Polis Sedang Menjejaki Orang Kanan Blogger Khalil Afandi

Thursday, July 12, 2012 by



SHAH ALAM – Polis sedang mengesan seorang individu yang namanya disebut berulang kali dalam blog dan juga Facebook milik Khalil Afandi Abd Hamid yang mengamuk di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, lelaki itu akan disiasat sama ada dia turut mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

"Kita akan siasat kes ini secara menyeluruh termasuk kandungan blog yang ada hubungan dengan lelaki itu (Khalil) dan juga mereka yang namanya dinyatakan dalam blog itu," katanya.

Mengikut catatan yang dipercayai dibuat oleh Khalil dalam blognya, dia dalam perjuangan untuk tawan negara dan dunia bersama individu itu.

Sebagai reaksi terhadap kenyataan itu, lelaki terbabit dalam blog yang sama turut membuat pengakuan terbuka yang disertakan nama dan nombor kad pengenalannya mengakui bahawa dia "akan sentiasa bersama dengan Khalil hadapi satu pertembungan yang pasti berlaku antara kami dengan Dajal."

Wartawan Sinar Harian yang merujuk nama dan nombor Mykad lelaki itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberitahu identiti berkenaan adalah milik seorang lelaki Melayu yang beralamat di Petaling Jaya.

Dalam salah satu akaun Facebook Khalil, turut dipaparkan gambar yang dinyatakan sebagai gambar mereka berdua dengan komen yang bermotif perjuangan untuk menakluk negara.

Selain mereka berdua, ada beberapa individu lain yang turut menghantar kenyataan dalam laman blog itu namun hanya menggunakan nama samaran.

Dalam perkembangan sama, Abdul Razak berkata, polis telah mengenal pasti individu yang menghantar Khalil dan rakannya, Muhdalina Ahmad, 28, ke  JPM, sebelum kejadian amuk itu meletus petang Isnin lalu.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengesan pemilik kenderaan yang digunakan pasangan itu bagi membantu siasatan.

Kredit: Sumber