Sasaran sebenar suspek masih menjadi misteri.
KUALA LUMPUR: Mohd Noor Fikrie Abd Kahar merupakan seorang lagi anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dilatih menerusi laman sosial Facebook.
Anak kepada pesara polis itu merupakan contoh klasik salah seorang individu yang menyertai kumpulan militan menerusi laman sosial dan terbunuh dalam misi keganasan yang gagal dilaksanakannya.
Sasaran utamanya masih kekal misteri tetapi polis Filipina berkata, bahan letupan itu boleh disasarkan ke pusat membeli-belah, hotel atau gereja.
Timbul spekulasi bahawa tindakan Mohd Noor Fikrie itu merupakan upacara inisiasinya sebagai pejuang JI.
Walaupun masih lagi baru, dia sudah menjalin hubungan rapat dengan pemimpin tertinggi JI dan rakan senegara Zulkifli Abdul Hir yang turut dikenali sebagai Marwan.
Marwan dipercaya berjaya melarikan diri daripada serangan anggota keselamatan Filipina pada 2 Februari lalu yang mengorbankan pemimpin Abu Sayyaf, Umbra Jumdail Gumbahali yang turut dikenali sebagai Dr Abu.
Mohd Noor Fikrie yang merupakan anak kelahiran Kedah, 26, sering berhubung dengan Marwan dan Abu Sayyaf menerusi laman media sosial dan menggunakan seorang rakannya di Sabah untuk berlepas dari Sandakan ke bandar Zamboanga di selatan Filipina.
Menurut sumber perisikan, Mohd Noor Fikrie bersama Marwan dan kumpulan Abu Sayyaf ketika serangan yang dilancarkan pasukan tentera dan polis Filipina beberapa bulan lalu.
"JI dan Abu Sayyaf beroperasi bersama-sama di kawasan Sulu tetapi JI bergerak ke Mindanao apabila pihak berkuasa Filipina yang turut dibantu Amerika Syarikat dan Australia untuk memburu mereka," kata sumber itu.
Selepas satu serangan terbaru dalam usaha memburu kumpulan terbabit, Mohd Noor Fikrie antara salah seorang yang berjaya melarikan diri.
"Namun dalam keadaan tergesa-gesa, dia tertinggal kad pengenalannya," kata sumber itu lagi.
Oleh itu, pasukan keselamatan Filipina sentiasa memburunya sehingga dia muncul di Davao pada malam Jumaat bersama isterinya, Annabelle Nieva Lee yang membawa beg sandang berisi sebutir bom untuk melakukan serangan.
Menurut Ketua Polis Davao, Superintendan Kanan Ronaldo Dela Rosa memberitahu, kehadiran suami isteri itu di Hotel Sampaguita, Davao berjaya dijejaki oleh polis Filipina yang menugaskan sepasukan anggota pasukan gerak khas dan taktikal (SWAT) mengepung hotel itu pada pukul 7 malam.
Mohd. Noor dan Anabelle yang membawa beg sandang, dilihat keluar dari bilik hotel mereka pada pukul 10.30 malam dan menuju ke lobi hotel.
Pada waktu itu, Dela Rosa bersama anggotanya telah meminta mereka untuk menyerah diri namun Mohd. Noor bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan mengugut untuk meletupkan bom menggunakan peralatan itu jika dia ditembak.
Tindakannya itu menyebabkan keadaan di lobi hotel itu menjadi kelam-kabut sehingga mendorong polis membiarkan pasangan tersebut lari keluar dari bangunan demi keselamatan orang awam.
Mohd. Noor yang membawa beg sandang berisi bom cuba melarikan diri ke arah sebuah taman awam sebelum dia ditembak oleh penembak tepat yang sedia menunggu di kawasan tersebut.
Dela Rosa berkata, polis turut menemui bahan letupan yang diperbuat daripada kepala mortar bersaiz 60 milimeter, telefon bimbit dan peralatan lain untuk membuat bom.
Mohd. Noor dipercayai merancang untuk meletupkan sebuah hotel di Davao tetapi setakat ini belum dapat dipastikan sama ada bangunan itu ialah Hotel Sampaguita.
Mohd Noor Fikrie menamatkan zaman persekolahan dan bekerja di Melaka di mana bapanya merupakan seorang sarjan di ibu pejabat pusat latihan polis kontinjen sebelum bersara pada 2002 dan kembali ke kampung halaman mereka di Benut, Pontian, Johor.
Suspek berkahwin dengan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Nuzul dan menetap di Kampung Bahagia, Klebang, Melaka sebelum bercerai pada tahun lalu.
Dia kemudiannya berlepas ke Mindanao dan berkahwin dengan Lee, seorang mualaf dari Sorsogon.
Difahamkan beberapa tahun lalu, dia menyertai JI dan sering berhubung dengan kumpulan tersebut menerusi media sosial.
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©