Teknologi Terbaru Untuk Rawatan Jantung Di Malaysia

Monday, October 08, 2012 by
MODEN...teknologi terkini untuk merawat sakit jantung.


TEKNOLOGI dikatakan datang dan pergi. Pergi setelah datangnya teknologi yang baru. Perkara baru selalunya lebih bagus, mudah dan murah membuatkan ia menjadi pilihan.

Begitu juga dalam dunia perubatan. Dalam mendapatkan rawatan, kita tidak boleh menolak teknologi yang dicipta demi kebaikan kita. Dunia sains dan teknologi sekarang membuatkan setiap negara mahu ke hadapan dalam apa bidang sekali pun.
sebelum   selepas


ANTARA TEKNOLOGI...keadaan coronary stent sebelum dan selepas bukaan di dalam injap darah.

 TANPA BEDAH...alat ini memungkinkan prosedur rawatan jantung tanpa pembedahan.


Perubatan penyakit jantung mengalami pelbagai perubahan positif sejajar perkembangan teknologi dan masa.

Permasalahan jantung sering dikaitkan dengan Institut Jantung Negara (IJN).

Tahun ini, IJN meniup 20 lilin di atas keknya. Ya, IJN sudah berumur 20 tahun!
Begitu cepat masa berlalu.


Begitu banyak teknologi baru yang diterokai Institut Jantung Negara sepanjang 20 tahun bertapak di dunia perubatan negara.

Siapa lagi yang paling sesuai bercerita mengenai perkembangan IJN selain daripada Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Dr Robaayah memang tidak asing lagi dalam bidang perawatan jantung. Perancangan bertemu anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini sudah dimulakan sejak Ramadan lagi tetapi baru kini impian itu tercapai. Kesibukan menjadi penyebab dan akhirnya petang itu kami dapat bersua muka.

Dr Robaayah sendiri mengakui, teknologi yang berkembang pesat kini memang tidak dibayangkan lebih 20 tahun lalu. Kuasa Allah yang memberi pengetahuan kepada manusia.

“Saya bersama IJN sejak pada awal penubuhannya lagi. Bermula di Bahagian Kardiologi, Hospital Kuala Lumpur pada 1977. Penubuhan IJN tidak dapat tidak memang berkait rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ketika itu kebanyakan orang penting negara suka mendapat rawatan di luar negara tetapi berbeza dengan Tun Mahathir.

“Pada 1989, Tun Mahathir mendapat serangan jantung dan dia menegaskan mahu dirawat di Malaysia. Dari situ, bermula segala-galanya. Pada Julai 1992, IJN mula beroperasi dan September tahun yang sama, ia dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan, menjadikan ia satu-satunya hospital di bawah kementerian itu,” katanya.

Pada 12 Jun 1993, IJN dibuka secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan sejak tarikh itu, ia terus berkembang sebagai pusat rawatan jantung utama di negara ini.

Langkah IJN sentiasa ke hadapan dengan meneroka pelbagai teknologi baru.
Kepercayaan rakyat seluruh negara kepada IJN semakin meluas.

“Pada 2005, kerana kepadatan jumlah pesakit, keadaan ini membuatkan kami perlu membina bangunan tambahan baru bagi menampung jumlah yang semakin hari semakin meningkat. Bangunan itu siap sepenuhnya pada 2009.

“Dengan adanya bangunan baru, masalah kepadatan pesakit apat diatasi. Begitu juga bagi kes menunggu dan tambahan bilik pembedahan. Kini, dengan tujuh bilik bedah, setiap hari kami boleh melakukan kira-kira 15 pembedahan,” katanya.

Dengan keluasan yang bertambah bermakna tenaga kerjanya harus sekata.

“Staf juga sudah bertambah. Terkini, kami mempunyai 1,702 staf. Doktornya berjumlah 84 orang dan jururawat 926 orang. Ini cukup menampung keperluan kami yang mempunyai 470 katil dengan 430 katil sudah dilesenkan,” katanya.

Dr Robaayah menegaskan, IJN sentiasa mengamalkan prinsip mendahulukan kes kecemasan. Apa yang menyerlah, mereka membawa semua teknologi terkini dan terbaru kepada rakyat Malaysia.

“Kami memberikan perkhidmatan dan teknologi terkini kepada rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, bangsa dan latar belakang. Semuanya boleh mendapat rawatan paling terkini termasuk golongan kurang mampu.

“Kepada mereka yang tidak mampu, ada dua cara untuk mereka mendapatkan rawatan.
Satu, membawa surat rujukan daripada hospital kerajaan dan unit taksiran akan membuat penilaian untuk bentuk bantuan. Dua, unit taksiran akan rujuk pula kepada pihak Yayasan IJN untuk langkah dan bantuan selanjutnya,” katanya.

Apa yang pasti, semua layak mendapat bantuan walaupun mereka bukan kakitangan kerajaan, tegas Dr Robaayah yang menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2011.

“Setahun kami mengadakan 10,000 prosedur dan 2,600 untuk mereka yang mempunyai saluran darah tersumbat yang menyebabkan serangan sakit jantung.

“Secara keseluruhan, sehingga Jun 2012, kami sudah merawat lebih daripada dua juta pesakit luar dan kira-kira 209,000 pesakit dalaman (inpatients),” katanya.

Bersama kedewasaan IJN selama 20 tahun ini, pelbagai kejayaan sudah dicapai antaranya IJN adalah antara yang pertama di Malaysia menjalankan prosedur rawatan saluran darah di buah pinggang, menggunakan alat perentak jantung kepada pesakitnya dan menjadi perintis yang memperkenalkan rawatan menutup jantung berlubang yang kecil dan sederhana tanpa pembedahan.

“Kami juga yang pertama membuat jantung mekanikal. Pada 2007 kami melakukan prosedur transplan untuk jantung dan paru-paru. Pada 2009 pula, kami yang pertama melakukan pembedahan saluran darah rosak atau sempit tanpa pembedahan.
Ini prosedur baru dan kami lakukan pada mereka yang berisiko tinggi untuk pembedahan,” katanya.

Dengan segala wibawa yang ada pada IJN, tidak menghairankan ia menjadi kepercayaan golongan doktor dari negara lain bagi mendapatkan latihan.

“Kami sudah melatih 127 doktor antarabangsa sama ada untuk latihan pembedahan ataupun tanpa pembedahan,” katanya.


Teknologi alat perubatan jantung tanpa pembedahan - stent

Stent koronari berharga RM5,300 berupa alat seperti dawai halus yang dimasukkan sama ada menerusi saluran pangkal paha atau saluran darah di lengan. Alat ini dimasukkan ke dalam pembuluh darah yang tersumbat atau sempit. Ia sangat kecil berbentuk seakan-akan spring yang menguncup dan mengembang sebaik berada di dalam pembuluh darah.



Tan Sri Dr Robaayah Zambahari

PROFIL:

Nama: Tan Sri Dr Robaayah Zambahari
Jawatan: Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, IJN
Tempat kelahiran: Batu Gajah, Perak
Tarikh lahir: 2 Disember 1951
Bapa: Zambahari Kulop Udi - kerani di syarikat melombong bijih
Ibu: Sallehah Kayang - suri rumah
Adik-beradik: Anak kelima daripada tujuh beradik

Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Melayu (1958-1961)
St Bernadette Convent, Batu Gajah (1962-1963)
‘O’ Level di St Bernadette Convent (1969)
Tingkatan Enam di St Michael Institution, Ipoh (1970-1971) bagi mendapat Cambridge ‘A’ Level
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (1972-1977)

Teks dan gambar Oleh: Kusyi Hirdan

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©