Masjid Al-Hussain Kuala Perlis,Resort Tropika Moden Yang Unik...

Sunday, October 23, 2011 by
SEMASA air pasang, tiang masjid akan ditenggelami air laut.

MENJADI imam Masjid Al-Hussain pada usia 28 tahun adalah sesuatu yang di luar jangkaan Mohammad Dhiya'al Hafidh Fatah Yasin.
Apatah lagi bertugas di masjid terapung yang terletak berhampiran Jeti Kuala Perlis - pintu masuk ke Pulau Langkawi yang dikunjungi ribuan pelancong setiap tahun.
Masjid Al-Hussain dibina terapung di tepi pantai Kuala Perlis. Ia merupakan hasil sumbangan seorang ahli perniagaan, Tan Sri Mohd. Ariffin Yusuf dan dibuka 8 Ogos lalu.
Masjid itu mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM12 juta. Sebahagian daripada binaannya menganjur ke laut Selat Melaka.
Resort tropika moden ialah tema seni bina yang ingin ditonjolkan pada masjid itu, kata Dhiya'al Hafidh. Konsep itu diterjemahkan pada laman dan suasana santai persekitarannya.


TIGA batang pokok kurma ini didatangkan khas dari Tanah Arab.

Tidak dicat
Masjid yang menjadi ikon baru Kuala Perlis itu diilhamkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail dan direalisasikan oleh jutawan Ariffin.
Abang kepada Ariffin, Datuk Dr. Mohd. Hussain meninggal dunia pada tahun 1999 sebelum sempat dia menunaikan hajat untuk membina sebuah masjid. Oleh kerana itulah selepas siap dibina, masjid itu dinamakan sempena nama abangnya itu.
Dari dataran masjid, pengunjung pasti terpesona melihat dinding masjid yang tidak dicat sebaliknya sekadar menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles.
"Masjid ini memiliki ciri-ciri binaan yang senang dijaga dan tahan lasak selain unik rekaannya," ujar Dhiya'al Hafidh.
Sebuah wakaf didirikan di dataran masjid. Tetamu juga boleh berehat di sepanjang tembok sambil menghadap ke laut. Tiga batang pokok kurma yang didatangkan khas dari Tanah Arab menyuntik elemen Asia Barat di laman masjid.
Seperti kebanyakan masjid lain, ciri luaran utama Masjid Al-Hussain ialah kubahnya. Ia berwarna kuning keemasan beserta motif biru yang sinonim dengan warna rasmi negeri Perlis.
Kubah tersebut diperbuat daripada dua lapisan aluminium dan diselaputi dengan lapisan polyvinvyl double fluoride (PVDF) yang diimport dari Jepun.


RUANG menunggu bak pemandangan sebuah resort.

Masjid terapung tersebut memiliki menara puncak berkembar berbentuk heksagon atau segi enam pertama di dunia. Seni bina tersebut adalah simbolik bahawa semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa.
Jangan pula terkejut kerana pada waktu malam, anda akan melihat pancaran cahaya dengan warna tertentu seperti merah, biru, putih dan hijau muncul dari menara berkembar itu.
Lampu menara
Lampu tersebut menandakan masuk waktu solat. Ia bagi kemudahan nelayan atau mereka yang sedang berada di tengah laut.
Lampu biru menandakan waktu solat Subuh dan Maghrib manakala hijau adalah Isyak. Menara itu boleh dilihat dari jarak 10 kilometer.
Sebelum sampai ke ruang dalam masjid, pengunjung akan melintasi sebuah jambatan sepanjang 50 meter yang menghubungkan daratan dan bangunan masjid tersebut.
Melangkah ke ruang dalaman masjid tersebut, rasa sejuk nyaman daripada pendingin hawa pantas menyentuh kulit apatah lagi selepas melihat batuan dinding masjid yang tertera tulisan ayat-ayat suci al-Quran.
Tulisan tersebut kebanyakannya menggunakan kaligrafi khufi iaitu seni ukiran dari Uzbekistan dengan tukangnya didatangkan dari negara tersebut.
Reka bentuk dalaman kubah masjid begitu indah dengan beraneka corak bunga-bungaan dan geometri berwarna biru emas dalam ukiran Ganch daripada seni Islam Uzbekistan zaman silam.


DATARAN masjid mengaplikasikan konsep laman tropika moden.

Di puncak dalaman kubah tersebut membulat diukir kalimah Allah sementara bahagian bawahnya bercorak bintang lima penjuru yang melambangkan lima Rukan Islam yang ditulis dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Ingeris, Arab, Cina dan Tamil.
Usai bersolat dan menyaksikan keindahannya, jangan lupa membawa pulang cenderamata kenang-kenangan iaitu jam khas jenama Citizen berharga antara RM180 hingga RM350 dan rantai kunci berharga RM12.
Menurut Dhiya'al Hafidh, hasil jualan barangan cenderamata tersebut akan disalurkan ke dalam dana masjid. Pihaknya juga merancang menghasilkan lebih banyak pilihan cenderamata pada masa hadapan.
"Masjid ini juga boleh dilawati oleh orang bukan Islam kerana salah satu fungsinya ialah sebagai produk tarikan pelancongan negeri," ujarnya.
Kredit: Sumber

1 comment:

  1. x sabar nanti ... nk p langkawi... so boleh la pergi masjid terapung kp!...huhu~

    ReplyDelete

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©