Gaza Terus Bermandi Darah

Friday, July 11, 2014 by
ANGKA korban serangan Israel meningkat 83 orang.

'Ya Allah, selamatkan rakyat Palestine dari kekejaman Israel'.

GAZA CITY: Bedilan bertubi-tubi tentera udara Israel ke atas Semenanjung Gaza yang memasuki hari keempat pada Jumaat menyaksikan angka kematian mencecah 83 orang.

Angka kematian pada Khamis pula mencecah 32 orang.

Kebanyakan yang terkorban dalam tempoh 24 jam lalu adalah di Khan Yunis, di selatan Gaza apabila Israel melancarkan serangan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

Serangan itu disasarkan ke sebuah kafe ketika peminat bola sepak menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Argentina dan Holland.

Sembilan orang maut manakala sekurang-kurangnya 15 lagi cedera.

Beberapa jam kemudian, pesawat perang Israel membedil dua rumah di bandar itu, menyebabkan empat wanita dan empat kanak-kanak terbunuh.

Satu lagi serangan membunuh seorang lelaki berusia 19 tahun dan ayahnya berusia 75 tahun.

Di tengah Gaza, seorang lelaki maut dalam serangan udara terhadap sebuah kem pelarian di Nusseirat.

Di Zeitun, timur Gaza City, serangan roket membunuh seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal pada lewat petang.


ASAP berkepul di kawasan yang dibedil rejim Zionis.


BAPA saudara kepada Yasmeen Al Motawaq, 4, yang terbunuh membawa jenazah kanak-kanak terbabit untuk dikebumikan di Jabaliya.


SEORANG wanita Palestin membawa anaknya yang cedera ke hospital.
 

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata lebih 320 sasaran Hamas dibedil sepanjang malam semalam. Tumpuan utama ialah rangkaian terowong bawah tanah serta tapak pelancar roket kumpulan pejuang.

Ia menjadikan keseluruhan sasaran yang dibom kepada 750 dalam masa tiga hari serangan besar-besaran dilancarkan.

Jurucakap tentera Zionis itu juga berkata, pihaknya sudah menggerakkan 20,000 anggota pasukan simpanan bagi kemungkinan melancarkan operasi darat di Gaza.