Gadis 'Mayat Hidup' Minum Darah Sendiri

Sunday, March 10, 2013 by
OBSES keterlaluan untuk menguruskan badan amat disesali Levitin.


LEVITIN semasa mempunyai bentuk fizikal yang normal. 
 

FFION JONES seperti juga gadis moden lain yang mendambakan tubuh badan menarik untuk dijadikan senjata memikat kaum Adam.

Namun, rejim dietnya agak pelik sehingga mempercayai dengan hanya meneguk air serta menghidu makanan boleh menyebabkan berat badannya naik.

Lebih menghairankan, wanita Britain ini percaya minum darahnya sudah cukup mengenyangkan berbanding menikmati makanan.

Sejak berumur 11 tahun, Jones menipu keluarganya tentang soal makanan.

Dia makan semasa bersama keluarga tetapi memuntahkannya semasa di bilik air.

Keadaannya cukup kritikal sehingga mengalami halusinasi dengan mendengar suara misteri melarangnya untuk makan.

Jones, 23, kini tidak dapat menyembunyikan dietnya yang keterlaluan itu selepas berat badannya hanya 30 kilogram manakala tahap kesihatannya terjejas teruk.

Dia dikesan menghidap anoreksia nervosa semasa di sekolah rendah lagi.

"Sejak itu, saya merasakan berat badan saya terlalu gemuk sehingga sukar untuk menggayakan pakaian.

"Sebenarnya saya tidak pernah khuatir dengan tubuh badan tetapi pemikiran negatif mula menjelma dengan bisikan misteri mengatakan saya lemah, selekeh dan hodoh," katanya.

Ujarnya, dia mula tidak mengambil makanan dan hanya bertahan dengan makan kiub ais dan gula-gula getah.

Keluarganya mula khuatir dengan perubahan mendadak berat anak gadis mereka itu.

"Ibu bapa menyangka saya menghidap kanser tetapi selepas diperiksa saya menghidap anoreksia nervosa.

"Saya terkejut bagaimana boleh menghidap penyakit ini," ujarnya.

Sembunyi makanan

Jones terus menipu keluarganya dengan mengatakan kepada ibunya, Mags, 56, bahawa dia telah makan di sekolah atau di rumah rakannya.

Dia terus menahan lapar untuk mengurangkan berat badan, senaman yang keterlaluan selain kerap makan julap.

"Suara misteri terus berlegar dalam fikiran saya mengatakan saya seorang yang jahat dan gemuk.

"Saya memaksa diri untuk bangun pada pukul 5 pagi dan berlari untuk beberapa jam walaupun semasa salji turun. Saya terlalu dahaga dan lapar selain selalu jatuh sakit namun tabiat ini masih tidak dapat dihentikan," katanya.

Tabiat pelik Jones itu semakin serius sehingga dengan menyentuh atau menghidu makanan dan minuman sahaja dia percya itu boleh menyebabkan beratnya bertambah naik.

"Banyak peraturan demi peraturan harus diikuti, suara ghaib itu terus memberitahu apa yang harus dilakukan. Sekiranya tidak dipenuhi suara itu akan bertambah kuat.

Jones mengambil tindakan drastik mula minum darahnya sendiri.

Dia akan mengerat pergelangan tangan menggunakan pisau dan kemudian menghisap darahnya untuk menghilangkan dahaga.

"Setiap titis darah berperanan seperti ubat untuk mengembalikan kesihatan saya sehingga tabiat itu dilakukan setiap hari," ujarnya.

Bertambah baik

"Saya sedar perbuatan itu satu kesilapan tetapi tidak pernah ambil kisah," katanya.

Ibu bapanya yang khuatir dengan keadaannya akhirnya membawa anak mereka berjumpa pakar psikiatri.

"Saya bersyukur kerana saya mula boleh makan dan berat badan mula bertambah naik.

"Selama 12 tahun saya menjalankan terap serta berulang alik dari rumah ke hospital," ujarnya.

Dia rindu untuk menjadi remaja kembali namun perkara itu tidak akan terlaksana kerana kesakitan yang dialami.

Jones turut mengalami penyakit tulang kerana anoreksia.

"Saya hampir mati selama berkali-kali dan menyesal kerana tindakan tersebut," katanya.

Kini dia terus mendapatkan rawatan di sebuah hospital psikiatri di Marlborough, Britain.

Nasib serupa turut dihadapi Valeria Levitin, 39, yang berasal dari Rusia. Valeria disahkan menghidap penyakit fobia terhadap berat badan atau anoreksia nervosa yang kronik.

Berat badannya hanya 25 kilogram (kg) dengan ketinggian 1.72 meter.

"Saya sering diperli semasa di luar sehingga kanak-kanak takutkan saya kerana menyangka terserempak dengan hantu," katanya.

Menyesali akan perkara yang menimpa dirinya, Levitin kini bergiat aktif dalam kempen membendung masalah anoreksia.-kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©