Pelajar Belanda Diculik Depan Sekolah

Saturday, April 28, 2012 by


 Bulatan menunjukkan tempat Nayati dilarikan dua lelaki semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda hilang secara misteri selepas dilarikan dua lelaki menaiki Proton Gen 2 di hadapan sekolahnya di Bukit Kiara, semalam.

Malah sehingga kini, ibu bapa kanak-kanak berkenaan belum menerima panggilan daripada lelaki yang melarikan anaknya itu bagi tujuan meminta wang tebusan.

Dalam kejadian jam 7.35 pagi itu, kanak-kanak berkenaan, Nayati Shamelin Moodliar, 12, baru keluar dari kawasan perumahannya yang terletak kira-kira 50 meter dari sekolahnya.

Bapa mangsa, Shamelin Moodliar, 42, berkata, sebelum kejadian, dia menyiapkan anak tunggalnya itu untuk ke sekolah.

Katanya, sebaik anaknya keluar, dia menerima panggilan daripada guru besar sekolah anaknya itu yang memaklumkan anaknya yang berbaju T putih dan seluar pendek hijau dilarikan dua individu tidak dikenali dengan menaiki kereta berwarna hitam yang dipercayai menunggu di lokasi berkenaan sejak awal pagi.

“Saya difahamkan ketika kejadian, anak saya baru tiba di persimpangan Jalan Kiara sebelum didatangi dua lelaki berkulit gelap yang menariknya masuk ke dalam kereta dan melarikan diri ke arah ibu kota.

“Kejadian berkenaan disaksikan orang ramai yang kemudian menghubungi pihak sekolah dan kami juga sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium berdekatan yang berjaya merakam kejadian itu ketika membuat laporan polis,” katanya, semalam.

Beliau yang bekerja sebagai perunding kanan sebuah firma pengurusan itu berkata, sehingga kini dia tidak dihubungi kumpulan penculik itu malah menafikan mempunyai musuh perniagaan kerana baru lapan bulan keluarganya tiba di Malaysia.

Menurutnya, kejadian berkenaan nyata sudah dirancang rapi berikutan pengawal keselamatan nampak kereta yang dinaiki penculik itu diletakkan dalam arah bertentangan di Jalan Kiara 1 bagi memudahkan mereka melarikan diri.

“Saya tidak tahu sebab anak saya menjadi pilihan mereka, malah saya tidak pernah berselisih faham mahupun bergaduh dengan sesiapa sejak tiba di negara ini.

“Kami merayu kepada kumpulan penculik itu agar mengembalikan anak kami mahupun menghubungi kami jika memerlukan wang untuk membebaskannya,” katanya yang hadir bersama isterinya, Janice Smith, 40.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis daripada keluarga mangsa dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang di bawah penjagaan yang sah.

Oleh: Muhammad Apendy Issahak
dan Kalidevi Mogan Kumarappa

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©