Suami Pukul Isteri Sampai Mati Di Puchong
Sunday, November 02, 2014 by Author
Kuala Lumpur: Kerisauan seorang ibu secara tiba-tiba rupa-rupanya petanda kematian anak perempuannya di Taman Puchong Utama, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa, L Kanaga, 25, ditemui mati dengan kecederaan parah di kepala dan badan di rumahnya dipercayai didera sebelum dibunuh oleh suaminya sendiri.
Ibu mangsa, K Maraiee, 56, berkata, kejadian disedari apabila dia berasa tidak sedap hati seterusnya bertindak ke rumah anaknya itu.
“Malam itu saya tidak dapat tidur, saya rasa risau lalu ke rumah dia (mangsa) untuk melihat keadaannya.
“Saya hairan apabila mendapati ramai yang berada di luar rumah sehinggalah keluarga kepada menantu memberitahu bahawa mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Serdang (HS), semalam.
Katanya, dia kesal kerana tiada sesiapa yang menghubunginya memaklumkan kejadian itu kepadanya sehinggalah datang sendiri ke rumah anaknya itu.
“Sebab itu saya rasa lain, tidak sedap hati. Rupa-rupanya anak saya meninggal dunia,” katanya.
Ibu tunggal itu berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada enam beradik dan sudah tiga tahun berkahwin.
“Dia ada dua anak lelaki berusia dua dan enam tahun. Dia memang seorang pendiam, tak banyak cakap. Dia tidak suka kongsi masalah dengan ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, menantunya itu kini menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga sekarang.
Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati tiada kesan pecah masuk pada kediaman mangsa.
“Mangsa ditemui dalam keadaan kaku dan kesan kecederaan di bahagian muka dan badan selain bekas kecederaan lama,” katanya.
Menurutnya, polis kini sedang memburu suspek berusia 33 tahun itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kredit: Harian Metro
** Gambar Sekadar Hiasan
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©