Makam Sultan Ariffin: Misteri Pulau Besar Melaka

Friday, June 21, 2013 by
Jeti Pulau Besar Melaka.





Tak kenal maka tak cinta. Itulah rumusan awal yang ingin saya ungkapkan setelah berkunjung ke Pulau Besar Melaka. Segala tohmahan dan kisah-kisah negatif yang seringkali saya dengar tentang pulau ini lenyap begitu sahaja setelah mata ini menyaksikan sendiri keindahan pantainya, khazanah flora dan faunanya serta kesan tinggalan sejarah yang masih terdapat di pulau ini.


Makam Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a). Beliau adalah keturunan ke 18 Rasullullah (S.A.W). Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M di Baghdad.

Bapanya bernama As-Saiyid As-Syeikh Abdul Qadir  serta ibunya bernama Sayyidah Fatimah. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, seorang Wali Allah yang sangat mashyur di seluruh dunia. Beliau juga dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.

Menurut riwayat, sewaktu ke Madinah menziarahi Makam Nabi, beliau telah mendengar satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ajaran Islam ke Kepulauan Jawa.

Beliau kemudiannya mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama 16 orang sahabat pada tahun 1495M bersamaan 900H  antaranya guru beliau Syeikh Yusuf As-Sidiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim r.a. Di Pulau Besar ajaran Islam berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh Kepulauan Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa dan Kelantan. Antara murid beliau yang sangat masyhur ialah Raden Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) serta Raden Paku (Sunan Giri).

Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail r.a meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H ketika berusia 58 tahun serta dikebumikan di sini. Makam ini juga menjadi tumpuan utama pengunjung di Pulau Besar bagi menghargai jasa dan sumbangan besar Allahyarham ketika mengembangkan agama Islam di seluruh Kepulauan Melayu.

 
Tidak seperti pulau-pulau peranginan lain yang pernah saya kunjungi, Pulau Besar mempunyai keunikannya yang tersendiri. Minda dan tubuh badan yang lesu terasa segar bila diselimuti bayu laut yang mendinginkan. Jalinan muzik ombak yang menghempas pantai nyata lebih mengasyikkan dari lagu-lagu popular yang berkumandang di corong-corong radio.


Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan tentang ‘ketenangan’ dan ‘kedamaian’ yang dapat saya rasakan ketika berada di pulau ini. Mungkin juga apa dapat yang rasakan di pulau ini adalah nikmat dan keberkatan yang telah Allah SWT kurniakan ke atas sebuah pulau yang telah banyak berjasa kepada syiar Islam di rantau Nusantara.

Tidak lengkap rasanya jika kunjungan kita ke pulau ini tidak menyelongkar misteri yang terdapat di pulau ini. Meskipun terdapat pelbagai versi dan cerita yang dikaitkan dengan sesuatu kejadian misteri di pulau ini, namun sebagai umat Islam yang beriman pada kekuasaanNya, kita harus sentiasa berhati-hati agar akidah kita sentiasa terpelihara daripada sesuatu perkara yang boleh menyesatkan.

Hotel Terbiar Begitu Sahaja

Nama Pulau Besar Melaka seringkali dikaitkan dengan pelbagai lagenda dan juga kisah misteri sehingga para pelancong tidak berani atau berminat untuk ke sana. Akibatnya, beberapa buah hotel yang telah dibangunkan untuk menarik kedatangan pelancong kini tinggal sepi dan terbiar begitu sahaja.


Mengikut cerita beberapa penduduk tempatan yang saya temui, pada waktu dahulu, hotel-hotel di pulau ini hanya mendapat hasil pada cuti hujung minggu atau cuti perayaan besar sahaja. Pada hari-hari lain, ianya tidak menerima kedatangan pengunjung dan keadaan ini telah memaksa para pengusaha hotel memberhentikan sahaja operasi perniagaan mereka di sini.

Ada juga penduduk tempatan di pulau ini yang mengaitkan nasib yang dialami oleh para pengusaha hotel itu sebagai ‘hukuman’ ke atas mereka kerana menjadikan pulau ini sebagai ‘pusat peranginan’ yang selalunya dikaitkan dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral seperti berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya.

Mereka berpendapat, pulau ini telah memainkan peranan yang besar sebagai pusat para pendakwah silam menyebarkan Islam ke Gugusan Kepulauan Melayu dan atas sebab itu, pulau ini ‘mungkin’ dipelihara oleh Allah SWT daripada segala aktiviti yang bertentangan dengan kehendakNya. Sejauhmanakah kebenaran dakwaan itu, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Kini, separuh kawasan tanah di Pulau Besar Melaka dimiliki oleh anak syarikat Kerajaan Negeri dan separuh kawasan pulau ini lagi dikuasai oleh anak syarikat Tan Sri Wan Azmi. Hanya Villa (Banglo) yang dipunyai oleh Tan Sri Wan Azmi sahaja yang masih boleh disewa oleh para pelancong ketika saya berada di sini. Manakala hotel yang terletak atas tanah yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri sudah tidak beroperasi lagi.

Menurut cerita penduduk tempatan lagi, pengusaha hotel di pulau ini silih berganti. Bagaimanapun, perniagaan Tan Sri Wan Azmi dilihat mampu bertahan sehingga kini kerana polisi beliau yang tidak membenarkan hotelnya menjual arak dan tidak membenarkan pasangan yang belum bernikah daripada menyewa bilik di hotelnya. Mungkin itu salah satu sebab yang memungkinkan perniagaan beliau boleh terus bertahan di pulau lagenda ini.

Bagaimanapun, larangan itu sukar dikuatkuasakan kepada semua pelancong ataupun kakitangannya. Ini kerana, terdapat segelintir pelancong dan kakitangannya yang membawa sendiri arak dari tanah besar ataupun melakukan perbuatan lain yang bertentangan dengan syarak. Keadaan ini telah menyebabkan 15 kakitangannya (termasuk beberapa orang pelancong) mati lemas pada tahun 1998 dalam tragedi bot karam.

Biarpun tragedi malang itu diklasifikasikan sebagai ‘kecuaian manusia’ oleh jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri [sumber], namun mereka yang terselamat dalam kejadian itu tetap percaya yang kejadian itu ada kaitan dengan ‘kecuaian pekerjanya’ yang semakin menjadi-jadi melakukan aktiviti maksiat di resort itu. Ekoran kejadian itu, bilangan pelancong ke Pulau Besar merosot dengan mendadak. Hotel Pandanusa Island Resort & Golf Club yang dimiliki oleh Tan Sri Wan Azmi pada waktu itu terpaksa ditutup dan dijual. Pekerjanya diberhentikan dan Pulau Besar kembali sunyi.

Kononnya, Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah cuba menternak 2 ribu ekor lembu di Pulau Besar sebagai salah satu projek perintis bagi membangunkan pulau ini. Namun kesemua lembu itu mati ‘tanpa sebab’. Kematian lembu-lembu itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan ianya turut dikaitkan dengan ‘kesucian’ Pulau Besar. Kononnya, kawasan ternakan itu adalah kawasan ‘penempatan’ makhluk ghaib dan najis lembu-lembu itu telah mengotorkan tempat mereka.

Kewujudan penempatan makhluk ghaib yang selalunya dikenali sebagai orang bunian di Pulau Besar telah pun diperakui penduduk tempatan sejak dahulu lagi. Tan Sri Wan Azmi telah cuba membangunkan Marina Beach Resort, berhampiran dengan kawasan perternakan lembu yang mati itu. Sebelum pembinaan marina ingin dimulakan, beberapa orang alim telah dipanggil untuk meminta penduduk bunian itu berpindah. Namun, tidak semuanya mahu berpindah dan akhirnya, projek marina itu terbengkalai begitu sahaja sehingga kini biarpun telah 90% siap. Pelbagai kejadian aneh telah menimpa para pekerja kontraktor ketika projek itu sedang dijalankan.

Pusat Dakwah Di Gugusan Kepulauan Melayu

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan. Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini. Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan ajaran Islam.

Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail.

Sebelum Islam datang ke Melaka, penduduk Melaka dipercayai berfahaman Hindu-Budha atau penganut anunisme kerana Sultan Melaka yang pertama iaitu Parameswara dipercayai penganut Hindu. Mengikut teks ‘Sejarah Melayu’ yang dikarang Tun Sri Lanang, Sultan Melaka mendapat mimpi mengenai kedatangan pedagang Islam yang akan berlabuh di Pelabuhan Melaka. Sebaik sahaja mereka tiba, mereka akan melakukan sesuatu (solat) di tepi pantai. Baginda Sultan telah menitahkan Bendahara dan pasukannya menunggu di tepi pantai untuk memastikan samada mimpi yang dialami oleh Baginda itu benar atau tidak. Dengan kuasa Allah SWT, apa yang Baginda mimpikan itu benar-benar terjadi sehingga membawa kepada pengislaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan seluruh tanah jajahannya.

Biarpun terdapat pelbagai versi mengenai teori kedatangan Islam ke bumi Melayu, namun perkara seperti itu sememangnya tidak dapat dielakkan kerana penulis dan pengkaji sejarah pada masa silam biasanya akan menulis sesuatu sejarah itu berlandaskan kepada pemahaman (akal) mereka yang sangat terbatas. Bagaimanapun, kebanyakan pengkaji sejarah kedatangan Islam ke bumi Melayu bersetuju yang penyebaran Islam di bumi Melayu adalah melalui tasawuf; yakni melalui keluhuran dan kesucian budi pekerti para pendakwah silam, yang jelas begitu sejiwa dengan tradisi dan juga resam orang Melayu.

Tidak seperti kedatangan ajaran Kristian ke rantau ini yang melalui proses peperangan dan kekerasan; yang mana ianya dilihat begitu bertentangan dengan sifat Melayu yang bersopan-santun dan berbudi-pekerti. Oleh sebab itu, biarpun Alam Melayu dijajah ratusan tahun oleh pendakwah Kristian, namun ianya tidak mampu menukar kepercayaan Alam Melayu untuk menganut ajaran Kristian.

Oleh kerana Pulau Besar sudah terkenal sebagai pusat bekalan air bersih di kalangan pedagang dan pengembara, maka ia telah muncul sebagai tempat yang paling strategik untuk para pendakwah Islam memperkenal dan mengembangkan ajaran Islam. Peranan Pulau Besar sebagai pusat bekalan air bersih turut diakui oleh Ma Huan, seorang pembantu Laksamana Cheng Ho dalam bukunya YING YAI SHENG LAN (1451), yang telah menyebutkan Pulau Besar digelar Pulau Air @ Wu Shu oleh para pedagang China.

Setelah Kesultanan Melayu Melaka terbentuk dan mencapai era kegemilangannya, Pulau Besar terus menjadi tumpuan kapal-kapal pedagang untuk mendapatkan bekalan air dan kayu api sebelum meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya. Lama-kelamaan, Pulau Besar bukan sahaja dikenali sebagai pusat bekalan air bersih, malah ianya turut dikenali sebagai tempat untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama setelah pulau ini didiami ramai pendakwah Islam.

Tempat Tinggal Pendekar dan Hulubalang Silam

Menurut cerita orang-orang terdahulu, pulau ini telah dibuka dan diterokai oleh orang laut yang sememangnya suka tinggal di kawasan pantai dan tepi laut. Mereka ini menjalankan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber makanan dan juga pendapatan mereka. Ada juga di kalangan mereka yang menjalankan kegiatan negatif seperti menjadi lanun yang merompak hasil nelayan dan juga kapal-kapal pedagang yang lalu-lalang di Selat Melaka.

Orang laut juga dikatakan mempunyai perwatakan yang ganas serta memiliki kepandaian dalam ilmu persilatan dan pembinaan kapal. Kehandalan mereka bersilat dan berenang begitu menggerunkan para nelayan yang mencari rezeki di laut dan juga kepada pedagang yang melalui Selat Melaka. Kisah keganasan yang dilakukan oleh orang laut ada diceritakan dalam teks Hikayat Hang Tuah dan juga Sejarah Melayu.

Oleh kerana Pulau Besar telah menjadi penempatan orang laut pada waktu dahulu, maka ramai yang telah datang ke pulau ini untuk mempelajari ilmu persilatan daripada guru-guru silat yang mendiami pulau tersebut. Terdapat beberapa nama pendekar besar yang dikatakan mendiami pulau ini seperti Panglima Lidah Hitam, Pendekar 7 Beradik, Tok Janggut dan Tok Putih. Diceritakan juga, ada di kalangan pendekar-pendekar yang tinggal di Pulau Besar ini yang mengamalkan ilmu hitam sebelum para pendakwah Islam tiba ke pulau ini.

Dari atas bukit Pulau Besar, kita akan dapat melihat kawasan Bandar Melaka dengan jelas. Maka tidak pelik jika dikatakan sejak dahulu lagi Pulau Besar telah dijadikan salah satu tempat untuk para pembesar dan pengawal Kesultanan Melayu Melaka mengawasi perairan Selat Melaka. Pada waktu itu, jika seseorang itu ingin menjadi pengawal atau hulubalang Istana, sudah tentu seseorang itu harus memiliki ilmu berlawan atau mempertahankan diri yang hebat.

Dipendekkan cerita, selain dijadikan pusat tinjauan perairan Selat Melaka untuk kerajaan silam Melaka, ianya turut dijadikan tempat untuk merekrut dan melatih hulubalang yang baru. Mungkin juga Laksamana Hang Tuah yang bertugas menjaga armada laut Sultan Melaka selalu datang ke pulau ini untuk mengatur sendiri kedudukan pertahanan negeri Melaka. Sehingga kini pun, Pulau Besar turut dijadikan tempat ‘penamat’ latihan untuk beberapa pertubuhan silat di negara ini.

Di atas puncak bukit Pulau Besar, terdapat seketul batu besar yang terbelah dan dikenali sebagai ‘batu belah’ oleh penduduk tempatan. Bahkan, di beberapa tempat lain juga terdapat beberapa batu yang ‘seolah-olah’ di belah oleh ‘sesuatu alat yang sangat bertenaga’. Penduduk tempatan percaya, batu-batu yang terbelah itu adalah peninggalan pendekar-pendekar lama yang menguji ilmu mereka. Sejauhmanakah kebenaran dakwaan ini, wallahu a’lam.

Pulau Hajat?

Pulau Besar dipercayai telah melahirkan ramai pendakwah Islam yang beraliran Sufi. Setelah mempelajari dan mendalami ilmu agama di Pulau Besar, mereka ini akan keluar berdakwah. Ada yang ke Gugusan Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu atau ke tempat lain. Sekali-sekala, mereka kembali ke Pulau Besar dengan membawa sekali para pengikut mereka untuk lebih mendalami ilmu-ilmu agama daripada guru-guru agama yang tinggal di Pulau Besar.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar ilmu persilatan. Sekali-sekala, mereka akan kembali ke Pulau Besar untuk berjumpa guru mereka bagi mendalami ilmu persilatan mereka. Lama-kelamaan, semakin ramai yang telah datang ke Pulau Besar untuk memenuhi hajat mereka; samada mahu mempelajari ilmu agama ataupun ilmu persilatan. Keadaan ini telah membuatkan nama Pulau Besar semakin terkenal dan ada yang memanggilnya ‘pulau hajat’.

Mereka memanggilnya ‘pulau hajat’ kerana kebetulan, ada hajat-hajat mereka itu yang telah termakbul setelah mereka ‘berdoa’ di pulau ini. Keadaan ini telah menyebabkan semakin ramai yang ingin mencuba nasib mereka di sini sehingga membawa kepada perlakuan syirik dan khurafat seperti meminta dengan kubur, batu dan orang yang telah mati.
 

[Sebagai umat Islam, kita diminta menjauhi semua perbuatan syirik kerana perbuatan itu adalah satu dosa besar yang tidak akan dapat mendapat pengampunan daripada Allah SWT sehingga seseorang itu bertaubat dan menyesali perbuatan syirik yang telah dilakukannya itu.]

Menurut cerita beberapa penduduk tempatan yang saya temui, amalan syirik dan khurafat yang dilakukan di pulau ini sudah bermula sejak dahulu lagi. Suatu masa dahulu, pulau ini pernah dijadikan salah satu tempat ‘mandi safar’ yang diisi dengan aktiviti tarian dan nyanyian yang ternyata bercanggah dengan syarak. Hasil dakwah dan kesedaran masyarakat tentang kesalahan amalan itu, tradisi ‘mandi safar’ itu lenyap begitu sahaja.

Aktiviti syirik dan khurafat di pulau ini dipercayai bermula setelah Melaka ditawan penjajah asing dan juga kematian alim ulamak yang tinggal di pulau ini. Akhirnya, tidak ada sesiapa lagi yang tinggal di pulau ini dan ia menjadi seperti tempat yang tidak bertuan. Selepas itu pula, mereka yang datang ke pulau ini telah membuat sesuka hati mereka; termasuk melakukan amalan syirik dan khurafat di atas tempat-tempat sejarah yang terdapat di pulau ini.

Oleh kerana amalan syirik dan khurafat semakin menjadi-jadi di pulau ini, maka kerajaan negeri yang diketuai oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik pada waktu itu telah mengambil tindakan drastik dengan meroboh dan menghapuskan semua bangunan dan tempat-tempat yang seringkali dijadikan tempat melakukan upacara syirik dan khurafat. Pada waktu itu, sebuah resort yang bernama Tapa Nyai telah dibangunkan oleh beliau untuk memodenkan Pulau Besar.

Tindakan beliau telah mendapat tentangan sebahagian daripada penduduk tempatan dan pernah disiarkan oleh akhbar tempatan. Mereka yang menentang tindakan itu berpendapat, tindakan itu bukanlah kaedah yang terbaik untuk menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang terdapat di Pulau Besar. “Yang bersalah bukannya makam itu tapi mereka yang jahil tentang agama. Jika mereka dah tahu itu (perbuatan syirik dan khurafat) tak boleh, mereka takkan buat lagi.” kata salah seorang musafir yang saya temui.

Sheikh Hussein Al-Attas pernah menulis dalam buku beliau yang bertajuk Memo kepada Perdana Menteri [1992]:

“Yang jadi salah ialah bila yang datang itu memikirkan kubur itu yang makan makanan, kubur keramat itu yang menyempurnakan permintaan dan hajat mereka. Orang yang jahil ini mesti diberi pandangan tentang apa itu keramat, bukan ditangkap dan dihukum. Apakah ini zamannya di mana segala 'kebenaran' ditolak sedangkan 'kezaliman' dan 'kejahatan' mendapat sambutan?”

Kononnya, ada dakwaan yang menyatakan pekerja yang membawa traktor untuk merobohkan kompleks makam itu telah gila dan mati tidak lama kemudian. Dan tidak lama selepas itu, negeri Melaka mengalami kemarau panjang sehingga mengakibatkan krisis air terburuk dalam sejarahnya. Kejadian itu telah dikaitkan dengan tindakan Rahim yang telah merobohkan kawasan tinggalan sejarah yang terdapat di Pulau Besar.

Kata Sheikh Hussein Al-Attas lagi:

“Rahim adalah kawan lama saya, bila lama tak jumpa maka tentu ada banyak cerita, terutama mengenai `kemarau', yang menjadikan bumi Melaka kering kontang. Banyak yang meletakkan sepenuh kesalahan di bahu Rahim kononnya disebabkan Rahim merobohkan `Keramat Pulau Besar’, bala telah menimpa negeri Melaka.”

Kebetulan pula, Pulau Besar sudah dikenali sebagai pusat bekalan air bersih sejak dahulu kala.

    "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dan (yang membawa bala dan bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah betapa maha berat seksa-Nya." [Surah Al-Anfal : 25]

Bagaimanapun, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentang kebenaran dakwaan ini.

Usaha Menghapuskan Amalan Khurafat dan Syirik

Menurut kata beberapa penduduk tempatan yang saya temui, aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai syirik atau khurafat sudah agak berkurangan di pulau ini kerana tahap kesedaran orang awam semakin baik serta aktiviti penguatkuasaan telah kerap dilakukan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka.

Pada waktu ini, majoriti pengunjung ke Pulau Besar adalah berketurunan Muslim Pakistan, India (Muslim dan Hindu) serta Melayu. Upacara memuja kubur, batu, pantai atau mandi bunga biasanya dilakukan oleh golongan yang dilihat masih jahil dengan ajaran Islam yang sebenar. Kadangkala, terdapat juga kaum Cina yang bukan beragama Islam yang datang untuk melakukan aktiviti pemujaan di pulau ini mengikut kepercayaan mereka.

Untuk menghapuskan amalan syirik dan khurafat daripada terus berleluasa, Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membina sebuah surau dan melantik 2 orang imam untuk bergilir-gilir menguruskan surau tersebut. Para pengunjung juga dinasihatkan untuk bertanya kepada imam-imam tersebut sekiranya mereka mempunyai sebarang kemusykilan tentang amalan yang ingin mereka lakukan di pulau ini.





Selain itu juga, pegawai MAIM dan pihak polis kerap datang ke pulau ini untuk memantau segala aktiviti yang dijalankan oleh pengunjung di pulau ini. Mereka yang beragama Islam boleh dikenakan tindakan saman jika didapati melakukan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan syarak. Manakala mereka yang bukan beragama Islam akan dinasihatkan supaya tidak mencemarkan kubur-kubur orang Islam dengan barangan pemujaan.

Malah ada juga penduduk tempatan yang prihatin dengan masalah ini telah mengambil inisiatif sendiri dengan membersihkan kawasan tinggalan sejarah yang terdapat di pulau ini daripada semua barangan pemujaan seperti soja, setanggi, kain-kain kuning dan darah haiwan sembelihan.

Tempat-tempat lain yang menarik di Pulau Besar

1) Tasik Biawak (Komodo)

Anda tidak perlu ke Indonesia untuk melihat biawak besar (Komodo) kerana spesis itu boleh dijumpai di Pulau Besar. Ketika berjalan di tepi pantai (bahagian Marina Resort), saya terserempak dengan bekas tapak kaki spesis itu. Pada mulanya saya agak berani untuk menjejaki tapak kaki tersebut, tetapi setelah memikirkan betapa besarnya spesis itu, saya terus melupakan sahaja niat itu.

Terdapat sebuah tasik di bahagian belakang Makam Sultan Ariffin yang digelar tasik biawak. Malangnya, ketika tiba di tasik itu, spesis itu tidak pula kelihatan. Menurut kata penduduk tempatan, dahulu memang mudah untuk melihat spesis itu kerana kedudukan tasik itu hanya bersebelahan dengan tempat pembungan sampah. Setelah banyak resort tidak beroperasi, tiada lagi sampah yang dibuang ke kawasan itu dan keadaan ini membuatkan biawak tersebut terpaksa mencari makanan di tempat lain.

2) Gua Yunus

Menurut cerita penduduk tempatan, gua ini dahulunya menjadi tempat tinggal Syeikh Yunus. Beliau digambarkan sebagai seorang sufi yang suka menyendiri dan hidup terpencil. Seminggu sekali, beliau akan datang ke kawasan penempatan penduduk di pulau ini untuk mendapatkan bekalan makanan. Bagaimanapun pada satu ketika, beliau dilaporkan tidak lagi kelihatan di pulau ini.

Keadaan ini menimbulkan tanda-tanya di kalangan rakan-rakannya yang lain dan juga penduduk tempatan. Mereka akhirnya pergi ke gua tersebut untuk melihat keadaan Syeikh Yunus dan mendapati beliau sudah tidak ada di situ. Peliknya, seketul batu yang menjadi tempat duduknya telah bertukar warna menjadi putih. Padahal, batu-batu dalam gua itu dahulunya berwarna hitam. Ada pelbagai spekulasi yang dibuat oleh penduduk tempatan mengenai kehilangannya. Namun begitu, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentang segalanya.

Selepas ketiadaannya, gua itu sering dijadikan tempat pertapaan oleh mereka-mereka yang mahu mempelajari ilmu tertentu. Tidak dapat dipastikan samada ilmu-ilmu yang dipelajari itu adalah ilmu yang berlandaskan kepada syariat Islam ataupun ilmu-ilmu yang bertentangan dengan syariat Islam. Pada saya, misteri dan keunikan gua itu terletak pada seketul batu yang berwarna putih dalam gua itu.

3) Perigi Tempayan Pecah

Ada pelbagai versi cerita yang dikaitkan dengan perigi ini. Salah satunya mengisahkan seorang nenek tua yang menjadikan tempayan sebagai tempat simpanan harta yang diperolehi nenek itu melalui kerjayanya sebagai bidan dan peniaga ubatan herba di pulau itu.

Pada suatu hari, tempayan itu ingin dicuri dan ketika tempayan itu ingin dilarikan, tiba-tiba tempayan itu pecah. Serta-merta harta yang tersimpan dalam tempayan itu bertukar menjadi air dan bekas tempayan itu tertanam sehingga menjadi seperti sebuah perigi.

Sehingga kini, ramai yang cuba menyeluk tangan mereka ke dalam perigi itu. Keadaannya memang seperti menyeluk sebuah tempayan. Dahulunya, perigi ini terletak benar-benar di kaki air laut dan rasa airnya seperti air tawar yang telah lama bertakung, tetapi tidak berbau sehingga boleh diminum. Setelah kawasan ini dijadikan padang golf, sebuah binaan batu telah didirikan mengelilingi perigi tempayan ini sehingga menghilangkan rupabentuk asalnya.

Kononnya, ada pengunjung yang berjaya mendapat harta peninggalan nenek itu seperti barang kemas, syiling lama dan sebagainya ketika menyelukkan tangan ke dalam perigi itu. Bagaimanapun, hanya mereka yang ‘bernasib baik’ sahaja yang akan memperolehinya. Sejauhmanakah kebenarannya, wallahu’alam kerana saya sendiri tidak mencubanya.

4) Perigi Bunian

Perigi ini terletak di bahagian kanan kawasan Marina Beach Resort dan kedudukannya memang hampir dengan pantai. Terdapat pokok bakau dan juga pokok mengkuang di sekelilingnya. Dalam banyak-banyak perigi yang saya temui di pulau ini, saya dapati air di perigi ini yang paling jernih dan bersih. Ketika saya sampai ke perigi ini, terdapat beberapa pengunjung lain yang sedang melakukan upacara ‘yang saya tidak ketahui’ di perigi tersebut.

Menurut cerita orang tempatan, perigi ini digelar perigi bunian kerana nelayan yang sering berlindung di kawasan ini ketika cuaca buruk selalu terdengar suara sekumpulan wanita sedang bersuka-ria di perigi itu. Oleh kerana kedudukan perigi itu terletak dalam kawasan perkampungan orang bunian, maka ia didakwa sebagai perigi yang dikuasai orang bunian. Tidak jauh dari kawasan perigi ini pula terdapat sebuah tasik yang dipanggil tasik bunian.

Sejak akhir-akhir ini, perigi bunian begitu popular di kalangan pengunjung Pulau Besar. Kebanyakan yang datang ke perigi ini dikatakan membawa hajat tertentu. Saya perhatikan, terdapat banyak bungkusan mentera yang dibalut dengan kain kuning yang telah digantung pada rimbunan pokok-pokok yang terdapat di sekeliling kawasan perigi ini. Perbuatan ini dipercayai dilakukan oleh mereka yang beragama Hindu.

5) Makam Bersaiz Panjang

Semua makam-makam utama yang terdapat di Pulau Besar dilihat bersaiz panjang dan melebihi ukuran tinggi manusia. Keadaan ini boleh disaksikan pada Makam Sultan Ariffin, 7 Beradik, Sharifah Rodziah, Tok Putih dan lain-lain lagi.

Ada pelbagai cerita yang telah dikaitkan dengan saiz makam tersebut. Bagaimanapun, saiz tersebut tidak menjadi sesuatu yang pelik. Ini kerana, orang zaman dahulu memang suka memanjangkan saiz kubur seseorang yang mempunyai nama dalam masyarakat untuk menghargai jasanya dan juga untuk memudahkan generasi akan datang mengenali kubur si mati itu.

Keadaan ini juga boleh dilihat pada saiz Makam Tun Teja yang terdapat di Kampung Sempang Pantai, Melaka.

Pantang-larang di Pulau Besar

Bagi mereka yang tidak pernah ke Pulau Besar, terdapat beberapa pantang-larang yang seeloknya dipatuhi untuk mengelakkan anda daripada mengalami sesuatu perkara yang tidak diingini. Antara pantang-larang itu adalah :

1) Jangan bawa atau minum arak ke pulau ini.
2) Jangan bawa atau makan daging babi atau anjing ke pulau ini.
3) Jangan lakukan aktiviti maksiat di pulau ini.
4) Jangan berniat jahat, cakap besar, berlagak atau bodoh sombong.

Menurut kepercayaan orang tempatan, mereka yang melanggar pantang-larang ini selalunya akan mengalami nasib buruk seperti mati lemas, gila dan sebagainya. Di pulau ini, terdapat sebuah pokok besar yang dipanggil “Pokok Disula”. Menurut cerita orang terdahulu, pokok ini telah menyula sepasang kekasih yang sedang berzina di kawasan pokok itu. Sehingga kini, kesan itu masih dapat dilihat pada pokok tersebut.

Pada saya, semua pantang-larang yang dikenakan itu adalah selaras dengan kehendak Islam. Umat Islam sememangnya diminta melaksanakan pantang-larang itu di sepanjang hayat mereka, biar di mana pun mereka berada. Cuma mungkin di Pulau Besar, balasan Allah SWT dilihat segera dijatuhkan kerana kesucian pulau itu sebagai tempat tinggal dan persemadian para Wali Allah SWT. Wallahu’alam.

Panduan ke Pulau Besar

Untuk ke Pulau Besar, anda boleh menaiki feri dari Jeti Anjung Batu atau menyewa bot laju di Muara Sungai Umbai, Melaka :

1) Tambang feri untuk perjalanan pergi dan balik hanya RM 14 seorang. Masa perjalanan dari Jeti Anjung Batu ke Pulau Besar sekitar 20 minit sahaja. Feri hanya akan berlepas pada jam 8 pagi, 10 pagi, 12 tengahari, 2 petang, 4 petang dan 6 petang sahaja.

2) Anda boleh juga menyewa bot laju di Muara Sungai Umbai, Melaka. Kadar sewaan yang dikenakan untuk sebuah bot laju adalah RM 120 (pergi dan balik). Bot ini boleh memuatkan sehingga 10 orang penumpang. Masa perjalanan bot ini bergantung pada permintaan anda. Bayaran tambahan sehingga sekali ganda akan dikenakan sekiranya anda bertolak pada waktu malam.

    Tips : Bagi mereka yang gerun menaiki bot atau feri, sila pastikan anda menaiki bot atau feri ketika air laut sedang surut dan tiada angin kencang. Sila semak jadual air pasang-surut di akhbar-akhbar tempatan ketika merancang perjalanan anda.

Kemudahan penginapan di Pulau Besar

Pada ketika ini, terdapat 2 jenis penginapan yang terdapat di Pulau Besar. Semua resort dan chalet tidak lagi beroperasi. Bagaimanapun, anda boleh:

1) Menyewa Banglo 3 bilik, 4 bilik dan 5 bilik yang terletak di bahagian pulau yang menghadap tanah besar Melaka. Harga yang ditawarkan dari RM 300 ke RM 500 untuk satu malam. Kemudahan yang disediakan di banglo berhawa dingin ini memang lengkap dengan periuk nasi, peti ais dan dapur memasak. Ianya boleh memuatkan sehingga 15 orang bagi banglo 3 bilik. Sebuah kolam renang turut disediakan kepada pengunjung di banglo ini. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi: 013-6232184/016-6588241


2) Menyewa khemah kecil yang berharga RM 30/malam atau khemah besar yang berharga RM 50/malam. Khemah kecil boleh memuatkan sehingga 3 orang dewasa dan agak selesa kerana tikar juga turut disediakan. Anda boleh meminta pengusaha khemah itu untuk membina khemah tersebut di mana-mana juga kawasan yang anda sukai. Bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang kesulitan, anda dinasihatkan supaya mendirikan khemah di kawasan yang berdekatan dengan kemudahan tandas dan juga lampu jalan. Untuk menyewa khemah, anda boleh dapatkan di papan tanda sewa khemah yang banyak dipaku pada pokok-pokok yang terdapat di kawasan Pulau Besar.

Kemudahan tempat makan

1) Di Pulau Besar, anda tidak perlu bimbang jika tidak membawa bekalan makanan kerana terdapat wakaf yang menyediakan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam secara percuma pada setiap hari. Menunya adalah ‘masakan mamak’ dan bergantung pada bilangan pengunjung yang terdapat di Pulau Besar pada hari tersebut. Kebiasaannya pada waktu puncak seperti hujung minggu, mereka akan memasak kari kambing.

2) Terdapat juga deretan kedai makan berhampiran dengan kawasan makam Sultan Ariffin yang menjual nasi campur dan menu lain. Makanan ringan seperti snek, barangan runcit seperti lilin, sabun, ubat nyamuk dan minuman botol juga ada dijual. Cuma harganya agak mahal. Lebih 50 – 100% daripada harga biasa di Tanah Besar. Jika anda jenis yang ikut ‘budget’, lebih elok jika anda membawa bekal makanan anda sendiri kerana kedai ini hanya beroperasi pada siang hari pada hari biasa.

Kemudahan lain yang terdapat di Pulau Besar

1) Surau

Terdapat 2 buah surau yang disediakan di Pulau Besar Melaka. Bagaimanapun, saya mencadangkan anda menggunakan surau yang dibangunkan oleh kerajaan negeri yang terletak bersebelahan kawasan makam Sultan Ariffin kerana solat jemaah diadakan pada setiap waktu solat.

2) Pengangkutan

Terdapat van ‘koboi’ yang boleh anda naiki dari jeti Pulau Besar ke kawasan makam atau sebaliknya. Bayaran dikenakan hanya RM 2 seorang. Masa perjalanan van ini mengikut waktu ketibaan dan pelepasan feri.

Jika anda tidak kisah untuk berjalan kaki selama 15 ke 20 minit dari jeti ke kawasan makam, anda boleh abaikan maklumat ini.

Van itu juga boleh disewa sekiranya anda berhasrat untuk mengelilingi kawasan pulau sambil melawat tempat-tempat misteri yang saya katakan sebelum ini. Bayaran yang dikenakan adalah RM 50 ke RM 100 untuk 1 van (bergantung kepada jumlah tempat yang anda ingin lawati)

3) Tandas Awam


Terdapat 2 tandas awam yang boleh digunakan untuk membuang air atau mandi. Ianya terletak di kawasan makam Sultan Ariffin dan Wakaf 7 Beradik. Bayaran yang dikenakan adalah 30 sen untuk buang air dan RM 1 untuk mandi.

4) Perigi Wakaf

Di sekeliling pulau, terdapat banyak perigi wakaf yang boleh anda gunakan untuk mandi, mencuci pakaian atau mendapatkan bekalan air bersih untuk dimasak.

5) Elektrik

Di kawasan makam Sultan Ariffin sehingga ke kawasan Wakaf 7 Beradik ada disediakan lampu jalan pada waktu malam. Di kawasan lain, tiada bekalan elektrik kerana bekalan elektrik di pulau ini dijana oleh generator yang menggunakan diesel.

Jika anda ingin mengecas bateri telefon bimbit atau komputer riba, anda boleh menggunakan soket yang terdapat di dalam surau. Jika anda ingin menggunakan kemudahan ini, silalah dermakan sedikit wang kepada tabung surau.

6) Jurupandu jalan


Sekiranya anda tidak pernah pergi atau tidak tahu tempat-tempat menarik yang terdapat di pulau ini, anda bolehlah mendapatkan khidmat jurupandu jalan yang selalu berada di kawasan Makam Sultan Ariffin. Anda bolehlah berbincang dengan jurupandu tersebut mengenai harga yang ingin dikenakan. Selalunya, bayaran untuk perkhidmatan mereka tidak lebih dari RM 100.

Jangan lupa memakai pakaian yang sesuai dan bawa sekali bekal minuman kerana perjalanan yang ditempuh agak jauh. Lebih-lebih lagi, anda perlu mendaki bukit serta meredah belukar dan pantai.

Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan di Pulau Besar


Selain daripada menjelajah tempat-tempat misteri di Pulau Besar, anda bolehlah merancang percutian anda; samada berseorangan, bersama keluarga ataupun berkumpulan seperti:

1) Memancing atau Mencari Ketam

Ketika air sedang pasang, aktiviti memancing pasti menyeronokkan pada kaki pancing. Manakala pada waktu malam, ketika air laut sedang surut, anda bolehlah mencari ketam-ketam kecil yang banyak terdapat di kawasan pantai yang berbatu. Apa yang perlu anda bawa hanyalah lampu suluh, sebatang kayu untuk menekan badan ketam dan beg plastik untuk menyimpan ketam.

2) Membuat unggun api


Perkhemahan anda tentunya tidak meriah jika anda tidak membuat unggun api. Untuk membuat unggun api, anda tidak perlu membawa sebotol minyak gas. Pertama, anda perlulah membakar ranting-ranting kecil terlebih dahulu. Setelah ianya terbakar, barulah anda letakkan ranting kayu yang lebih besar, besar dan besar. Unggun api berguna untuk acara barbeque, menghangatkan badan anda dan menghalau binatang buas.

3) Membaca Al-Quran dan berzikir

Membaca Al-Quran dalam khemah dengan disinari cahaya lilin amat mengasyikkan sekali. Jika anda mempunyai masalah penglihatan, berzikir dan menunaikan solat sunat secara berseorangan dalam khemah memang sesuatu yang khusyuk dan mendamaikan. Terasa seolah-olah diri ini begitu dekat dengan Allah SWT. Anda perlu mencubanya.

4) Menganjurkan Khemah Ibadat


Pulau Besar memang sesuai dijadikan tempat perkhemahan ibadat kerana suasananya yang tenang dan mendamaikan. Anda tidak memerlukan dewan yang berhawa dingin dengan segala kelengkapan moden. Apa yang perlu anda sediakan adalah guru agama yang terlatih dan kawasan perkhemahan yang sesuai. Program seperti tazkirah, cara bersolat yang betul, berzikir, belajar cara-cara penyembelihan haiwan, menghafal doa dan ayat-ayat lazim, gotong-royong membersihkan kawasan kubur dan pantai, mengenal sifat-sifat Allah dan sebagainya boleh dilakukan di pulau ini dan saya yakin, kesannya amat ketara sekali kepada peserta program ini.

5) Menulis dan membaca buku

Saya mendapat ilham dan menulis kerangka posting ini ketika berada di Pulau Besar. Bagi seorang penulis, kedamaian yang dialami ketika berada di pulau ini memang mudah mencetuskan ilham. Sayangnya, saya tidak membawa sekali notebook dan kamera saya. Apapun, saya berjaya membaca buku yang dibawa hingga tamat dan insya’Allah, pada kunjungan akan datang ke pulau ini, saya akan lebih bersedia.

Kesimpulan

Khazanah alam dan kesan tinggalan sejarah yang terdapat di Pulau Besar wajar dipelihara oleh pihak-pihak yang berkenaan. Satu kajian yang lebih terperinci perlu diadakan sebelum apa-apa projek pembangunan ingin dilaksanakan di pulau ini. Kita tidak mahu lagi melihat kegagalan projek-projek pembangunan yang terdahulu yang tentunya telah mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit terus berulang di masa akan datang.

Memang menyedihkan mata sesiapa yang memandang bila keindahan yang terdapat di pulau ini telah dicemari oleh keadaan resort dan chalet yang kian usang dan terbiar begitu sahaja. Khabarnya, Pulau Besar akan dibangunkan sebagai pusat bekalan minyak kepada kapal dagang yang melalui Selat Melaka. Sebahagian lautnya akan ditambak dengan pasir. Manakala sebuah pusat peranginan petroleum akan dibina di pulau ini. [sumber]

Persoalannya kini, adakah projek itu nanti akan menjadi penyelesai kepada segala kesulitan dan juga kegagalan projek-projek terdahulu atau kesudahannya nanti akan serupa dengan projek-projek yang terdahulu?

Pada hemat saya, Pulau Besar tidak memerlukan projek-projek pembangunan baru yang bernilai ratusan juta ringgit. Apa yang perlu difikirkan bersama adalah kaedah yang terbaik untuk membaikpulih bangunan-bangunan yang sedia ada untuk diubahsuai menjadi ‘Muzium Sejarah & Khazanah Pulau Besar Melaka’ serta ‘Pusat Pengajian Islam’ yang bertaraf kolej atau universiti dan juga sebuah kem tentera atau Pusat Latihan Polis sebagaimana fungsi asal pulau tersebut.

Sebuah perkampungan kecil yang berkonsepkan rumah orang laut juga boleh dibina. Mereka-mereka yang telah lama menetap di pulau itu boleh ditawarkan rumah-rumah yang dibina itu dengan bayaran sewa yang berpatutan. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menjalankan perniagaan homestay dan menjual cenderahati kepada pengunjung. Perkampungan tersebut pula boleh dijadikan ‘muzium hidup’ kepada pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Besar.

Tempat-tempat peninggalan sejarah seperti makam, gua dan perigi wajarlah diperindahkan dengan binaan yang bercirikan tradisi dan dihiasi landskap taman yang menawan. Satu papan tanda yang menerangkan tentang sejarah tempat itu hendaklah didirikan bagi memudahkan pemahaman mereka yang datang berkunjung.

Untuk memastikan segala aktiviti berunsur syirik atau khurafat dapat dihapuskan di Pulau Besar, sebuah balai polis kecil yang menempatkan beberapa orang anggota secara tetap patut didirikan. Manakala beberapa pegawai MAIM bolehlah ditempatkan di situ. Dengan itu, penguatkuasaan undang-undang dan aktiviti pencegahan boleh dilakukan secara kerap dan bersama antara MAIM, polis dan juga ustaz-ustaz yang bertugas di Pusat Pengajian Islam yang bakal didirikan itu nanti.

Mungkin dengan cara ini, kegemilangan Pulau Besar akan dapat dikembalikan sebagaimana saat-saat kegemilangannya di masa silam. Wallahu’alam.

Kredit Sumber: 

nuraflah.blogspot.com
wadahpanglima.blogspot.com
                       

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©