Payudara Mampu Jinakkan Suami??

Sunday, September 07, 2014 by




SANDAKAN: “Walaupun kegarangan suami boleh diumpamakan seperti sang harimau yang pantang dicabar, itu tidak bermakna mereka tidak boleh dijinakkan.

“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu juga halnya dengan si suami yang akan layu ketika ‘disusukan’,” begitulah nasihat Mansura Sirai tanpa segan silu menceritakan rahsia kerukunan rumah tangganya bersama suami tercinta, Yusuf Susuk, 70, sejak lebih 50 tahun lalu.

Ibu berusia 65 tahun yang melahirkan 23 cahaya mata ini mengakui payudara isteri memainkan peranan utama bagi menawan suami dan mengelaknya beralih cinta kepada wanita lain.

“Sebagai isteri, kita harus tahu menjaga penampilan diri dari luar dan dalam selain sentiasa bergurau setiap masa, terutama di bilik tidur.

“Bayangkan perasaan suami apabila melihat tubuh kita kendur di sana sini, sudah pasti hilang selera untuk bersama dan menjadi alasan mencari pucuk muda yang lebih gebu,” katanya tanpa berselindung.

Mansura berkata, jika aset wanita itu sentiasa padat, kerukunan rumah tangga dan hubungan suami isteri sentiasa hangat.

Kesempatan menemui Mansura secara bersemuka membuktikan kebenaran kata-katanya.

Meskipun boleh dianggap nenek, tubuh Mansura seakan-akan tidak ditelan waktu dan kelihatan sihat seperti wanita berusia 30-an.

Penulis juga hanya menggeleng kepala sebaik diberitahu wanita berkenaan berusia 65 tahun dan memiliki 23 anak selain bercucu dan cicit.

“Payudara perlu dijaga sebaik-baiknya dan antara caranya ialah memakan jamu dan bersenam.

“Jamu boleh dibuat sendiri menggunakan barang yang mudah didapati di pasar seperti ibu kunyit, asam jawa, lada putih, sirih, manjakani, gula, garam dan telur ayam kampung,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, baru-baru ini.

Mansura berkata, pemakanan jamu membolehkan badan lebih sihat dan bertenaga serta menegangkan otot kendur, terutama sistem peranakan.

“Saya tidak pernah mengamalkan ilmu songsang atau susuk kerana ia perbuatan syirik,” katanya.

Selain 23 anak, termasuk enam yang meninggal dunia sebaik dilahirkan, Mansura turut dikurniakan 60 cucu dan empat cicit.

“Bayangkan selepas melahirkan anak, saya boleh berjalan seperti biasa keesokannya dan ke pasar seminggu selepas itu. Ramai tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.

Mansura berkata, dia berkahwin dengan Yusof ketika berusia 13 tahun dan terus bunting pelamin, namun kurang bernasib baik apabila beberapa anaknya meninggal selepas dilahirkan.

“Anak pertama mak cik sepatutnya berusia 52 tahun tetapi meninggal dunia sebaik dilahirkan, manakala paling bongsu berusia 15 tahun dan menuntut di Sekolah Menengah Batu Sapi,” katanya.

Mengikut perkiraan kasar, pasangan itu memperoleh anak sulung iaitu Junaidah, 46, ketika Mansura berusia 19 tahun dan melahirkan anak ke-23, Jefry Aman, 15, pada usia emas 50 tahun. Malah ketika berusia 30 tahun, dia mempunyai lapan anak.

Menurut Mansura, ramai wanita kini mengabaikan penjagaan diri dan enggan mengikuti nasihat orang tua yang dianggap kolot serta ketinggalan ramai.

“Selain petua ketika bersama, suami isteri perlu bertolak ansur kerana alam berumah tangga mempunyai 1,001 cabaran dan dugaan.

“Ketika suami marah, kita sebagai isteri perlu berdiam diri dan jangan sesekali melawan kerana ‘harimau’ yang mengamuk pantang dicabar,” katanya.

Mansura berkata, perkara sama perlu dilakukan suami apabila melihat isteri dalam keadaan marah.

“Sebagai orang tua, saya hanya mampu memberi nasihat kerana sedih mendengar pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sudah naik turun mahkamah untuk bercerai.

“Sedih melihat isteri yang masih muda dan cantik terpaksa menjadi janda pada usia muda,” katanya.

Mansura juga berkata, kewangan bukan masalah utama jika tahu menguruskannya.

“Saya tidak kaya dan hanya menetap di rumah kayu, tetapi suami tetap sayang dan sentiasa membahagiakan saya. Sebagai balasan, saya kini mengambil alih tugasnya mencari rezeki berikutan kesihatannya kurang baik kebelakangan ini,” katanya.


TIP :

Setiap kita tidak kira adam dan hawa mempunyai kelemahan masing-masing. Contohnya dalam peperangan, adalah menjadi satu kekuatan kita bila kita tahu kelemahan musuh atau pihak lawan.

Lelaki harus mengetahui dan mendalam kelemahan wanita begitu juga sebaliknya. Ini rahsianya :

Kelemahan Lelaki : Mata kerana melalui mata lelaki jatuh cinta, melihat keindahan dan kerupawanan wanita membuat hatinya cair ditangan wanita.

Kelemahan Wanita : Telinga; kerana telinga wanita cair mendengar kata indah dari lelaki tak kira samada handsome atau tak. Kerana kelemahan inilah ramai wanita tertipu, tergoda, ternoda dek kata-kata yang disifatkan romantis. Wanita juga mampu jatuh cinta hanya dengan mendengar tentang kebaikan seseorang lelaki tanpa perlu melihatnya.

Boleh disimpulkan disini, pada para suami pujilah isteri kamu, luahkanlah kata-kata manis untuk isteri kamu, dan ingatlah jaga penglihatan kamu dari wanita-wanita yang ingin menggunakan kecantikannya untuk mengganggu gugat keharmonian rumahtangga, "Jangan Cuba Main Api" Ingatlah.

Pada para Isteri, peliharalah pendengaran kerana inilah kelemahan anda dan akuilah kelemahan ini. Jangan cuba berkomunikasi dengan sembarangan orang terutamanya lelaki yang tidak dikenali. Berhiaslah untuk suami kerana sekarang anda telah mengetahui kelemahan suami anda.



http://www.blogger.com/follow-blog.g?blogID=7555120791909663746

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©