'Lady driver'? Tolonglah!

Wednesday, July 03, 2013 by


Cemas, kalut, ‘main redah’, ikut suka hati, pandu melulu antara ayat sinis yang sering dilemparkan kepada pemandu wanita. Entah kenapa tanggapan ini terus wujud hingga ke hari ini.

Apabila ditanya, beberapa jejaka menggambarkan pandangan sebenar mereka terhadap isu ‘lady driver’. Resah dan gusar apabila melihat si gadis memandu, selain rasa tidak selamat seolah-olah boleh ancam nyawa orang lain antara faktor wujudnya pandangan negatif terhadap pemandu wanita.

Menyangkal apabila kaum lelaki dikatakan mudah untuk stereotaip, mereka berkongsi pendapat mengenai beberapa kelebihan dan kekurangan pemandu wanita daripada kaca mata sang jejaka.

CEKAP DAN TANGKAS

Dapat lakukan pelbagai kerja dalam satu-satu masa memang mengagumkan tetapi tidak ketika memandu. Tapi situasi dapat dilihat apabila menaiki kereta yang dipandu wanita. Bercakap telefon atau menghantar SMS adalah situasi biasa, namun ada sebahagiannya mampu bersolek, rakam gambar sendiri malah betulkan rambut dan tudung ketika memandu. Lebih drastik apabila semuanya dilakukan serentak!


TERTIB SEPANJANG MASA

Gadis memang sinonim dengan sikap tertib. Tapi kalau sikap itu ditonjolkan pada waktu dan tempat tak sesuai, memang boleh bikin pemandu lain menyirap. Contoh yang jelas ketika menukar lorong perlahan ke laluan laju. Sudahlah memandu 60 km/pj di lorong kanan, habis sangkut kenderaan lain di belakang sebab tak boleh nak memotong.

Lagi satu hal memang melecehkan. Bagus kalau memandu selalu beri isyarat sebelum keluar masuk simpang atau tukar laluan. Bayangkan kalau setengah jam berkelip-kelip lampu isyarat tapi keretanya tetap di lorong sama, tak ada gunanya.


KAKI GAGAP

Sikit-sikit nak pijak brek! Itu antara situasi paling tidak disukai ketika sedang memandu apabila ‘terserempak’ dengan pemandu lain yang suka tekan brek kereta. Dan si jejaka berpendapat, kebanyakan perlakuan ini dimonopoli pemandu wanita. Walaupun jarak kereta di hadapan boleh muat sebuah lori treler, tapi kaki asyik memijak brek.

Asasnya, jika tidak yakin dengan kelajuan kenderaan, kekal saja di lorong perlahan. Perlu pandai mengimbangkan kelajuan kenderaan dan fokus dengan jarak lebih-lebih lagi waktu kesesakan lalu lintas untuk mengelakkan kereta anda ‘dihentam’ pemandu lain.


TERAGAK-AGAK


Kebanyakan ‘lady driver’ cepat rasa takut dan tidak berkeyakinan. Mereka gagal membuat keputusan dengan tepat. Jika ada yang berani, mereka berani dengan bodohnya sehingga anda rasa bimbang bahawa dia akan terbabit dengan kemalangan, contohnya seperti memandu melulu dan rasa diri seperti pemandu Formula 1. Penulis masih tertanya-tanya, adakah faktor ini menjadi salah satu punca kerajaan Arab Saudi mengharamkan wanita memandu? Mungkin mereka tahu bahawa kebanyakan wanita akan memandu ikut rasa hati tanpa fikir panjang.


BANYAK FIKIR

Melihat kepada cara pemanduan, perempuan didakwa suka memikirkan pelbagai perkara dan terlalu banyak pertimbangan sehingga menimbulkan tindakan terlalu berhati-hati dan jadikan mereka teragak-agak. Sebagai contoh, kadang-kadang penglihatan dan fikiran membuatkan jarak sesebuah kereta jadi lebih dekat walaupun hakikatnya pada ketika itu, kenderaan dipandu masih sempat keluar simpang.

Oleh kerana pergerakan lelaki lebih pantas dan kelebihan dalam mengagak, kadang-kadang mereka menjadi terlalu yakin sehingga boleh dikatakan kebanyakan jejaka selalu memandu laju. Kesimpulannya, sikap teragak-agak dan terlalu yakin menimbulkan risiko.

Sebenarnya, tak kira pemandu itu lelaki atau ­perempuan, cara kita memandu memang berbeza. Masa penulis belajar memandu dulu, untuk mengelakkan ­gugup, saya suka berbual dengan guru memandu. Jadi, ­tidak adil sekiranya hanya cara pemanduan ­perempuan asyik diperkatakan. Kedua-duanya punya sikap ­positif dan negatif yang sukar dihurai. Apa yang penting, ­lebihkan sikap bersabar dan hormat menghormati ketika memandu untuk elakkan dapat ‘dosa kering’.


Tips memandu jarak jauh

1. Pilih kedudukan dan waktu yang anda selesa - Pemanduan waktu malam kurang meletihkan dan keadaan trafik juga kurang sibuk. Perlu fokus lebih tinggi dan rehat yang cukup di siang hari.

2. Pakai cermin mata hitam jika memandu pada waktu siang. Kesannya amat ketara dan anda akan jadi lebih tenang.

3. Pilih posisi selesa sebelum memandu.

4. Sediakan air yang mampu untuk memulihkan tenaga. Untuk lebih afdal, wuduk juga memulihkan kesegaran.

5. Selidik kondisi jalan. Selekoh curam, lopak, air bertakung, binatang liar dan sebagainya.

6. Pilih kelajuan yang tenang dan jarak sesuai dengan kenderaan di hadapan. Elakkan menekan brek terlalu kerap, terutama waktu hujan. 99.9% Kemalangan berlaku apabila brek ditekan.

7. Berkomunikasi dan bertolak ansur dengan pemandu lain.

8. Jangan malu untuk berhenti berehat dan tidur di mana-mana saja asalkan tidak menyusahkan pemandu lain.

9. Kalau kereta berhawa dingin, buka tingkap 10 saat setiap satu jam untuk menyegarkan udara di dalam kereta. Kadar oksigen yang kurang akan menyebabkan mengantuk dan hilang tumpuan serta stress.

10. Paling penting, jangan lupa baca doa sebelum perjalanan!


Oleh Shuhada Mansor

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©