'Pembunuh Upahan' Berdepan Hukuman Mati

Saturday, September 21, 2013 by
LEE Meng Boon yang dituduh membunuh dibawa keluar oleh polis dari Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak, semalam.




Jasrafveendeerjeet Singh, 25, mati dibunuh di depan kedai makanan dan minuman Sun Heng di Lebuh 5, Kampung Simee, Ipoh, Perak. 
 

IPOH 20 Sept - Seorang lelaki dipercayai 'pembunuh upahan' berdepan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke tiga buah mahkamah di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk membunuh seorang lelaki di sebuah restoran di Lebuh 5, Kampung Simee di sini pada Julai lalu.

Tiga pertuduhan lain yang dihadapi tertuduh, Lee Meng Boon, 35, yang berasal dari Bukit Baru, Melaka ialah cuba membunuh dua lagi lelaki di tempat yang sama serta mengedar dadah jenis Eramin 5 bersama tiga rakannya.

Meng Boon yang memakai baju T hitam dan berseluar pendek kelabu didakwa di Mahkamah Majistret bagi pertuduhan bunuh dan mengedar dadah sementara pertuduhan cuba membunuh, dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan utama, Meng Boon didakwa membunuh Jasrafveendeerjeet Singh, 25, di hadapan Kedai Makanan dan Minuman Sun Heng di No 350, Lebuh 5, Kampung Simee di sini kira-kira pukul 10.15 malam, 28 Julai lalu.

Bagi pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Meng Boon dilihat hanya mengangguk kepala selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Kantonis. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Di Mahkamah Sesyen, Meng Boon didakwa cuba membunuh Sarbjit Singh Harder Singh, 28, dan Kok Loo Long, 55, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda.

Hakim Madihah Harullah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.

Sementara di sebuah lagi Mahkamah Majistret, Meng Boon bersama tiga rakannya, Quek Kar Loong, 34; Aw Chee Seng, 45, dan Rusli Deraman, 52, didakwa mengedar dadah jenis Eramin 5 seberat 2,973 gram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No. 27, Medan Bercham Selatan 4, Taman Syukor di sini kira-kira pukul 12.35 tengah malam, 24 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Suhaima Mohd. Nor daripada keempat-empat tertuduh terbabit.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan tarikh yang sama iaitu 20 November ini untuk sebutan semula semua kes tersebut.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut akibat ditembak di leher manakala dua rakannya cedera parah selepas ditembak di sebuah restoran di Lebuh 5, Kampung Simee di sini.

Dalam insiden pukul 10.15 malam itu, kesemua mangsa sedang minum di luar restoran bersama dua rakan yang lain sebelum muncul dua suspek berkereta lalu melepaskan tembakan dalam jarak dekat.