‘Suamiku Kekasih Orang’

Friday, July 13, 2012 by


Hancur luluh hati isteri ketahui pasangan curang, asyik sibuk SMS ketika pulang bercuti..

PEPATAH sayang isteri tinggal-tinggalkan sedikitpun tidak bererti kepada wanita ini yang hidupnya hanya berendam air mata mencurigai kasih suami yang tergamak curang ketika berjauhan. Lebih mengecewakan, kata wanita yang memperkenalkan dirinya ‘Isteri Cuti Sekolah,’ perkahwinan yang diharungi tak sampai setahun jagung kini bergolak gara-gara sikap hidup belang suaminya.

Berikut catatannya yang mahu dikongsi bersama di ruangan ini:
“Saya bekerja di Terengganu, manakala suami seorang guru bertugas di sebuah sekolah di pedalaman Sarawak. Hubungan jarak jauh ini hanya dipanjangkan menerusi internet dan telefon sebulan sekali. Pada awal perkahwinan, saya cuba meyakinkan diri hubungan ini akan berkekalan. “Bagaimanapun, masalah jarak dan komunikasi terlalu membataskan hubungan kami. Maklum sajalah, Terengganu bercuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu, manakala Sarawak pula Sabtu dan Ahad. Perjalanan menaiki pesawat juga terbatas. Kami juga tidak dapat berhubung melalui telefon kerana faktor liputan yang tidak meluas di tempat suami bertugas.

“Suami terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke bandar Miri yang mengambil masa hampir enam jam. Sebulan sekali kalau suami ke Miri, barulah dia menelefon saya.

“Anehnya, suami tidak pernah pula mempelawa saya menetap bersamanya. Rupa-rupanya, dia bermain kayu tiga. Saya hanya tahu apabila terjumpa mesej cinta suami dalam telefon tangannya ketika pulang bercuti, baru-baru ini.

“Hancur luluh hati ini apabila mendapat tahu dia bercinta dengan rakan sekerjanya. Saya hanya memiliki jasadnya, tetapi hati dan perasaannya milik wanita itu. Sewaktu bertunang, saya ada menghidu hubungannya dengan wanita lain, tetapi dia berjanji menamatkan hubungan itu apabila berkahwin.
“Selepas setahun kahwin, baru saya sedar, saya ditipunya. Saya merana merinduinya tetapi dia sempat menyulam kasih saban hari dengan rakan sekerjanya.

“Malah, ketika saya sibuk bekerja di pejabat selama sebulan dia pulang bercuti baru-baru ini, dia pula sibuk dengan sms cintanya. Kini saya tidak lagi percaya kepada suami walaupun dia menafikan membuat hubungan itu.

“Hati saya amat terluka, Kak Ani... kerana dalam saya setia mempertahankan hubungan jarak jauh ini, suami pula berlaku curang. Saya difahamkan banyak kes seperti ini berlaku kepada mereka yang hidup berjauhan dengan keluarga. Ada guru yang gagal mengawal nafsu mempunyai hubungan sulit dengan teman sekerja. Kekurangan guru agama di sekolah di kawasan pedalaman juga menyebabkan tiada pihak yang boleh menegur salah laku itu.

“Persoalannya, apa patut saya lakukan untuk merungkaikan masalah bersarang di benak hati saya sekarang?” soal wanita ini menutup bicara, tetapi disambut keluhan Kak Ani membacanya. Rasa simpati ada, kesal pun ada. Sedih turut bersarang di hati Kak Ani.

Masalah hubungan terlarang, suami mempunyai isteri lain di luar rumah atau isteri membuat hubungan dengan lelaki lain di tempat kerja sudah menjadi satu fenomena biasa sekarang. Suatu ketika dulu, seorang ustaz yang pernah mengajar di pejabat Kak Ani, pernah membicarakan topik suami dan isteri di pejabat. Maksud suami atau isteri di pejabat ialah mereka yang melakukan hubungan intim dengan rakan sekerja. Mereka makan bersama ketika waktu rehat.

Ustaz itu meminta kakitangan beragama Islam tidak melakukan perbuatan itu yang jelas bertentangan dengan Islam dan boleh membawa kepincangan rumah tangga.
Katanya, wanita yang bekerja perlu mengelak daripada duduk berdua-duaan dengan bukan muhrim, hatta di meja makan sekali pun.

“Mula-mula menjadi teman makan, kemudian ketika makan bercerita pula masalah peribadi yang akhirnya membongkarkan masalah rumah tangga dan hubungan antara suami dan isteri. Daripada perasaan simpati, timbul pula rasa kasih sayang hingga menyebabkan hati pasangan itu terpaut sehingga lupa diri dan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing,” kata ustaz.

Memang banyak dugaan akan dihadapi pasangan yang baru meniti alam rumah tangga terutama jika tinggal berjauhan. Perasaan syak wasangka menjadi mainan hidup yang menyebabkan rumah tangga berantakan. ‘Isteri Cuti Sekolah’ sepatutnya mengambil kira semua faktor ini sebelum ‘melepaskan’ suami bersendirian di tempatnya mengajar selepas kahwin.

Perasaan curiga sepatutnya perlu ada lebih awal terutama selepas mengetahui suami ada berhubung dengan wanita lain ketika bertunang. Dalam keadaan sekarang, anda tak boleh berpatah ke belakang. Anda perlu fokus ke depan dalam merungkaikan masalah yang berlaku sekarang.

Rasanya belum terlambat untuk anda memikat semula hati suami jika perasaan kasih dan sayang itu masih ada. Anda perlu ingat sebuah perkahwinan bukan sekadar untuk berseronok untuk membendung hubungan seks terlarang tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar iaitu pasangan yang bernikah kena memikul amanah membina keluarga dan melahirkan zuriat yang bakal mengembangkan syiar Islam.

Dalam aspek ini, anda tidak harus menyerah kalah dengan apa yang berlaku. Anda lebih berhak mempertahankan kedudukan anda sebagai isteri berbanding wanita lain yang cuba menggoda hati suami.

Kak Ani sarankan anda ambil cuti yang agak panjang untuk bersama suami di Sarawak. Jika mempunyai peluang ini, anda gunalah kepakaran ada seperti memasak untuk memikat bukan saja perut, tetapi hati suami. Ulang semula cara anda menggoda suami dulu selain luangkan masa mengenali rakan sekerja suami dengan mengetepikan perasaan cemburu.

Kalau boleh ajaklah mereka ke rumah untuk berkenalan lebih rapat. Ingatlah, pasangan suami isteri perlu sama-sama berkorban dan melakukan perubahan demi kebaikan bersama.

Ada sesetengahnya bersedia untuk berkahwin tetapi sukar meninggalkan kegiatan ketika zaman bujang, contohnya melepak di luar rumah hingga membiarkan pasangan kesunyian di rumah.

Perkahwinan memerlukan pasangan bertolak ansur, ada masa memberi, menerima dan ada juga kos melepasnya. Jika seseorang isteri itu diperlukan berada di sisi suami, pengorbanan dengan meninggalkan kerjaya perlu dilakukan jika tiada jalan lain lagi bagi meleraikan kemelut hubungan jarak jauh.

Perbincangan dari hati ke hati juga perlu diadakan dengan sikap terbuka untuk membaiki kesalahan, bukan mencari kesalahan untuk menunjukkan kelemahan pasangan.

Selepas berusaha, anda perlu menyerahkan kepada Yang Esa meminta petunjuk dan membuka pintu hati suami supaya kembali menyayangi anda.-BH