Seorang Bapa Disyaki Mengupah 5 Lelaki Belasah Teman Lelaki Anak

Sunday, January 13, 2013 by
Gambar Hiasan


 
TEMERLOH - Akibat berang selepas mengetahui anak gadisnya tinggal bersama teman lelakinya sejak 9 Januari lepas, seorang bapa dipercayai mengupah lima lelaki untuk memukul pemuda itu sehingga cedera parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Aziz Salleh berkata mangsa, 23, mengalami retak tulang leher dan tulang rahang mulut selain patah tangan kanan selepas dipukul di Jalan Industri, Mentakab, dekat sini pada 11 pagi semalam.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut berada di rumahnya di Kampung Belenggu di Jalan Industri Temerloh-Mentakab bersama teman wanitanya berusia 20 tahun.

Kemudian datang lima lelaki memaksa mangsa dan teman wanitanya mengikut mereka menaiki dua kereta ke satu lokasi untuk menemui seseorang.

"Selepas bertemu bapa gadis itu di lokasi, mangsa dibelasah lima lelaki terbabit, sebelum dia dibawa ke belakang bangunan kafe siber di jalan berkenaan dan diikat," katanya di sini hari ini.
 
Mangsa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah selepas polis mendapat maklumat berhubung kejadian itu.

"Polis berjaya menahan empat lelaki daripada lima suspek berusia antara 21 dan 39 tahun yang tinggal di Kampung Belenggu dan Taman Mentakab Indah, di Temerloh.

"Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, samun, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah," katanya.

Katanya polis masih mengesan bapa gadis itu dan seorang lagi suspek yang membelasah mangsa bagi membantu siasatan.

Menurutnya bapa gadis terbabit pernah membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana anaknya tidak pulang ke rumah sejak 9 Januari lepas.

Semua suspek terbabit ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©