Suami 'Mati Pucuk' Jika Isteri Bergaji Lebih Tinggi

Sunday, March 10, 2013 by
SEBANYAK 10 peratus lelaki berpotensi mengambil ubat perangsang seks jika isteri bergaji tinggi.


LELAKI yang memiliki isteri berpendapatan lebih tinggi berkemungkinan besar mengambil ubat perangsang seks kerana kurang bertenaga di bilik tidur, lapor satu kajian.

Penyelidik Denmark dan Amerika Syarikat bermula dengan mengkaji gaji membabitkan data lebih 200,000 pasangan suami isteri. Ia mendedahkan, pil dan ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk lain lebih popular di kalangan pasangan yang isteri menerima gaji lebih tinggi.

Kesannya juga dapat dilihat pada keluarga yang isteri memiliki pendapatan cuma sedikit lebih tinggi daripada suami.

Kajian yang dijalankan oleh seorang profesor di Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS), Lamar Pierce mendapati, perbezaan gaji antara suami dan isteri tidaklah terlalu ketara dan dilaporkan lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi cenderung mengambil ubat perangsang seks sebanyak 10 peratus.

"Malah perbezaan kecil dalam pendapatan dikaitkan dengan risiko besar penggunaan ubat mati pucuk apabila wanita menjadi penyumbang utama dalam rumah tangga berbanding lelaki.

"Perbezaan gaji sebanyak £10,000 (RM47,095) yang memihak kepada wanita, menggandakan penggunaan ubat seks. Menariknya, fenomena itu tidak dilihat pada pasangan yang selalunya memiliki pendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, ia terhad kepada perkahwinan yang isteri mengambil alih kedudukan itu daripada suami.

"Ia menunjukkan rasa hilang harga diri menjadi punca keadaan itu," lapor Pierce yang diterbitkan dalam Buletin Personality and Social Psychology baru-baru ini.

Wanita beri nafkah

Pierce memberitahu, peningkatan wanita menjadi penyumbang utama rezeki mencabar peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah dan meletakkan mereka di bawah tekanan psikologi.

"Kehendak seksual lelaki dikaitkan dengan budaya dan faktor sosial seperti kuasa bapa, wang dan rangkaian sosial. Keadaan itu boleh menyebabkan lelaki sukar terangsang atau (alat kelamin) tidak berfungsi apabila mendapati peranan tradisi mereka dirampas.

"Kemarahan dan kekecewaan juga boleh membawa kepada masalah seksual serius seperti mati pucuk," ujarnya.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, peratusan isteri di AS yang bergaji tinggi meningkat daripada empat peratus kepada 22 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan.

Kajian terbaharu itu memfokuskan kepada dua kategori data iaitu maklumat demografi dan preskripsi ubatan untuk populasi berkenaan. Berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 1997 hingga 2006, sebanyak 569,000 pasangan berumur lingkungan 25 hingga 49 tahun, kedua-duanya bekerja secara sepenuh masa.

Kata Pierce, lelaki yang bergaji rendah menerima kesan psikologi disebabkan perbezaan pendapatan. Sebagai contoh, Pierce mendapati bahawa lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi lebih cenderung mengambil ubat-ubatan untuk insomnia dan kemurungan berbanding situasi di mana lelaki adalah sebagai pencari nafkah utama.

Kajian turut dijalankan oleh profesor pemasaran di Universiti Minnesota Carlson School of Management, Kathleen Vohs yang mendapati, terdapat dua penjelasan yang mungkin iaitu ia mengancam lelaki untuk menjadi lebih baik daripada isteri mereka dan ancaman yang dibawa sepanjang jalan ke bilik tidur.

"Satu lagi penjelasan ialah suami mungkin menggunakan ubat perangsang seks sebagai satu cara untuk menjamin bahawa dia tidak tertekan ketika di bilik tidur," jelasnya yang menjalankan penyelidikan terhadap kesan pendapatan pada psikologi manusia.

Ujar Pierce, ramai lelaki berbangga mempunyai pasangan yang berpendapatan lebih. Bagaimanapun, ia adalah penting bagi pasangan untuk berfikir tentang perkara itu sebelum mereka berkahwin, dan untuk berkahwin dengan seseorang yang mempunyai potensi pendapatan yang lebih pada masa sekarang dan hadapan.-kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©