Lelaki Maut Ditembak Ketika Bermain Dam

Tuesday, August 28, 2012 by
Lokasi kejadian mangsa,Mat Keya Jusoh yang ditembak dari jarak dekat ketika bermain dam di kedai makan miliknya di Bukit Cempedak, Marang kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit maut selepas terkena dua das tembakan pada jarak dekat di rusuk kanan belakang dan rusuk kiri depan oleh tiga lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Marang, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, sedang bermain dam berhampiran kedainya bersama seorang rakan, Allias Lemas, 51, sebelum didatangi sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek.

Mohd Hafizudin tidak mampu menahan kesedihan atas kejadian menimpa ayahnya itu sehingga tidak dapat hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Allias (kiri) bersama rakannya melakonkan semula keadaan mangsa semasa terkena dua das tembakan ketika mereka sedang bermain dam di hadapan kedai mangsa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, Perodua Viva berwarna putih itu berhenti antara jarak lima meter sahaja dari tempat mangsa bermain dam sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu ingin mencari ‘Pok Mat’.

“Salah seorang suspek bertanyakan kepada mangsa adakah dia ‘Pok Mat’ dan mangsa yang sememangnya dikenal dengan nama itu dalam kalangan rakan serta orang kampung mengiakan sahaja.

“Bagaimanapun, hanya beberapa saat selepas mangsa mengaku yang dia adalah 'Pok Mat', dua das tembakan dilepaskan oleh salah seorang suspek menyebabkan mangsa terus rebah sebelum mereka memecut kereta meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Manoharan berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian rusuk dihantar penduduk kampung ke Hospital Kuala Berang untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bagaimanapun, bapa lima anak itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan.

Katanya, suspek berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun dipercayai lelaki Melayu.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Gurau menda ni.."

"Gurau menda ni..." itulah kata-kata terakhir Allahyarham Mat Keya sebelum rebah selepas terkena dua das tembakan di hadapan kedai makan miliknya di Kampung Bukit Chempedak, Pengkalan Berangan, malam kelmarin.

Rakan Allahyarham, Allias berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa ditembak dari jarak dekat ketika sedang bermain dam.

“Sebelum kejadian, kami melihat kereta berhenti di sebuah rumah berdekatan kedai ini tetapi kereta itu hanya berhenti sekejap sahaja di situ sebelum bergerak semula dan berhenti di hadapan kedai ini.

“Sebaik kereta itu berhenti di hadapan kedai, betul-betul di hadapan kami, seorang individu tidak dikenali bertanya adakah kami mengenali ‘Pok Mat’ lalu mangsa mengakui dia adalah ‘Pok Mat’ yang dicari,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penjenayah itu kemudiannya mengundurkan kenderaan sebelum melepaskan dua das tembakan.

Menurutnya, sejurus selepas bunyi tembakan itu dia melihat mangsa bangun dan memarahi individu berkenaan kerana menganggap ia gurauan melampau.

“Bagaimanapun, Pok Mat kemudiannya rebah dan ketika memegang mangsa saya melihat ada kesan darah di bahagian rusuk lalu memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya,” katanya.

Sangka bunyi mercun

Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata, dia juga tidak menyangka bunyi letupan sebanyak dua kali itu adalah bunyi tembakan yang meragut nyawa suaminya.

"Ketika kejadian, saya berada di dapur dan sangka bunyi letupan itu bunyi budak nakal bermain mercun,” katanya yang mempunyai lima anak.

Pemergian ketua keluarga itu bukan sahaja ditangisi Sepiah, tetapi turut dirasai anak-anak mangsa malah salah seorang anak mangsa, Mohd Hafizudin, 17, tidak hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan ini sepatutnya menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu, namun tidak dapat hadir kerana bersedih atas kejadian menimpa ayahnya.

OLEH RUBIAH OMAR & MOHD AZLIM ZAINURY

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©