Tukang Tilik Warga China Kebas RM107,000

Saturday, August 18, 2012 by
Superintendan Soh Hock Sing menunjukkan rakaman kamera litar tertutup yang merakamkan penipuan sekumpulan warga China yang menyamar sebagai tukang tilik di Melaka semalam.
MELAKA - Angkara percaya ramalan tukang tilik bahawa anak bakal ditimpa kemalangan, seorang suri rumah kerugian barang kemas berjumlah RM102,000 dan wang tunai RM5,000 dalam kejadian di Medan Selera Malim di sini pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 50-an pada mulanya didatangi seorang wanita memberitahu dia sedang mencari bomoh atau tukang tilik dan bertanya sama ada mangsa mengenali individu sebegitu.

Menurut beliau, ketika mangsa sedang berbual dengan suspek pertama itu, seorang lagi rakan suspek datang lalu memberitahu mengenali seorang tukang tilik berkenaan dan membawa mangsa serta suspek pertama berjumpa dengan tukang tilik tersebut yang sebenarnya rakan subahat mereka.

"Ketika berjumpa tukang tilik yang merupakan wanita warga China itu, mangsa diberitahu akan ditimpa malang kerana anaknya akan mengalami kemalangan jalan raya.

"Tukang tilik itu kemudian memberitahu terdapat cara membuang nasib malang tersebut iaitu dengan menyerahkan barang kemas miliknya untuk disembahyangkan," kata Hock Sing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.

Hock Sing berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata tukang tilik itu pulang ke rumah dan kemudian menyerahkan barang kemasnya bernilai RM102,000 yang telah dibalut dengan kain serta wang tunai RM5,000 kepada suspek.

"Tukang tilik itu kemudian melakukan upacara sembahyang pada barang kemas itu dan menyerahkan semula dengan berpesan supaya mangsa tidak membuka bungkusan itu selama sebulan selain tidak memberitahu kepada sesiapa pun mengenai tilikan berkenaan.

"Tanpa disedari mangsa, kesemua barang kemas di dalam bungkusan itu sebenarnya telah ditukar sebelum diserahkan semula," katanya.

Menurutnya, mangsa yang pulang ke rumah selepas itu berasa curiga dengan perkara tersebut lalu membuka bungkusan berkenaan dan terkejut mendapati barang kemasnya telah hilang sebaliknya diganti dengan jagung dan dua botol air mineral. Dia kemudian membuat laporan polis.

"Ketiga-tiga suspek berusia 40 hingga 50 tahun dan dipercayai berasal dari negara China. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Dalam pada itu, Hock Sing berkata, sepanjang tahun ini, terdapat lapan kes seumpama itu dilaporkan melibatkan kerugian RM607,470.

"Kawasan operasi tukang tilik atau bomoh penipu itu ialah di pasar, medan selera, tokong atau bank dan mereka menjadikan wanita yang bersendirian sebagai sasaran," katanya.

Oleh ROSLI HASSAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©