Kecoh!! Babi Hutan 'Melancong' Di Mahkamah Majistret, Alor Gajah

Thursday, January 10, 2013 by
Anggota Perhilitan melepaskan tembakan ke arah babi yang sesat dalam kawasan Mahkamah Majistret di sini.

ALOR GAJAH - Suasana pekarangan tempat letak kenderaan Mahkamah Majistret di sini, kecoh seketika apabila muncul seekor babi jantan yang sesat dipercayai dari hutan berhampiran.

Kejadian itu disedari beberapa pekerja mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi semalam, apabila melihat seekor haiwan berwarna kelabu gelap berlari sambil menyondol pagar kawat.

Saksi yang juga pelawat mahkamah, Ahmad Harun, 52, berkata, sebaik tiba di bangunan mahkamah, dia ternampak babi itu sedang tidur dalam longkang di hadapan bangunan mahkamah sebelum bangkit dan keluar.

“Ketika naik ke tingkat satu, saya terkejut melihat babi itu sedang tidur dalam longkang berdekatan bangunan dan keluar beberapa minit kemudian sebelum memanjat tebing pagar kawat.

“Kemudian saya lihat babi itu berlari di sepanjang tepi pagar sambil menyondol untuk mencari laluan keluar, namun gagal sebelum berpatah semula sehingga disedari pekerja kantin mahkamah," katanya.

Menurutnya, keadaan agak kecoh kerana pekerja kantin dan orang awam bimbang akan disondol babi  itu yang mengganas sebelum seorang kakitangan mahkamah menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Perhilitan.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Ismail Zulkefeli Ahmad berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, babi itu masih berlari di tepi pagar.

Menurutnya, babi itu mula mengejar anggota JPAM dan orang awam, namun tergelincir tetapi berjaya bangun sebelum naik ke atas tebing pagar berkenaan.

"Pergerakan babi itu mula perlahan mungkin disebabkan kepenatan selepas berlari untuk mencari jalan keluar dan anggota mengambil meletakkan sangkar di atas tebing yang menjadi laluannya.

“Namun selepas melihat pergerakan babi itu kembali berlari laju, anggota JPAM meletakkan sangkar di hadapannya dan berjaya memerangkapnya, namun babi itu meronta sehingga sangkar terbalik sebelum jatuh ke bawah," katanya.

Katanya, disebabkan rontaan kuat, besi penutup sangkar tercabut sehingga memberi ruang kepada babi  itu keluar dan mengejar anggota sebelum naik ke tebing di tepi pagar.

Sementara itu, anggota Perhilitan, Mohd Razak Sadikon berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, beliau melihat babi itu semakin agresif sehingga memaksa pihaknya menembak kaki haiwan berkenaan.

“Tembakan pertama mengena di bahagian badan dan kaki babi itu mengakibatkannya terjatuh ke bawah sebelum tembakan kedua dilepaskan ke bahagian kepalanya,” katanya.

Katanya, akibat tembakan itu, babi berkenaan mati.-SH

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©