Pemandu Maut Kereta Terjunam Ke Dalam Laut
Thursday, November 01, 2012 by Author
Anggota penyelamat sedang menaikkan Kereta Proton Persona dinaiki Tan yang terjunam ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang, hari ini.
GEORGETOWN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam laut selepas merempuh Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 7.9, menghala ke arah Georgetown, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kereta Proton Persona yang dipandu Tan Kean Loon, 26, dari Air Itam di sini dipercayai merempuh tembok pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam laut.
Kejadian itu hanya disedari selepas pasukan peronda lebuh raya yang membuat rondaan menjumpai tayar kereta di tepi jambatan manakala tiang lampu juga tumbang ke dalam laut.
Mengesyaki ada kenderaan terjunam ke dalam laut, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Skuba memulakan gerakan mencari kenderaan dan mangsa kemalangan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk mengesan lokasi kereta mangsa di dasar laut.
“Kereta berjaya diangkat menggunakan kren pada jam 12.30 tengah hari dan mayat mangsa ditemui tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.
Kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim dipetik Bernama berkata, pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas dipercayai adalah warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan warga tempatan.
"Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ," katanya dan menurutnya polis juga sedang menunggu untuk mengambil keterangan daripada seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang untuk mengetahui identiti sebenar kesemua mangsa.
Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas.
Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 September tahun lepas.
Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.
Sumber: Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©