Al-Fatihah!! Untuk Perwira Negara, Prebet Ahmad Hurairah

Tuesday, March 12, 2013 by
Al-Fatihah buat wira muda negara, Allahyarham Ahmad Hurairah Bin Ismail, 24, dari Tujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Tawauyang gugur ketika bertempur dengan pengganas Sulu di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu,Lahad Datu, Sabah. Foto kecil pula adalah Bapa arwah, Ismail Hussin, 55 yang menunjukkan SMS terakhir anaknya berbunyi `salam abah,ma doa la orng slmt...era'.
 

   
   

LAHAD DATU: Seorang anggota tentera berpangkat prebet terbunuh selepas terkena bidikan penembak tepat sekumpulan lima saki baki pengganas dalam pertempuran terbaru di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, pagi ini.

Dalam kejadian, kira-kira jam 10.45 pagi itu, anggota berkenaan dikenali sebagai Prebet 1163461 Ahmad Hurairah Bin Ismail, 24, bersama beberapa anggota lain dari Tujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Tawau sedang menjejak saki baki pengganas yang sebelum itu, pada kira-kira jam 7.45 pagi bertempur dengan mereka di Sungai Nyamuk.

Mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum diterbangkan ke Hospital Duchess Of Kent di Sandakan untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, dalam pertempuran kedua itu, pasukan keselamatan berjaya menembak mati tiga pengganas terbabit manakala dua lagi melarikan diri manakala seorang anggota keselamatan terkorban.

Katanya, anggota terbabit sebelum itu sedang melakukan kerja penggeledahan dan pembersihan di kawasan Sungai Nyamuk sebelum terserempak dengan saki baki pengganas terbabit.

"Saya sendiri melawat Kampung Tanduo dan kerja pembersihan sudah selesai dijalankan," katanya.

Difahamkan, jenazah Prebet Ahmad Hurairah dijangka diterbangkan ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.Jenazah Allahyarham di jangka sampai pada jam 8.00 pagi esok di Lapangan Terbang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.


Sementara itu mengikut laporan Bernama, berikut adalah senarai anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
  

  • 1 Mac 2013 - ASP Zulkifli Mamat, 29, dari Pasukan Polis Komando VAT 69.   
  • 1 Mac 2013 -  Sjn Sabaruddin Daud, 46, dari Pasukan Komando VAT 69, Kem PGA Ulu Kinta, Perak.   
  • 2 Mac 2013 -  ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman.   
  • 2 Mac 2013 - ASP Michael Padel, 36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.   
  • 2 Mac 2013 -  Sjn Abdul Azis Sarikon, 48, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 - L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 - Sjn Detektif Baharin Hamit, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
  • 2 Mac 2013 - Kpl Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.   
  • 12 Mac 2013 - Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 RAMD Tawau.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©