Aplikasi 'BETWEEN' Khas Untuk Golongan Pemalu

Wednesday, July 25, 2012 by
MENURUT Jae-Uk, Between dicipta untuk golongan yang memerlukan privasi dalam kehidupan intim mereka.

APLIKASI telefon pintar bagi memenuhi kehendak pasangan bercinta yang pemalu di negara-negara Asia Timur mencatat muat turun sebanyak sejuta kali sejak dilancarkan pada November lalu. Kini, pembangun aplikasi tersebut sedang mencari pasaran baharu.

Pasangan yang tidak mahu hubungan mereka diketahui orang di serata dunia menerusi Facebook atau media sosial lain telah daftar masuk ke Between, aplikasi yang dibina khas untuk keperluan dua orang berhubung.

"Bayangkan betapa tertekannya jika bos dan ibu bapa mengikuti kisah kehidupan kamu di Twitter atau Facebook. Between adalah penyelesaian terbaharu bagi mengatasi masalah tersebut," kata salah seorang pembangun Between, Park Jae-Uk.

Between boleh didapati di iPhone dan telefon Android, yang menawarkan perkhidmatan pertukaran gambar, mesej, jadual dan pesanan suara melalui telefon pintar untuk pasangan secara peribadi.

Pembangun aplikasi berkenaan berkata, sebanyak 4.6 juta mesej dan 350,000 gambar bertukar setiap hari. Between telah diiktiraf sebagai Aplikasi Telefon Bimbit Terbaik Tahunan di pertandingan ciptaan terbaharu di Amsterdam, Belanda.

"Facebook dan Twitter mungkin berjaya menghubungkan manusia dalam pelbagai cara tetapi kami berfikiran mungkin sebahagian orang mahukan hubungan yang bersifat peribadi dan tidak mahu ia diketahui orang lain.

"Jadi, kami menumpukan pada pasangan yang belum berkahwin yang tidak mahu berkongsi maklumat peribadi," jelasnya lagi.

Kehebatan fungsi

Between membolehkan mereka berkongsi gambar, menghantar mesej dan menetapkan hari ulang tahun, kelahiran dan lain-lain tarikh penting termasuk di kalendar pasangan masing-masing.

Perkhidmatan ini sudah boleh digunakan apabila kedua-dua belah pihak memasukkan nombor telefon masing-masing selepas mendaftar. Jika pasangan itu berpisah, salah seorang daripada mereka boleh menghentikan perkhidmatan dan semua data akan dipadamkan.

"Tidak kira apa carapun kamu mencuba untuk merahsiakan maklumat di laman sosial lain, orang ramai seolah-olah boleh mengaksesnya. Maka, kami mengambil keputusan menawarkan perkhidmatan yang sukar diakses orang lain dan dilindungi," kata Park.

JAE-UK menunjukkan fungsi dan paparan yang boleh dilihat dalam aplikasi Between.
 

Aplikasi ini dilindungi kata kunci dan tidak ditawarkan kepada lebih dua orang dalam satu masa.

Between boleh digunakan dalam 13 bahasa termasuk Korea, Bahasa Inggeris dan Jepun dan ketika ini sasaran utama adalah pengguna di negara Asia Timur kerana budaya mereka yang menyembunyikan percintaan daripada pengetahuan orang lain.

Kira-kira 75 peratus pengguna ialah rakyat Korea, China (7 peratus) dan Jepun (6 peratus).

"Saya mengambil banyak gambar bersama teman lelaki dan memerlukan ruang yang eksklusif di telefon bimbit untuk berkongsi dengannya," kata Hong Jee-Won yang berusia 23 tahun.

Bagi Jun So-Min, maklumat yang dikongsi dalam Facebook terbuka kepada tatapan umum. Justeru, dia menggunakan Between untuk menyimpan gambar dan mesej peribadi.

Pasaran Barat

Park kini sedang melihat pasaran Between di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Budaya di sana sedikit berbeza, jadi kami menyasarkan pasangan yang tinggal berjauhan atau pasangan bertunang yang bersedia memasuki gerbang perkahwinan," katanya.

Ketika ini, 79 peratus pengguna Between adalah orang bujang dan 96 peratus berumur 20-an hingga 30-an.

"Between adalah cara pasangan menunjukkan komitmen dalam hubungan mereka, jadi kami melihat golongan remaja yang banyak menggunakan perkhidmatan ini. Hubungan mereka juga biasanya tidak berpanjangan sekali gus gagal menggunakan sepenuhnya aplikasi ini," katanya.

Oleh sebab itu, jurutera-jurutera syarikat berkenaan merancang untuk menghasilkan sistem yang berkemampuan untuk menyimpan data sehingga tempoh sebulan selepas perpisahan pasangan terbabit.

Sistem berkenaan bertujuan memberikan peluang kepada pasangan kembali bersama dan ingin membuka semula akaun mereka. - AFP

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©