Isteri Memendam Rasa Gara-Gara 'Euro 2012'

Thursday, June 14, 2012 by



Kata yang empunya cerita ada isteri – termasuk yang masih dalam manis bulan madu – gelisah sebab sehari dua ini tiba-tiba tidak dipedulikan suami.

Malam-malam yang sepatutnya indah, mereka dibiarkan kesepian dan terlentang seorang diri, terkebil-kebil di atas katil.

Oleh sebab berasa tidak dihargai, tidak tahan terus memendam perasaan zahir dan batin, ada yang merajuk, diam-diam lari ke rumah ibu bapa. Jangan salah faham, ini bukan kes suami sudah ada perempuan lain. Tidak juga suami terkena ilmu bomoh Siam seorang janda, selisih malaikat 44!

Ini semua gara-gara Euro 2012 – Kejohanan Bola Sepak Eropah – yang kini sedang berlangsung hebat di Poland dan Ukraine. Setiap hari ada dua perlawanan, bermula jam 12 tengah malam hingga 4 subuh. Pada waktu ini tumpuan suami tidak pada bola-bola lain, hanya pada bola yang satu itu.

Maka sukalah saya memberi nasihat kepada mana-mana isteri yang berkenaan bahawa mereka mungkin terpaksa memeluk bantal kira-kira sebulan sehingga kejohanan itu selesai 1 Julai depan. Tidak guna merajuk atau tunjuk perasaan, sebab suami akan tetap berjaga malam.

Sebenarnya bukan isteri sahaja, kesan Euro 2012 dirasakan di kebanyakan pejabat. Rekod kakitangan yang datang lewat semakin meningkat. Bukan lewat 10 atau 15 minit, malah ada yang masuk pejabat dua jam lewat. Mata kuyu seperti penagih tegar, sebab tidur lepas jam 4 pagi. Mungkin ada yang terlepas solat subuh.

Rekod yang mendapat cuti sakit @ MC pun mendadak naik. Almaklumlah, daripada masuk pejabat lewat, mata kuyu dan menguap setiap lima minit, lebih baik tidak masuk kerja. Oleh sebab cuti tahunan sudah habis, cara paling selamat ialah dengan membeli MC dari mana-mana klinik.

Nasib baik musim bola ini hanya sebulan, kalau setahun pasti akan menjejaskan prestasi kerja, dan negara akan mengalami penurunan produktiviti. Malah, mungkin juga akan terjadi pergaduhan antara suami dengan para isteri yang hilang sabar.

Bola ternyata tidak sahaja meresahkan isteri dan majikan, tetapi juga terbukti menyusahkan polis. Walaupun KPI menurunkan kadar jenayah berjaya, demikian menurut KDN, polis tidak duduk senang setiap kali ada kejohanan bola peringkat dunia.

Kerja polis bertambah, bukan menonton bola, tetapi untuk membanteras judi bola. Wabak ini, melibatkan pertaruhan RM berbilion-bilion, kini melanda seluruh dunia, termasuk negara kita. Setiap kali bola ditendang, duit judi – termasuk yang tidak berlesen – berterbangan seperti dedaun di musim luruh.

Setakat awal minggu, tiga hari setelah sepak mula Euro 2012, polis sudah mengesan gelagat kaki judi di tempat kita. Judi bola paling awal dikesan di Pulau Pinang, apabila polis berjaya menumpaskan sindiket bookie yang mengaut pertaruhan RM100,000 bagi setiap perlawanan.

RM100,000 setiap perlawanan, bayangkan berapa banyak yang dikaut oleh tauke judi haram sepanjang musim ini yang menyaksikan berpuluh perlawanan.

Kalau satu malam, empat perlawanan, mereka dapat hampir RM setengah juta, jumlah yang diperoleh sepanjang musim ini tentulah berpuluh-puluh juta.

Pegawai Turus Bahagian KongsiGelap, Judi dan Maksiat Kontinjen Polis Pulau Pinang DSP Zailani Amit berkata dalam serbuan di sebuah kedai minuman pada pukul 7.45 malam itu, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga emas. Mereka sedang menjalankan urus niaga haram menerusi Internet.

Siasatan di bawah Seksyen 6(3) (a) Akta Pertaruhan 1953, mendapati warga emas 75 tahun yang ditahan itu pernah terlibat dalam kesalahan sama semasa musim bola sepak Piala Dunia yang lepas.

Mungkin denda terlalu sedikit hanya RM20, dia tidak serik. Apalah RM20,000 beranding perolehan RM100,000 setiap perlawanan! Atau, apakah si tua itu dulu tidak dikenakan apa-apa tindakan?

Bola sepak, sebagai sukan paling popular, menjadi punca judi. Rekod menunjukkan sepanjang musim Piala Dunia dua tahun lalu PDRM telah melakukan sebanyak 270 serbuan judi bola sepak di seluruh negara. Dari jumlah tersebut sebanyak 151 serbuan memperoleh kejayaan. Jumlah keseluruhan pertaruhan lebih RM400 juta. Sepanjang tempoh Piala Dunia polis menahan 227 individu, termasuk 17 wanita dan beberapa orang kenamaan berstatus Datuk.

Pasti ramai lagi ditahan sepanjang Euro 2012. Tetapi tahan sahaja tidak cukup. Tauke dan penjudi haram itu mesti dihukum. Sekiranya denda RM tidak berkesan, sumbatkan mereka ke penjara.

OLEH ABD JALIL ALI

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©