Keadaan Di Kuala Krai Sama Seperti Selepas Tsunami di Aceh

Wednesday, December 31, 2014 by


KUALA LUMPUR: Seorang sukarelawan menceritakan keadaan banjir di Kelantan terutama Kuala Krai sama seperti keadaan selepas tsunami di Aceh pada 2004.

"Keadaan di Kuala Krai memang teruk. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkannya. Lebih teruk daripada Kota Baharu. Ia mengingatkan saya tentang Aceh semasa saya menyertai misi bantuan di sana 10 tahun lalu," demikian mesej yang dihantar Razi Pahlavi Abdul Aziz, 40, kepada rakan-rakannya.

"Bandarnya (Kuala Krai) tiada penghuni, kereta-kereta rosak tersadai di tengah jalan, rumah kedai dan rumah-rumah musnah, dinding-dinding runtuh, jalan-jalan turut rosak. Saya melihat rumah dibawa arus sejauh 100 kaki.

"Sesungguhnya tiada kata-kata yang dapat menggambarkannya... sedih, kecewa dan putus asa melihat bagaimana banjir boleh memusnahkan sebuah bandar, kampung dan orang," katanya menerusi laman Twitternya.



Razi sedang menyelaras misi bantuan kumpulan alumni Akrab Jaya, Gos dan R8 yang bekerjasama rapat dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Mercy Malaysia.

Pasukan itu menggunakan empat pacuan empat roda meredah Kelantan pada 27 Dis lalu selama 18 jam menuju Kota Baharu beserta tiga buah bot dan barangan bantuan.

Misi mereka ialah untuk membekalkan bantuan logistik kepada HUSM dengan membawa petugas dan bekalan perubatan ke kawasan pedalaman.

Menurutnya, pasukan itu yang telah bertugas 48 jam tanpa henti turut mengagih makanan dan minuman kepada mangsa di sekitar Kota Baharu dan kawasan berdekatan bersama pasukan Wataniah HUSM.

Beliau berkata kekangan logistik masih menjadi masalah utama untuk pasukan bantuan sampai kepada mangsa banjir.

Namun Razi kagum dengan semangat tinggi yang ditunjukkan pasukan bantuan  termasuk Jabatan Pertahanan Awam, Mercy Malaysia dan lain-lain anggota sukarelawan dalam membantu mangsa banjir.

"Senyuman masih terbayang di wajah mereka, walaupun mereka kelihatan letih.

Mereka adalah wira-wira yang bertungkus-lumus siang malam. Mereka berada di sana sebelum banjir gelombang pertama, mereka terputus bekalan makanan, elektrik, air bersih, tetapi mereka tetap bertugas... menggadai segala-galanya untuk menyelamat nyawa orang.

"Mereka menakjubkan, mereka memiliki semangat yang menakjubkan," demikian antara lain bunyi teks mesejnya.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©