Jurugambar Rakyat Malaysia Menang Anugerah Fotografi Dunia

Saturday, February 16, 2013 by
 
Inilah imej yang dirakamkannya oleh Wei Seng Chen memaparkan gambar seorang lelaki sedang memegang ekor dua ekor kerbau jantan di kawasan sawah padi di Batu Sangkar, Indonesia.

  
Seorang jurugambar rakyat Malaysia, Wei Seng Chen mencipta sejarah apabila memenangi  tempat pertama bagi kategori sukan dalam anugerah World Press Photo yang diadakan di Amsterdam, Belanda, hari ini.

Gambarnya yang memaparkan sukan lasak yang terdapat di Indonesia merupakan antara kategori utama yang dinanti-nantikan oleh semua pencinta fotografi seluruh dunia

Imej yang dirakamkannya itu memaparkan gambar seorang lelaki sedang memegang ekor dua ekor kerbau jantan di kawasan sawah padi di Batu Sangkar, Indonesia.

Majlis anugerah tahunan ini telah mempertaruhkan sebanyak sembilan kategori yang turut disertai oleh 54 jurugambar dari serata dunia yang terpilih pada peringkat akhir.

Sementara itu, jurugambar kelahiran Sweden, Paul Hansen memenangi hadiah utama apabila gambarnya yang memaparkan imej dua kanak-kanak Palestin terbunuh dalam serangan yang dilancarkan Israel tahun lalu.

Secara keseluruhannya, sebanyak 103,481 gambar telah dihantar oleh 5,666 jurugambar dari 124 negara yang mengambil bahagian pada pertandingan ini.

Dengan kemenangan itu, Hansen meraih wang tunai berjumlah €10,000 (RM41,252) dan gambarnya kemenangannya itu bakal dipamerkan di Pameran Seni di Amsterdam pada 25 hingga 27 April depan.