Pokok Mempelam Jadi Penyelamat

Thursday, May 17, 2012 by
MINAH bersama cucunya, Nor Auni melihat lori yang terbalik dan minyak sawit yang tumpah daripada tangki lori.

HULU TERENGGANU – Sebatang pokok mempelam berusia lebih 50 tahun menjadi penyelamat kepada seorang warga emas dan cicit perempuannya selepas sebuah lori tangki membawa muatan 40 tan minyak sawit terbabas di hadapan rumahnya di Kilometer 15, Jalan Gaung-Teris berhampiran Kampung Tengkawang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi, lori dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun itu terbabas lalu merempuh sebuah kedai dan pokok mempelam. Rempuhan itu menyebabkan lori itu terbalik dengan keempat-empat tayarnya naik ke atas.

Minyak sawit daripada lori tangki itu pula tumpah masuk ke dalam rumah milik warga emas itu dan tiga buah rumah lain.

Warga emas itu, Minah Che Idris, 60, berkata, sebaik mendengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia mendapatkan cicitnya, Nor Auni Azamudi berusia sembilan bulan yang tidur di ruang tamu.

“Sambil mendukung Nor Auni saya berlari ke belakang rumah dan nampak minyak sawit tumpah memasuki rumah saya dan tiga rumah jiran,” kata wanita itu ketika ditemui di sini semalam.

Cerita Minah, dia yang masih terkejut dengan bunyi dentuman itu terduduk di belakang rumah sehingga jiran datang bertanya keadaannya.

Oleh MANIRAH OTHMAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©