Gejala 'Latah' Adalah Sejenis Penyakit Saraf

Sunday, March 17, 2013 by

Gambar Hiasan



“Opocot mak ko meletup,” kata Izzah ketika diusik rakan sepejabat yang sengaja mencuit dirinya tatkala dia leka menyiapkan tugasan. Pantang disentuh atau disapa, Izzah pasti akan melatah hingga mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya.

Malah, sampai satu ketika dia akan menari hingga lupa diri. Makin diusik, makin tidak waras kelakuannya. Hakikatnya, dia sendiri tidak tahu apa berlaku. Sebaik sedar, dia berasa penat disebabkan sepenuh tenaganya digunakan ketika melatah.

Izzah antara ribuan masyarakat Melayu yang tergolong dalam golongan ‘minah latah’ di negara ini. Melatah memang sinonim dengan masyarakat Melayu dan hanya berlaku di negara Asia.

Terhibur dan mencuit hati. Mungkin itulah gambaran paling tepat bagi gelagat mereka yang melatah. Jika diperhatikan, apabila seseorang melatah, dia seolah-olah hilang pertimbangan dan lupa seketika perbuatan yang dilakukan.

Pakar psikologi, Dr William S Buroughs menjelaskan, latah adalah situasi terkejut melampau (hyper- startling) yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita.

Bagaimanapun, golongan lelaki tidak terkecuali daripada melatah, malah ada kala mereka lebih teruk berbanding wanita.

Lihat saja selebriti seperti Opie Zami, Nadia Mustapha, Maya, Norlia Ghani dan Noorkhiriah Ahmad Shapie. Nama berkenaan turut membuktikan melatah tidak hanya membabitkan yang tua, juga golongan muda.

Sebenarnya bukan hanya masyarakat Melayu, melatah juga turut dialami kaum India dan orang Eskimo. Disebabkan latah boleh mengakibatkan seseorang hilang ingatan, masyarakat lain selalu menganggap ia sebagai penyakit hilang ingatan seperti skizofrenia.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Sng Kim Hock berkata, gejala latah ialah sejenis penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang tanpa disedari, dan mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu dengan tidak disengajakan.

“Sehingga kini punca penyakit ini masih tidak diketahui. Namun faktor seperti genetik dan sejarah keluarga berkemungkinan menyumbang.

“Di Malaysia, melatah tidak hanya berlaku pada masyarakat Melayu, tapi suku kaum seperti Iban serta Bidayuh turut melatah.

“Di Jepun, masyarakat yang dikenali sebagai Ainu turut melatah selain masyarakat Singapura dan Indonesia yang mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Menurut Sng, penyakit ini biasanya hanya berlaku di kawasan perkampungan berbanding bandar, malah fenomena ini membabitkan 80 hingga 90 peratus golongan wanita berumur.

“Biasanya apabila pergi ke majlis kenduri atau keraian, terutama masyarakat Melayu, kita dapat lihat pelbagai ragam golongan tua melatah. Biasanya mereka menjadi tumpuan, apalagi dalam upacara yang dipanggil rewang.

“Namun harus diingat, apabila melatah, mereka tidak ingat dan tidak tahu apa yang dilakukan. Justeru, jangan mengusik apabila dalam keadaan serius atau memegang objek tajam seperti parang, pisau atau gunting kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Penyakit latah juga ialah kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit tetapi dipercayai mempunyai kaitan rapat di antara fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Ia juga ada kaitan dengan sistem budaya sesuatu masyarakat.

Bagi pelakon Noorkhiriah, 36, dia tidak menyangka kecenderungannya mengusik rakan yang kuat melatah ketika bekerja sebagai penari di Istana Budaya ‘berjangkit’ dalam dirinya.

“Ketika itu, dalam fikiran saya, melatah hanya berlaku kepada mereka berusia 40 tahun ke atas dan bukan pada orang muda macam saya. Jadi, memang seronok dan tak ingat dunia, terutama apabila kawan melatah dan mengeluarkan perkataan kurang manis.

“Lama-kelamaan tanpa disedari, saya turut terkena ‘tempias’ melatah apabila rakan lain mengusik secara tiba-tiba. Waktu itu, memang tidak dapat kawal diri dan spontan bercakap perkara tidak enak,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Melanjutkan perbualan, Khiriah berkata, ramai menganggap faktor utama dia melatah disebabkan berjangkit daripada keluarga, padahal dalam salasilah keturunannya tiada langsung yang melatah melainkan dirinya.

“Hanya saya yang melatah dalam keluarga. Mujur suami dan anak memahami dan mereka memberi sepenuh sokongan untuk berubah dan menjadi wanita normal.

“Hampir 15 tahun melatah, ada juga rakan yang gemar mengusik namun saya tidak pernah ambil hati dan menganggap mereka hanya bergurau.

“Tambahan saya kini berhijab, membuatkan mereka semakin hormat,” katanya yang kini menjalani penggambaran drama bertajuk Poskad Dari Switzerland untuk terbitan TV AlHijrah.


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©