Rohaizat (tengah) meninggalkan mahkamah bersama isteri dan peguamnya.
KOTA KINABALU: Seorang pegawai kanan polis didakwa atas empat pertuduhan merogol seorang gadis berusia 13 tahun.
Deputi Supritendan Rohaizat Abd Ani, 54, bekas ketua unit D7 di ibu pejabat polis Sabah yang juga pernah bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Setiu tahun lalu didakwa merogol gadis tersebut di sebuah bilik hotel di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 1 Februari tahun lalu.
Rohaizat turut didakwa meliwat gadis tersebut pada hari dan tempat yang sama selain mengulangi perbuatannya itu kira-kira pukul 10 pagi keesokan harinya.
Ketika pertuduhan keempat merogol gadis di hotel yang sama sekitar Mei tahun lalu dibacakan, beliau bertanya:"Apa, tiada tarikh?"
Beliau kemudiannya menggelengkan kepala dan berkata:"Tidak bersalah."
Beliau turut menulis nota apabila pertuduhan awal dibacakan dan menjawab 'Tidak bersalah' setiap masa dengan jelas dan lantang.
Rohaizat yang kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pulau Pinang tiba di mahkamah dengan memakai jaket dan berseluar gelap serta ditemani isterinya.
Bapa kepada dua orang anak itu menutup mukanya dengan surat khabar apabila melihat pemberita dan jurugambar ketika memasuki bilik perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin meminta ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan amat serius.
Peguam Ram Singh yang mewakili Rohaizat bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memegang jawatan pegawai kanan polis dan dia tidak akan melarikan diri.
Ram berkata Rohaizat sanggup melaporkan diri kepada ibu pejabat polis Pulau Pinang dua kali seminggu jika perlu.
Beliau juga menggesa ikat jamin minimum RM5,000 ditetapkan untuk setiap pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ismail Berahim bagaimanapun menetapkan jumlah tersebut kepada RM40,000 dan membenarkan Rohaizat dibebaskan selepas menetapkan 9 hingga 13 Disember ini untuk tarikh perbicaraan.
Jamil berkata, pihak pendakwaan mempunyai senarai seramai 25 orang saksi tetapi belum menentukan berapa ramai yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Oleh RUBEN SARIO
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©