Gambar Kamisah Abdul Rashid yang terlantar sakit di rumah ibu bapanya.
KUANTAN - Niat seorang ibu tunggal untuk meningkatkan kecergasan badan akhirnya menderita apabila tulang pinggul kirinya pecah dua tahun lalu akibat pengambilan jamu yang dipercayai mengandungi steroid.
Kamisah Abdul Rashid, 52, berkata, dia yang menjual barangan jualan langsung mengambil jamu itu selepas diperkenalkan rakan dan mencubanya tiga tahun lalu.
Menurutnya, selepas pengambilan jamu itu dia menjadi lebih bertenaga sehinggalah dia terjatuh dari kerusi.
“Selepas kejadian itu, doktor mengesahkan saya mengalami osteoporosis iaitu tulang reput menyebabkan tulang pinggul saya pecah akibat hentakan kuat ketika jatuh.
“Malah doktor mengatakan terdapat kandungan steroid dalam badan saya menyebabkan tulang reput.
“Saya terpaksa tinggal di wad selama sebulan untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di rumahnya di Taman LKNP Bukit Setongkol.
Hadir menyampaikan sumbangan, Pengerusi Mayang Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof.
Kamisah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata terpaksa berpindah ke rumah ibu bapanya, Abdul Rashid Ali, 76, dan Siti Zaharah Embong, 75, di Taman LKNP kerana memerlukan perhatian kerana tidak mampu menguruskan diri sejak kejadian itu.
Katanya, dia kini hanya mampu terbaring dan mengguling-guling badannya untuk bergerak.
“Kalau boleh saya mahu sembuh seperti biasa tetapi mungkin harapan tipis kerana saya tidak boleh menjalani pembedahan kerana ada masalah paru-paru.
“Nasib baik anak kedua, Nor Zaleha, 19, yang sedang belajar di Ikip boleh menguruskan saya,” katanya.
Kamisah berkata, sejak jatuh sakit, perbelanjaan dia anak-beranak hanya bergantung pada duit simpanan yang tidak seberapa.
“Kesulitan itu menyebabkan anak bongsu, Muhammad Amirul Hassan, 18, membuat keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran sebaliknya bekerja untuk menampung perbelanjaan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hazmi berkata, dia akan memberi bantuan sewajarnya kepada Kamisah bagi mengurangkan penderitaan ibu tunggal itu.
“Dia memohon untuk mendapatkan kerusi roda yang sesuai dan kita akan usahakannya,” katanya.
OLEH: ERMA YUSNIDA JUSOH
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©