Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Pandelela sambil diperhatikan ibu bapanya, Hartini (kiri) dan Pamg, pada majlis meraikan kemenangan pingat gangsa Sukan Olimpik di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meraikan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara terjun 10 meter platform di pejabatnya di sini.
Sebagai penghargaan kerajaan, Najib menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 iaitu Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak RM100,000 dan Amanah Saham Wawasan sebanyak RM200,000 kepada Pandelela atas kejayaan mengharumkan nama negara pada kejohanan berprestij itu.
Perdana Menteri juga menyerahkan surat tawaran biasiswa penuh kerajaan daripada Yayasan Tun Abdul Razak untuk membolehkan atlet negara itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan pilihannya di Universiti Tun Abdul Razak.
Dalam pertemuan selama 10 minit itu, Najib memberi jaminan kerajaan sedia menghulurkan segala jenis bantuan bagi membolehkan atlet muda itu meningkatkan prestasi dan seterusnya mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Adakah kamu komited untuk Rio (Kejohanan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016) dan apa lagi yang kamu perlukan? Semua sudah cukup?" tanya Najib dengan senyuman kepada Pandelela.
Najib juga bertanya perasaan Pandelela sewaktu melakukan terjunan dari ketinggian 10 meter pada pertandingan itu.
"Kamu gementar tak ketika hendak mula," tanya Najib.
"Ya, tetapi selepas itu saya rasa teruja," kata Pandelela.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Kontinjen Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.
Hadir sama, ibu bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg ak Joheng, serta jurulatih, Yang Zhuliang.
Pada Sukan Olimpik London 2012, gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata pada acara 10m platform di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan 422.30 mata manakala Britanny Broben dari Australia meraih pingat perak selepas mengutip 366.50 mata. - Bernama
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©