PUSPAKOM Tawarkan Pemeriksaan Kenderaan Percuma Sempena Aidilfitri

Thursday, July 10, 2014 by



KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, PUSPAKOM menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma kepada semua pemilik kenderaan persendirian seluruh negara.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail, pemeriksaan percuma ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan keselamatan kenderaan.

“Tiada yang lebih penting daripada sampai ke destinasi dengan selamat bersama-sama orang yang tersayang, khususnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pemeriksaan kenderaan ini penting kerana ianya merupakan salah satu kaedah yang terbaik bagi memastikan keadaan kenderaan selamat ketika berada di jalan raya, malah dapat menjaminkan keselamatan semua pengguna jalan raya,” tambah beliau.

Pengguna hanya perlu menghubungi cawangan Puspakom berdekatan untuk membuat temujanji untuk mendapatkan waktu pemeriksaan yang sesuai.

Inisiatif terbaru puspakom ini dilihat penting dalam memastikan keadaan kenderaan baik dan selamat menjelang perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri nanti.

Pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma ini merangkumi lapan peringkat pemeriksaan menyeluruh, iaitu pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, bahagian atas & bawah kenderaan, brek, suspensi dan ketelusan cermin.

Untuk makluman lanjut, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol 1 800 88 6927 atau layari www.puspakom.com.my - Bernama