Inspektor Polis Wanita Dicekup Polis

Wednesday, January 09, 2013 by
 Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob (Gambar Fail)



Shah Alam: Seorang wanita ditahan selepas menyamar sebagai pegawai berpangkat inspektor dari Bahagian Tatatertib Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di rumahnya di Setia Alam, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat tujuan wanita terbabit yang mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok bidang kepolisan menyamar pegawai polis dengan mengunjungi beberapa balai polis di daerah ini dan Klang.

Dalam serbuan jam 7.45 malam itu, polis menahan suspek yang berusia 29 tahun selain merampas sehelai uniform lengkap pegawai polis berpangkat inspektor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob (gambar) berkata, suspek berasal dari Sabah itu dipercayai sudah lama aktif menyamar pegawai polis berdasarkan hasil risikan pihaknya.

Katanya, ketika ditahan, wanita terbabit yang tidak memakai uniform lengkap polis belegar-legar dalam kawasan perumahan di Setia Alam, di sini.

Difahamkan, sebelum ini, suspek menyamar sebagai pegawai polis dengan mengunjungi beberapa balai polis di daerah ini dan Klang.

“Polis sudah lama mendapat maklumat kejadian itu, tetapi tidak mempunyai bukti kukuh bagi menahan suspek. Namun semalam (kelmarin) sejurus menerima maklumat, suspek ditahan bagi membantu siasatan.


“Hasil pemeriksaan lanjut pada kenderaan mangsa, polis menemui uniform lengkap polis dalam keretanya Perodua Myvi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Zahedi berkata, polis kini melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana individu termasuk pegawai dan anggotanya yang pernah menjadi mangsa suspek.

Katanya, motif wanita terbabit menyamar anggota masih dalam siasatan.

“Kami tidak tahu punca suspek menyamar, tapi polis masih menyiasat sama ada ia bertujuan jenayah kerana kes seperti ini pertama kali dilaporkan berlaku di Selangor,” katanya.

Oleh Norul Awatif Romli

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©