Al-Fatihah!! Bekas KPN, Tan Sri Mohd Bakri Omar Meninggal Dunia

Monday, November 10, 2014 by
Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri Omar



PUTRAJAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia akibat penyakit barah yang dihidapinya di Institut Kanser Negara di sini pada Isnin.

Allahyarham yang berusia 66 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.45 pagi.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Asmawati Ahmad mengesahkan perkara berkenaan kepada Bernama.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di No 10, Jalan Aman Perdana 5U/KU5, Taman Aman Perdana, Meru, Klang.

Mohd Bakri dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak dan memulakan perkhidmatan sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971.

Beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 5 November 2003 sehingga September 2006, menggantikan Tan Sri Norian Mai.

Mengikut portal rasmi Polis Diraja Malaysia, Allahyarham  dikenali sebagai seorang pegawai kanan polis yang tegas dan menitikberatkan disiplin di kalangan pegawai dan anggota bawahannya.

Ciri-ciri kepimpinan ini telah mendatangkan rasa gerun dan hormat seluruh warga PDRM terhadapnya; di kalangan ahli masyarakat, mereka melihat beliau secara positif, iaitu sebagai pemimpin pasukan yang mampu berbuat sesuatu, khususnya dalam membimbing PDRM menurut aspirasi masyarakat.

Dengan berbekalkan kelulusan Sarjana Sastera, beliau telah memulakan perkhidmatan beliau sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971, dan seperti kebanyakan pegawai lain, telah menjalani latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Beliau  memegang beberapa jawatan 'command post' yang penting, di antaranya:-

Ketua Polis Daerah Mersing (1972 - 1973)
Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang (1974 - 1977)
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1987 - 1988)
Timbalan Komandan Maktab Pegawai Kanan Polis, Kuala Kubu Bahru (1984 - 1986)
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (1988 - 1990)
Pesuruhjaya Polis Sabah (1994)
Ketua Polis Kedah (1996 - 1997)
Ketua Polis Kuala Lumpur (1997-1998)
Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (1998 - 1999)
Pengarah Pengurusan (1999 - 2002)
Timbalan Ketua Polis Negara (2002 - 2003)

Sebagai seorang pegawai kanan yang berpengalaman, beliau juga memiliki segala ilmu yang mencukupi bagi memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara.

Beliau telah mengikuti kursus-kursus penting seperti 'Hostage Negotiation Technic', 'Terrorism' dan Airport Security Management.

Seperti kesemua Ketua Polis Negara sebelum ini, beliau juga merupakan lepasan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.