Testosteron Mempengaruhi Kualiti Hidup Lelaki

Friday, April 27, 2012 by

WAJAH Andrew Ooi Kuan Jin kelihatan lebih tua berbanding usianya yang sebenar iaitu 45 tahun. Namun, lelaki yang mempunyai dua anak itu pada awalnya enggan mengambil pusing dengan kata-kata tersebut yang sering dilontarkan orang di sekelilingnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati lelaki berkenaan sememangnya wujud perasaan gusar dengan keadaan fizikalnya.

Beberapa tahun memendam perasaan akhirnya semua terjawab pada bulan November lalu apabila beliau berkunjung ke Singapura.

Di Kota Singa, beliau turut ditegur mengenai perkara yang sama. Tidak tahan dengan kritikan rakan-rakan pada waktu itu, akhirnya beliau meluahkan masalahnya yang mengalami simptom mudah marah, letih dan sukar untuk tidur.

Secara kebetulan, seorang rakan yang menetap di Singapura pernah berdepan dengan simptom tersebut dan telah didiagnosis mempunyai masalah kekurangan hormon testosteron.

Justeru, dia mencadangkan supaya Andrew menjalani pemeriksaan tahap testosteron kerana dikhuatiri menghadapi masalah yang sama.

Tahap testosteron merosot

Atas nasihat rakannya itu, Andrew pulang ke Malaysia dan membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital di ibu negara.

Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati tahap hormon testosteronnya berada di bawah paras 12 normal (paras normal antara 12 hingga 40) dan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan untuk menangani masalah berkenaan.

Testosteron merupakan hormon seks yang penting kepada golongan lelaki kerana ia bertanggungjawab kepada pembentukan perwatakan lelaki seperti perkembangan genital, kalenjar prostat, otot-otot, pertumbuhan bulu badan seperti janggut dan bulu pada bahagian badan yang lain.

Bagaimanapun, penuaan menyebabkan kemerosotan progresif paras testosteron yang lazimnya dihidapi oleh lelaki yang berusia 40-an.

Untuk mengetahui paras hormon, seseorang itu boleh melakukan ujian darah.

AMALKAN gaya hidup sihat untuk mengekalkan hormon testosteran di paras normal.

Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu syarikat antarabangsa farmaseutikal, Orient Europharma di ibu negara baru-baru ini menceritakan akibat masalah tersebut, beliau berasa mudah marah terutamanya terhadap anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun.

Kemarahan itu timbul disebabkan soalan-soalan diajukan oleh anaknya yang dianggap tidak masuk akal.

“Namun, selepas memarahinya, saya rasa menyesal dengan perbuatan itu kerana perasaan itu dialami sejak kebelakangan ini sahaja,”ujarnya.

Selain itu, beliau juga mengakui tidak dapat tidur sehingga pukul 3 pagi selain berasa cepat letih.

Pada mulanya, anak jati Pulau Pinang itu beranggapan masalah tersebut disebabkan tekanan kerja, tetapi selepas menemui doktor barulah beliau sedar tentang punca masalahnya itu.

Begitupun, beliau mengakui tidak berhadapan masalah dengan hubungan seksual cuma mengalami masalah penat, lemah dan mudah marah.

Bagaimanapun, kini beliau menggunakan sejenis ubat sapu untuk menangani masalah kekurangan hormon testosteron.

Beliau mengakui dengan menggunakan ubat sapu itu, beliau melihat perubahan kepada dirinya yang tidak mudah marah dan bertenaga. Namun, keberkesanan ubat berkenaan mengambil masa untuk mengembalikan tahap hormon kepada normal.

Sementara itu, Pakar perunding dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Md. Zainuddin memberitahu, masih ramai golongan lelaki tidak sedar dengan masalah itu.

ANDREW menunjukkan ubat sapu terbaharu yang dikatakan boleh mengembalikan hormon testosteron ke tahap normal.

Menurutnya, kekurangan hormon testosteron lazimnya berlalu dalam kalangan lelaki yang berusia lebih 30 tahun disebabkan usia semakin lanjut.

Bagaimanapun, ia kerap berlaku dan kurang dikenal pasti selain tidak dirawat.

Mengulas lanjut mengenai masalah berkenaan, beliau memberitahu, simptom awal penyakit itu biasanya lesu, kurang nafsu, angin berubah dan pengurangan jisim otot.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah tersebut juga akan mengalami peningkatan lemak badan dan kemurungan.

Menyentuh mengenai rawatan, beliau memberitahu, terapi penggantian testosteron (TRT) merupakan opsyen yang paling efektif bagi simptom masalah itu.

Menurutnya, TRT mampu mengembalikan fungsi seks, mengelakkan penyakit osteoporosis, meminimumkan risiko patah tulang dan meningkatkan fungsi otot.

Namun demikian, golongan lelaki juga perlu mengubah corak kehidupan mereka dengan mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam, berhenti merokok dan mengelakkan diri daripada mengambil minuman beralkohol.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kekurangan hormon testosteron boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan.

“Untuk itu, bagi individu yang mengalami gejala-gejala sedemikian mereka perlu segera berjumpa dengan doktor untuk memeriksa tahap hormon testosteron,”ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ada masalah itu boleh membawa maut beliau berkata, ia hanya akan menjejaskan kualiti kehidupan individu itu.

Oleh: SUHANA VERU

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©