Penyamun Maut Tertikam Parang Sendiri

Wednesday, April 03, 2013 by
Anggota forensik melakukan pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan rakan suspek.



PUCHONG – Niat seorang lelaki untuk menyamun pemilik sebuah syarikat membawa padah apabila dia maut terkena tikaman parang yang digunakannya untuk mencederakan mangsa dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa seorang warga Singapura bersama dua pekerjanya baru turun dari kereta dan berjalan kaki ke sebuah restoran di Bandar Puteri 1.

Menurutnya, mangsa yang memiliki syarikat peralatan mekanikal dan elektrik di Taman Perindustrian Puchong itu didatangi suspek dan berlaku pergelutan ketika suspek cuba merentap beg disandang mangsa.

Bagaimanapun, katanya, ketika pergelutan, pekerja mangsa datang menumbuk suspek dari belakang menyebabkannya terjatuh dan parang digunakan terlepas.

"Rakan subahat datang membantu suspek dan berlaku pergelutan selama beberapa minit menyebabkan seorang daripada suspek cedera di paha manakala mangsa terkena libasan parang  pada dada serta jari.

"Suspek kemudiannya memapah rakan subahatnya menaiki kereta Perodua Myvi putih," katanya.

Abd Razak berkata, rakan subahat meninggalkan suspek dalam kereta terbabit di kawasan parkir sebuah pusat sukan kira-kira 500 meter dari sebuah hospital swasta dan tempat kejadian.

Menurutnya, suspek 23 tahun yang terkena tikaman menembusi pahanya itu disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira 1.45 tengah hari.

"Mangsa yang cedera terkena libasan parang pula dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

"Manakala pekerja mangsa iaitu pasangan adik-beradik sekitar usia 20an hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Razak percaya terdapat lebih dua suspek terbabit dengan kejadian itu.

"Pemeriksaan terhadap kereta ditinggalkan menemukan dua parang dan satu daripadanya ada kesan darah selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek yang mati juga mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis berhubung kes samun di Perak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta berhubung dengan balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerusi 03-80620485.

OLEH NUR FARHANA ABDUL MANAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©