaki itu memicit payudaranya. Kemudian apabila lelaki itu beredar, dia berpaling ke arah kami dan menangis,” kata Friba.
Di balai polis lain di Kabul, Detektif Lailoma yang juga meminta nama penuhnya dirahsiakan mengadu me-ngenai beberapa rakan sekerja lelaki. Ada beberapa anggota polis wanita di bawah jagaannya dirogol rakan sekerja lelaki.
Sedikit rambutnya terkeluar daripada tudung hitamnya yang menjadi sebahagian daripada pakaian seragam anggota polis wanita.
“Mereka mahu keadaan kembali seperti ketika Taliban memerintah. Setiap hari mereka cakap kami wanita jahat dan tidak sepatutnya dibenarkan bekerja di sini,” kata Lolima sambil menggerakkan ta-ngannya.
Malah anggota polis lelaki juga mencemuh dan sering menghalang polis wanita memasuki dapur yang menyebabkan mereka tidak dapat makan tengah hari.
Beberapa kali temu bual terganggu dengan kehadiran polis lelaki dan polis wanita ini memberitahu ia sengaja dilakukan kerana mereka mahu wanita diam.
Seorang pegawai lelaki memasuki bilik tanpa mengetuk tiga kali untuk mencari pensel dan yang lain pula menghabiskan 20 minit untuk membuang habuk daripada topinya dan kemudian meletakkan kembali topi di rak. Setiap kali rakan sekerja lelaki masuk, polis wanita itu mengubah topik perbualan.
Rana, 31, anggota polis berbadan gempal dengan rambut kerinting berkata, polis wanita di Afghanistan memang dilihat sebagai objek seks.
“Kami memang dijangka sanggup lakukan apa saja untuk terus berada dalam pasukan ini,” katanya kesal.
Timbalan Pengarah Gender dan Hak Asasi Manusia, Kementerian Dalaman, Kolonel Sayed Omar me-ngakui, memang ada anggota polis wanita dirogol oleh rakan sekerja.
“Mereka ini memang jenis yang buta huruf dan melihat polis wanita orang yang tidak bermoral,” jelasnya.
Dia menyambung, rasa tidak selamat, banyak bantahan terhadap idea wanita keluar bekerja dan diskriminasi jantina menyebabkan ramai wanita tidak berminat untuk menyertai pasukan polis.
Namun wanita bergelar janda atau ibu tunggal miskin tidak mempunyai pilihan. Mereka terpaksa mendaftar sebagai polis dengan gaji sebanyak 10,500 Afghanis (RM637) sebulan.
Kesukaran
Kementerian Dalaman dan organisasi asing bertanggungjawab melatih polis wanita seperti NATO, Kesatuan Eropah dan Pembangunan Program Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) - berhadapan dengan cabaran besar dalam pe-ngambilan anggota baru.
“Ia sukar. Di sini memang tiada sejarah wanita memasuki pasukan keselamatan, tiada permulaan. Malah untuk meminta ruang terbuka bagi melatih wanita juga menjadi satu cabaran besar pada kami,” kata Pentadbir Bersekutu UNDP, Rebeca Grynspan.
Kempen pengambilan di televisyen dan poster juga tidak berjaya mencetuskan minat wanita di negara terbabit.
“Kebanyakan pemimpin lelaki tidak mahu mempunyai sebarang urusan membabitkan wanita dalam pasukan polis. Bahkan komander juga mahu wanita keluar daripada unit mereka,” kata Saboor.
Peluang kenaikan pangkat untuk polis wanita juga amat nipis. Ramai ditempatkan di balai polis yang tiada kemudahan untuk wanita seperti tandas atau bilik salin pakaian yang amat penting kerana kebanyakan wanita ini tidak mahu rahsia mereka bekerja diketahui keluarga.
Hanya baru-baru ini Kementerian Dalaman memulakan kerja menyediakan tandas wanita.
“Selepas 10 tahun perang tamat, baru sekarang kami bina tandas untuk wanita,” kata Saboor sambil ketawa sinis.
Bagi Leftenan Pertama, Naderah Keshmiri, polis wanita selalunya kurang dihargai.
“Rakan sekerja lelaki dengan cepat naik pangkat menjadi jeneral, tetapi tidak saya. Di mana kenaikan pangkat untuk saya?” soalnya yang mengetuai Unit Gerak Balas Keluarga yang mendapat sokongan UNDP.
Ramai anggota polis wanita juga ragu-ragu sama ada pasukan mereka boleh bertahan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©