Perbezaan Rumput Miang Mexico Dan Ulam Raja

Saturday, December 20, 2014 by
Rumput Miang Mexico 


Ulam Raja


Orang ramai di media sosial berbincang mengenai rumput miang mexico dan ulam raja yang kelihatan sama.


ALOR SETAR - Walaupun baru-baru ini negara kecoh dengan bahaya rumpai miang mexico, namun ramai mempertikaikan persamaan tumbuhan beracun tersebut dengan ulam raja.

Tumbuhan ulam raja adalah tumbuhan liar dan menjadi tambahan hidangan kepada penggemar ulam yang biasanya dimakan mentah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, masyarakat tidak perlu khuatir kerana rumpai miang mexico atau parthenium hysterophorus mempunyai tiga ciri berbeza dengan ulam raja.

“Cara pertama dan paling mudah untuk membezakan ulam raja dan rumpai beracun itu adalah dari segi bau. Ulam raja mempunyai bau dan rumpai tersebut tidak.

“Selain itu, rumpai miang mexico mempunyai bulu halus di kesemua batang tumbuhan tersebut berbanding ulam raja.

“Orang ramai juga boleh mengenali rumpai miang mexico tersebut melalui bunganya yang berwarna putih krim berbanding bunga ulam raja bewarna merah jambu,” katanya.

Tambahnya, walaupun kedua-dua tumbuhan tersebut hidup secara meliar di kawasan belukar dan mudah didapati namun tiga perbezaan itu adalah cara mudah untuk mengenali rumput miang mexico tersebut.

“Jangan khuatir, dari jauh kita sudah boleh bau dan melihat bentuk fizikal berbeza antara kedua tumbuhan ini walaupun seakan sama serta dapat mengelakkan alahan akibat rumpai miang mexico itu,” katanya.


KALIAMMAH menunjukkan ruam di tangan dan kaki disyaki akibat tersentuh rumput miang Mexico.
 

Sementara itu Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.

"Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan berterusan danberulang kali.

"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada istem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya lagi.

Orang ramai boleh menghapuskan sendiri rumpai miang Mexico dengan menyembur larutan garam. Nisbah yang digunakan adalah satu kilogram garam dilarutkan ke dalam empat liter air kosong.

Tindak balas garam ini boleh membunuh rumpai berkenaan dalam masa sehari. Dengan berbuat demikian, risiko terkena tumbuhan berbahaya ini dapat dielakkan.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semulajadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.