Bomoh 'Panji Langit' Dituduh Memiliki Senjata Berbahaya

Tuesday, January 29, 2013 by
TERTUDUH..Mohd Jaffar Robani, 46, aka  Bomoh 'Panji Langit'


Jasin: Seorang bomoh yang disyaki terbabit dalam ajaran sesat 'Panji Langit' dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki senjata api tiruan dan senjata berbahaya di sekitar daerah ini, tiga minggu lalu.

Mohd Jaffar Robani, 46, dari Asahan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Terdahulu, tertuduh yang berpakaian gelap dan berkopiah kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu 29 pedang, 11 parang, tiga pisau graviti dan sebilah lembing di sebuah rumah di Kampung Chabau di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 5 Januari lau.


Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, Mohd Jaffar didakwa turut memiliki empat pistol tiruan dan selaras senapang tiruan di sebuah rumah di kampung sama, kira-kira jam 5.30 petang, 7 Januari lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjatapi 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela Suhaidi Zakaria.

Siti Suriatey membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Mac depan.


Oleh Iskandar Shah Mohamed

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©