Lelaki Indon Maut Disembelih Sepupu Sendiri

Monday, December 17, 2012 by
Senab Saing ditenangkan seorang pekerja ladang atas kematian suaminya di Hospital Miri, Sarawak, semalam.
 


MIRI: “Apa yang saya bimbang akhirnya berlaku,” kata Senab Saing, 26, isteri pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia yang mati akibat dikelar di leher dengan sebilah pisau buatan sendiri oleh sepupunya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 awal pagi di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Bakong itu, Mantang Sakara, 33, berasal dari Makasar, Indonesia mati di tempat kejadian akibat parah di leher dan dahi selepas dikelar suspek yang dipercayai mengalami gangguan mental.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa memberikan segelas air yang diminta lelaki berusia 20-an itu ketika dia terjaga daripada tidur.

Bagaimanapun, ibarat bom jangka, sepupu Mantang itu tiba-tiba bertindak agresif menyerangnya sebelum mengelar leher mangsa menggunakan pisau buatan sendiri.

Menurut Senab, dia terjaga dari tidur selepas terdengar suaminya menjerit meminta tolong dan terkejut apabila melihat Mantang berlumuran darah terbaring mengerang kesakitan.

Katanya, ketika itu dia melihat suspek memegang pisau dan cuba merampasnya namun gagal, malah menyebabkannya hampir menerima nasib sama apabila diserang suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Ketika itu, saya melihat suami yang berlumuran darah mengerang kesakitan serta memegang lehernya yang cedera sebelum rebah ke lantai.

“Usaha saya untuk menghalang pendarahan pada leher suami dengan sehelai tuala gagal sebelum dia tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, suspek yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran bertandang ke rumahnya petang kelmarin dan menyatakan hasrat untuk bermalam di situ.

“Ketika itu, saya benar-benar bimbang dan menyuarakan perkara itu kepada suami selepas melihat perangai pelik sepupunya yang sering bercakap seorang diri namun tidak dihiraukan suami.

“Malah, saya dan suami serta anak perempuan berusia tiga tahun tidur di luar kerana bilik tidur kami dikunci lelaki itu dari dalam beberapa jam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, gerakan mencari suspek dilakukan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©