Transformasi PDRM Sasar Perkhidmatan Terbaik Kepada Masyarakat

Sunday, March 25, 2012 by
 Dari kanan: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan, Datuk Seri Mohd bakri Zinin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
 
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merupakan agensi terpenting yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara termasuk memastikan kesejahteraan rakyat berada dalam keadaan terjamin. Pejam celik, pejam celik, PDRM hari ini sudah menginjak ke usia 205 tahun, walaupun menghadapi pelbagai kecaman daripada pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati, di samping cabaran semasa yang sentiasa berubah.

Bagaimanapun semua cabaran ditangani dengan baik, malah pelbagai transformasi turut dilakukan PDRM untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Ikuti wawancara sempena Hari Peringatan Polis bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meliputi pemilihan tema serta matlamat sambutan kali ini, serta pelaksanaan transformasi atau penjenamaan semula PDRM bagi meningkatkan sistem penyampaian yang berkualiti kepada masyarakat.


Kenapa PDRM memilih tema “Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami” untuk sambutan ke-205 ini?

Pemilihan tema itu bertepatan dengan matlamat perkhidmatan PDRM yang berlandaskan people centric untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Faktor-faktor berkaitan kesejahteraan seperti keselamatan, kemakmuran, ketenteraman awam dan keharmonian adalah menjadi tanggungjawab PDRM dalam menentukan setiap individu dipelihara oleh undang-undang dan sistem keadilan.
Melalui tema ini kita harap dapat menarik orang ramai untuk menyertai sambutan pada kali ini, sekali gus membolehkan interaksi lebih dekat dengan masyarakat serta mencapai objektif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka. Selaras dengan ini, kita berharap akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pada masa akan datang melibatkan beberapa perkara penting iaitu untuk menentukan modal insan PDRM akan lebih terlatih berdasarkan cabaran masa kini dan akan datang.

Kita juga sedang mengkaji dan meneliti best practices berkaitan kepolisan yang boleh diguna pakai untuk diimplementasikan dalam penugasan harian PDRM. PDRM akan memantapkan proses risikan secara timely and intelligent intelligence, termasuk memastikan setiap pegawai dan anggota membudayakan amalan integriti yang tinggi sejajar dengan Pelan Integriti Nasional.

PDRM juga akan menentukan semua infrastruktur berada dalam keadaan terbaik terutamanya dalam aspek komunikasi. Bajet yang diluluskan kerajaan akan digunakan dengan bijaksana bagi membangunkan komunikasi PDRM dengan lebih mampan pada masa akan datang. Kita juga akan mengubah cara kerja agar dapat menyelesaikan rintihan dan kehendak orang ramai berhubung kait masalah mereka. Komitmen kami adalah satu tekad bagi semua warga PDRM untuk memberi perkhidmatan secara profesional kepada masyarakat dengan cekap dan berkesan.


Kenapa konsep penjenamaan semula atau rebranding PDRM perlu dilakukan?

Konsep penjenamaan semula ini adalah inisiatif PDRM dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. Kita aplikasikan konsep ini kerana mahu mencapai tahap yang lebih tinggi. Ini selaras dengan pendirian kerajaan dan lebih penting, ia perlu dilakukan kerana cita rasa masyarakat hari ini juga sudah berubah. Oleh itu PDRM perlu berubah atau akan dilihat sebagai pasukan yang tidak mahu maju ke hadapan.


Apakah perubahan atau penjenamaan semula yang dibuat oleh PDRM?

Pelbagai usaha giat dijalankan untuk menjenamakan semula PDRM melalui projek World Class Policing termasuk pengenalan maskot PDRM iaitu “Harimau Biru” yang akan menjadi ikon inspirasi masyarakat. Maskot ini berfungsi antaranya untuk membantu PDRM membina persepsi lebih positif di kalangan masyarakat serta meyakinkan bahawa keselamatan mereka tidak akan tergugat.

Bagaimanapun perubahan atau penjenamaan semula ini bukanlah dilakukan secara menyeluruh dalam semua cabang PDRM. Perkhidmatan atau amalan sedia ada dalam PDRM yang masih relevan akan terus diguna pakai. Sebagai contoh, kawad. Kita tidak akan mengubah cara berkawad kerana itu yang menyediakan kita dalam kesiapsiagaan (persediaan) yang terbaik.

Kita juga akan mengekalkan profesionalisme dalam menjalankan tugasan iaitu sebagai agensi yang tidak memilih bulu. Apa yang kita akan ubah adalah cara berinteraksi yang lebih tinggi dengan menggunakan sumber sosial media. Kaedah sedia ada untuk mengurangkan kadar jenayah juga ditambah baik. Sebagai contoh, untuk program ‘omni presence’ kita sedang melengkapkan kenderaan MPV polis di kawasan orang ramai khususnya pada waktu malam.

Lampu biru pada MPV polis kita tukarkan kepada lampu warna warni (pelangi) yang lebih ceria sebagai tarikan serta memberi keyakinan kepada orang ramai tentang kehadiran polis. Lebih ramai anggota akan ditempatkan di kawasan orang ramai terutamanya pada waktu malam. Anggota bertugas pada waktu malam akan dilengkapkan dengan vest yang mempunyai lebih cahaya lampu, manakala uniform masih sama. Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan uniform polis satu hari nanti.

Apabila tiba masanya, kita akan berubah bersesuaian dengan keadaan semasa. Tidak kira apa jua transformasi yang dibuat oleh PDRM, kita berharap ia akan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.


Harapan sempena sambutan Hari Polis ke-205?

Sebagai Ketua Polis Negara, saya akan memastikan bahawa PDRM akan melaksanakan tanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam berpaksikan peraturan dan undang-undang negara. PDRM juga akan terus berkolaborasi dan berhubung rapat dengan masyarakat melalui penerapan kreativiti dalam perkhidmatan dengan meningkatkan sistem penyampaian yang berkualiti kepada mereka.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan kerajaan serta warga polis yang sentiasa memberi komitmen yang jitu dalam menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan PDRM. Kejayaan-kejayaan ini lebih bermakna dengan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan, agensi swasta mahupun pertubuhan sukarela.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©