Wanita Yang Menikam Pemandu Bas Rapid Penang Ditahan

Wednesday, October 08, 2014 by
SUSPEK direman empat hari bagi membantu siasatan.  

Georgetown: Wanita kurang siuman yang menikam pemandu bas Rapid Penang, semalam ditahan ketika dia sedang menaiki bas bernombor sama di Jalan Paya Terubong, di sini, hari ini.

Pekebun sayur berusia 48 tahun itu ditahan oleh pemandu bas yang mengenali wanita terbabit kerana dia dikatakan hampir setiap hari menaiki bas Rapid Penang bernombor 502 laluan dari Jeti ke Balik Pulau untuk ke pasar.

Selepas menahan wanita terbabit, pemandu bas itu menyerahkan suspek kepada polis dan hasil pemeriksaan ke atas beg wanita itu polis menemui sebilah pisau disyaki senjata kes serangan semalam.

Difahamkan, setiap hari wanita itu akan menaiki bas untuk ke pasar berhampiran bagi menjual hasil tanamannya secara kecil-kecilan kepada peniaga di pasar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas wanita terbabit bagi siasatan kes serangan berkenaan.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu berikutan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan sudah ditemui.

"Pisau itu ditemui dalam beg yang dibawanya dan suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.


RAKAN sekerja membantu mangsa yang parah dalam bas sebelum ambulans tiba. 

Semalam, pemandu bas Rapid Penang Aisyamudin Yaacob, 27, tidak sedarkan diri apabila dia ditikam di paha kanan oleh wanita berkenaan yang dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa tidak memberhentikan bas di depan rumahnya berikutan hentian bas terletak di kawasan berdekatan.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Aisyamudin Yaacob, 27, parah apabila paha kanannya ditikam penumpang wanita berkenaan yang dikatakan berang kerana mangsa tidak memberhentikan bas berhampiran kawasan rumahnya.

Mangsa mengalami pendarahan teruk kerana tikaman wanita berkenaan terkena urat saraf utamanya dan ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dia langsung tidak sedarkan diri.

Selain itu, pemandu bas berkenaan juga terpaksa menjalani pembedahan dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan, mangsa yang masih bujang itu baru dua bulan bekerja sebagai pemandu bas di syarikat berkenaan dan dia tidak mengetahui penumpang wanita terbabit mempunyai masalah mental.

Penumpang itu pula dikatakan hampir setiap hari menaiki bas dan ketika kejadian dia menekan loceng untuk berhenti di kawasan rumahnya, namun pemandu bas itu memberhentikan kenderaan di stesen berhampiran.

Tindakan pemandu bas terbabit menimbulkan kemarahan wanita berkenaan yang kemudian mengeluarkan senjata tajam dan menikam paha mangsa sebelum dia melarikan diri.

(Kredit: Harian Metro)

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©