Kualiti Juadah Ramadan

Saturday, July 21, 2012 by
 

Makanan Bersih, Pengguna Selamat

SEJAK awal Ramadan, Nurdini Mohamad Ali, 11, teringin benar menjamah otak-otak dan air batu campur. Hasrat pelajar perempuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang, Selangor itu akhirnya terlaksana selepas bapanya, Muhammad Ali Khir, 38, membeli kedua-dua juadah tersebut di sebuah bazar Ramadan selepas beberapa hari menjalani ibadah puasa.
Namun, tidak lama selepas menikmati hidangan itu, kanak-kanak tersebut mengalami muntah dan cirit-birit.
Selain Nurdini, hampir seluruh keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan empat orang abangnya mengalami gejala yang sama. Keadaan Nurdini bagaimanapun jauh lebih kritikal berbanding ahli keluarganya yang lain.
Melihat keadaan Nurdini itu, Muhammad Ali segera membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di Klang, Selangor. Namun sebaik tiba di hospital, keluarganya akur dengan takdir yang ditentukan Allah apabila doktor mengesahkan Nurdini meninggal dunia. Nurdini meninggal dunia akibat komplikasi makanan tercemar.
Biarpun peristiwa itu berlalu setahun yang lalu, namun pemergian Nurdini cukup terkesan kepada ahli keluarganya. Bapa mangsa, Muhammad Ali Khir, 38, reda dengan apa yang telah menjadi ketentuan tanpa menyalahkan sesiapa.
Jauh di sudut hati Muhammad Ali, beliau berharap insiden yang serupa tidak berulang kepada orang lain. Kehilangan anaknya itu harus dijadikan iktibar oleh para peniaga yang menjalankan perniagaan makanan pada bulan Ramadan.

PARA peniaga meraih pendapatan luar biasa terutama pada bulan Ramadan. - Gambar hiasan


Jaga kebersihan
Apapun, bukan semua peniaga bazar Ramadan memandang remeh isu kebersihan makanan. Bagi Amira Annis Razak, 24, yang pernah berniaga dengan ibunya, Noorasyikin Abu Bakar, 52, Ramadan bukan sahaja menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada para peniaga, bahkan mereka menggalas tanggungjawab yang cukup besar.
Sebagai peniaga makanan, faktor kebersihan merupakan amanah yang cukup berat di bahu mereka. Persekitaran di luar rumah hingga ke dapur perlu dijaga baik selain kebersihan diri.
Menurut pemegang Diploma bahagian Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, ibunya seorang wanita yang amat menitikberatkan garis panduan penyediaan makanan bagi memastikan makanan yang dihasilkan bersih dan selamat.
"Sebelum memasak, ibu akan mengeluarkan satu persatu barang mentah yang mahu dimasak kerana tidak mahu keadaan menjadi kelam-kabut," katanya memberitahu baki makanan yang dijual lazimnya dijadikan santapan berbuka puasa.
Bagi memastikan makanan tahan lama, perancangan sangat penting. Ibu Amira Annis lazimnya memasak lauk-pauk yang tidak menggunakan santan seperti ayam masak merah, daging kicap, ikan kicap dan kuih-muih.
Memasak makanan mengikut kandungan bahan sangat penting untuk mengelakkannya basi. Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, ibu bersama lima orang pekerja akan menyediakan hampir 40 jenis lauk-pauk dan pelbagai jenis kuih Melayu setiap hari ini.
Penyediaan makanan sebanyak itu bukan sahaja menuntut masa yang panjang, bahkan pada masa yang sama kesemua makanan perlu siap dimasak sebelum pukul 3 petang. Mereka mula memasak pada pukul 10 pagi.
Gadis manis itu mengakui mereka bukan sekadar memasak tetapi pada masa yang sama mereka perlu menjaga kebersihan dan kualiti makanan.

NORHAYATI akan memastikan air tebu yang dijualnya tidak rosak dan boleh diminum untuk berbuka puasa.


"Kalau makanan sedap tetapi tidak tahan lama memang tiada makna kerana para pelanggan akan merungut," katanya sambil memberitahu jualannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Dengan meraih pulangan lebih RM1,000 pada hari pertama sehingga akhir Ramadan, Amira Annis memberitahu sepanjang berniaga, belum ada rungutan pelanggan yang mengatakan makanan yang dijual basi apabila sampai ke rumah.
Rezeki Ramadan
"Alhamdullilah, setakat ini belum ada pelanggan yang mengadu," katanya yang menitikberatkan soal kualiti makanan.
Sementara itu, Norhayati Nawang, 49, yang menjual air tebu sejak 15 tahun lalu di Pekan Sungai Besi Kuala Lumpur mengakui dia meraih pendapatan RM400 sehari pada bulan Ramadan.
Keuntungan itu berbeza pada hari biasa dan bergantung kepada cuaca serta musim.
Bagi ibu kepada tiga orang anak itu, dia hanya menjual minuman itu dari pukul 3 petang kerana sebelum itu, dia akan menjalankan kerja-kerja mengupas kulit tebu yang mengambil masa selama dua jam.
Selepas itu, dia bersama seorang pekerjanya akan mencuci batang-batang tebu itu sebelum diperah dengan mesin.
Perniagaan Norhayati mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat kerana kualiti air tebunya.
Kualiti air tebu

KEBERSIHAN makanan perlu bermula dari peringkat penyediaannya.


"Saya akan pastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan kualiti air tebu yang dijual," katanya yang sibuk melayan pelanggan yang tidak putus-putus singgah di gerainya.
Menjual segelas air tebu pada harga RM1, manakala satu jag RM3, beliau mengakui perniagaan air pada bulan puasa jauh lebih baik berbanding hari-hari biasa.
Ketika ditanya tentang bagaimana air tebu mudah masam, anak jati Kelantan itu menjelaskan, perkara tersebut berlaku jika air tebu diperah terlalu awal.
Menurut Norhayati, bagi memastikan kualiti air tebu terjamin, dia akan mengasingkan air tebu dengan ais. Norhayati mendapat bekalan tebu dari Kuala Selangor, Selangor mengakui campuran air tebu dan ais menyebabkan minuman tersebut lebih cepat masam.
Sementara itu, Nurul Hanis Sasakima, 23, yang gemar membeli makanan di bazar Ramadan berasa tertipu apabila makanan yang dibelinya basi sebaik sampai di rumah.
Pengalaman lima kali membeli makanan yang tercemar di bazar Ramadan tahun lalu membuatkan dia lebih berhati-hati.
Kakitangan syarikat swasta itu memberitahu, kebiasaannya dia akan membuat tinjauan terlebih dahulu di bazar Ramadan sebelum membeli makanan yang dihajati.
Kepelbagaian juadah yang dijual menyebabkan Nurul Hanis 'terpedaya' lalu membeli martabak, cendol, nasi dan dua jenis lauk. Namun, ketika mahu berbuka, dia berasa amat kecewa kerana cendol tersebut berbuih-buih dan martabak tersebut basi.
"Tentulah saya rasa kecewa apabila makanan yang dibeli basi apabila mahu dijamah ketika berbuka," ujarnya dengan nada kesal.
Bagi anak sulung daripada lima adik-beradik itu, dia tidak begitu mengambil kira soal harga asalkan makanan tersebut memenuhi cita rasa.
"Pada pandangan saya, peniaga perlu memastikan makanan yang dijual berkualiti dan tahan untuk dimakan ketika berbuka puasa.
"Pastikan tahap kebersihan makanan dan diri, jika tidak pembeli akan berasa tertipu kerana peniaga mungkin tidak tahu makanan yang dijual sebenarnya sudah pun tercemar dan tidak boleh dimakan," tuturnya sambil memberitahu dia tidak membuat aduan mengenai perkara tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Namun, dia berharap PBT sentiasa mengadakan operasi di bazar Ramadan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara tersebut berulang.

Kredit: Sumber

1 comment:

  1. MashaAllah Great
    if you are interested latest Islamic wallpapers you should visit
    www.Islamicwall.com

    ReplyDelete

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©