Mohd Nawi (kanan) yang cedera di kepala serta kaki kanannya dan pekerjanya (kiri) turut cedera akibat diserang lima lelaki di belakang Balai Polis di Labis.
LENGAN kiri Mek Pah yang terkena hujung pedang samurai penyerang ketika cuba menyelamatkan suami.
Segamat: Seorang anggota polis dan isterinya serta seorang pekerja mereka, parah selepas diserang lima lelaki bersenjatakan pedang samurai dan kayu golf dalam kawasan Balai Polis Labis, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Konstabel Mohd Nawi Che Megat, 46, yang bertugas dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam serta isterinya dikenali sebagai Mek Pah, 41, cedera di kepala, lengan dan kaki selepas ditetak kumpulan terbabit.
Namun, lima penyerang berusia 30 hingga 40-an itu bersama senjata digunakan, ditahan polis selepas terperangkap dalam kawasan balai berkenaan apabila anggota polis bertugas menutup pintu pagar.
Kejadian dikatakan bermula apabila berlaku perselisihan faham antara anggota polis terbabit dengan seorang daripada suspek ketika bersarapan di sebuah restoran di Jalan Segamat di sini, pagi semalam.
Perselisihan itu tidak berakhir di restoran itu, sebaliknya suspek dengan bersenjatakan parang cuba menyerang anggota terbabit ketika mangsa bersama isterinya mahu berurusan di sebuah bank.
Seorang pekerja kedai makan milik Mek Pah yang turut berada di situ cuba membantu pasangan terbabit tetapi dia cedera ditetak beberapa kali oleh suspek.
Anggota polis terbabit bersama isterinya cuba menyelamatkan diri dengan memandu kenderaan pelbagai guna Honda Stream milik mereka bagi menda-patkan perlindungan dan membuat laporan di Balai Polis Labis yang terletak berdekatan.
Ketika pasangan itu berada di hadapan balai polis berkenaan, tiba-tiba suspek bersama empat rakannya yang menaiki Perodua Kelisa meluru masuk ke kawasan itu sebelum menyerang anggota terbabit dengan senjata dibawa mereka.
Mek Pah berkata, dalam keadaan cemas itu dia cuba membantu menghalang tetakan seorang penyerang sambil menyuruh suaminya lari menyela-matkan diri.
Akibat tindakan itu tangan kiri saya terkena tetakan dan pada masa sama mereka mengejar dan menyerang suami saya sambil menetaknya beberapa kali.
Kami bernasib baik kerana anggota polis yang bertugas pantas membantu dengan menutup pintu pagar balai serta menahan semua suspek, katanya.
Pasangan itu bersama pekerja mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Segamat untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, ketika mengesahkan kejadian terbabit berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca daripada masalah peribadi lama yang timbul antara suspek dengan mangsa.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Ismail
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©