Ritual Bomoh 'Tikar Terbang' Yang Memalukan
Thursday, March 13, 2014 by Author
KLIA - Belum pun habis kontroversi upacara ritual 'buluh bubu', masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan aksi 'tikar terbang' oleh Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang dilihat bersungguh-sungguh mahu membantu pihak berkuasa mencari pesawat MH370.
Parodi 'tikar terbang' yang sudah tersebar di laman sosial seperti Facebook dan Twitter sejak petang semalam menjadi trending seluruh masyarakat termasuk golongan pemimpin politik dan anak-anak muda.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam turut memuat turun gambar tiga jururawat hospital swasta sedang duduk di atas tikar dan berpura-pura 'berlepas' ke udara untuk memperkasakan lagi usaha mencari pesawat MH370.
"Harap-harap tidak ada pesakit yang akan bertambah sakit," memetik kenyataannya dari laman Twitter rasminya kira-kira jam 10 malam.
Terbaru, Ibrahim Mat Zim yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP bersama dua lelaki lain memakai sut lengkap duduk di atas tikar sambil memegang bakul mengkuang dan dua biji kelapa, melakukan ritual untuk berlepas ke ruang angkasa bagi meninjau lokasi pesawat MH370 yang hilang.
Pengguna media sosial rata-ratanya meluahkan rasa kurang senang dengan aksi "Zam-Zam Alakazam" seperti filem Laksamana Do Re Mi itu.
Selain menyifatkan ia perbuatan syirik, memalukan negara, mereka juga meminta pihak berkuasa agama supaya segera bertindak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya juga semalam menggesa pihak Jakim mengambil tindakan ke atas Raja Bomoh ini yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati.
Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini gempar menerima kehadiran Bomoh VIP yang mendakwa dirinya mampu 'menyeru' pesawat terbabit.
Beliau yang kononnya berkebolehan meramal keadaan pesawat MH370 itu menjalankan upacara selama 30 minit dan mendakwa pesawat tersebut 'tergantung' di antara tiga negara iaitu Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dikenal pasti namun beliau mengesahkan MH370 itu berada dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan meletakkan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelakkan bomoh melakukan ritual untuk mengesan kehilangan pesawat penerbangan MH370 sejak Sabtu lepas.
Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jais, Hardi Mohd Sadali berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan anggota keselamatan di KLIA bagi memantau kegiatan itu daripada terus berulang.
Pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan di lapangan terbang ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Anjung Tinjau di sini malam ini.
Sepasukan 15 pegawai dan anggota daripada Jais melakukan pemantauan di Anjung Tinjau selepas mendapat maklumat seorang bomoh, Ibrahim Mat Zin, 80, akan melakukan ritual kali kedua, malam ini.
Pasukan penguat kuasa Jais yang tiba kira-kira 9.20 malam, dilihat menunggu kehadiran Ibrahim di Anjung Tinjau sebelum dilihat meninggalkan tempat itu pada 10.15 malam.
Hardi berkata jika Ibrahim terus melakukan ritual itu di KLIA, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
"Kita akan nasihat beliau supaya tidak melakukan ritual seperti yang dilakukan sebelum ini. Jika dia (Ibrahim) masih berdegil, kita akan ambil tindakan," katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini turut menyelar usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari pesawat penerbangan MH370, yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lepas, kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam.- Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©