Harta Karun di Pulau Nangka Milik Kesultanan Melaka

Friday, April 18, 2014 by
 Peta menunjukkan kedudukan Pulau Nangka



MELAKA: Harta karun yang dipercayai tertanam di Pulau Nangka adalah lambang kepada kemakmuran dan kekayaan Kesultanan Melaka suatu ketika dulu, kata Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) berkata, ketika itu, pelabuhan Melaka sentiasa sibuk dengan kehadiran ribuan kapal dagang yang akan menghadiahkan pelbagai barangan, termasuk emas kepada sultan sebagai cukai.

"Semua barangan yang diterima disimpan dalam istana dan mungkin juga mereka memindahkannya ke Pulau Nangka atau Pulau Besar ketika serangan Portugis pada 1511.

"Malahan, ada juga yang menyatakan harta karun zaman Kesultanan Melaka ditanam di Bukit St John," katanya, di sini, baru-baru ini.

Laporan eksklusif di muka depan The Star, Isnin mendedahkan mengenai dua syarikat yang mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja evakuasi dan dipantau rapi oleh Perzim.

Mohd Jamil berkata, dakwaan wujudnya harta karun di Pulau Nangka sebenarnya sudah tersebar sejak 1997 dan pulau berkenaan diwartakan menjadi milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Beliau juga mengakui adanya cubaan pihak tertentu untuk mencari harta karun berkenaan, bagaimanapun ia gagal.

Sementara itu, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas mengesahkan kaji selidik pakar arkeologi mendedahkan tiada sebarang tanda menunjukkan adanya harta karun di Bukit St John.

"Kini hanya Pulau Nangka menjadi lokasi terakhir kemungkinan harta karun itu disembunyikan," katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak di dalam dan luar negara termasuk media asing berikutan pendedahan The Star mengenai harta karun itu.


0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©