Tablet PC Yang Termurah Di Dunia

Thursday, January 05, 2012 by
Pelajar-pelajar di India bersama tablet pc Aakash berharga 2,500 rupee atau RM148 seunit, yang merupakan termurah di dunia. - REUTERS

NEW DELHI 4 Jan. - Tablet PC yang termurah di dunia, Aakash semalam mencatat 1.4 juta tempahan sejak mula dijual secara dalam talian pada minggu lalu di India.

Jurucakap syarikat Britain, Datawind di New Delhi berkata, tempahan tablet tersebut yang berharga 2,500 rupee (RM148), mula diterima sejak 14 Disember lalu, dua bulan selepas ia dipamerkan sebagai 'komputer untuk semua' di India.

Datawind yang mengikat kontrak dengan kerajaan India untuk membuat Aakash, turut terkejut dengan permintaan tinggi tablet itu di India.

Syarikat Datawind kini turut menerima tempahan versi Aakash yang dinaik taraf iaitu Ubislate 7 pada Mac depan dan tiga kilang baru akan dibuka pada tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kami merancang untuk menghasilkan 75,000 unit sebulan bagi setiap kilang bermula April ini," katanya.

Akhbar Economic Times dalam laman webnya berkata, syarikat pengeluar telah kehabisan stok tablet Aakash, yang dilengkapi skrin sentuh berukuran 18 sentimeter, Wi-Fi, fungsi Internet, pemain multimedia dan bateri yang mampu bertahan sehingga 180 minit.

Tablet itu juga dilengkapi dengan sistem operasi Android 2.2 dan kad memori 2GB serta dua slot USB.

Katanya, kira-kira 400,000 tempahan jualan awal Aakash menjadikan jumlah itu lebih tinggi berbanding jualan keseluruhan pasaran tablet di India yang mencatatkan penjualan 250,000 sehingga 300,000 unit tablet pada tahun lalu. - AFP

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©