Kes Potong Kemaluan Bapa: Ibu Dakwa Anaknya 'Seolah-olah Dirasuk'

Monday, March 25, 2013 by
Isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Semah, 66, masih trauma dengan tragedi melibatkan anak dan suaminya.


Mangsa, 67, yang putus kemaluan difahamkan dalam keadaan kritikal. 
 

DUNGUN - “Dia seorang anak yang baik, tak sangka dia sanggup bertindak begini,” luah ibu kepada seorang lelaki yang memotong kemaluan bapanya dalam satu kejadian, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek, 40, dikatakan naik angin sebelum bertindak memukul bapanya, selain turut menendang mangsa.

Tidak cukup dengan itu, suspek kemudiannya masuk ke dapur dan mengambil pisau pemotong sayur lalu bertindak memotong kemaluan bapanya, sebelum turut memotong kemaluannya sendiri.

Menurut isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Semah, 66, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.

Isteri peneroka Felda itu menceritakan, sebaik tersedar dari tidur, dia melihat anaknya sedang membelasah suaminya, lalu dia bertindak menjerit sekuat hati untuk menghalang anak lelakinya itu daripada terus memukul bapanya. Keadaan suspek ketika itu seolah-olah dirasuk.

Wanita berkenaan memberitahu, walaupun cuba menghalang, namun anaknya itu tetap memukul bapanya dan sekali lagi dia terkejut apabila suspek yang bersenjatakan pisau yang diambil dari dapur, bertindak menyerang bapanya sebelum memotong kemaluan mangsa.

“Dia macam tidak sedarkan diri, selepas potong kemaluan bapanya, dia potong kemaluan sendiri pula.

"Saya macam tidak percaya dia sanggup bertindak begitu kerana sebelum ini dia tidak pernah menderhaka pada kami,” kata ibu malang itu.

Selepas tragedi berdarah itu, suspek dan bapanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Menurut warga emas itu, anak lelakinya itu difahamkan pulang bercuti di rumahnya di Felda Kerteh Enam sejak beberapa hari lalu, manakala isteri dan anak-anaknya masih berada di Kuala Lumpur kerana sesi cuti persekolahan baru bermula.

Ibunya memberitahu, sebelum ini anak lelakinya itu tidak pernah berperangai sedemikian dan sejak pulang, tiada perubahan ditunjukkan oleh suspek.

"Sejak pulang bercuti di kampung, dia kelihatan biasa sahaja.

“Cuma yang pelik pagi kelmarin, saya lihat dia sedang menari-nari dalam rumah. Dia tak pernah berperangai begitu sebelum ini, tapi saya tak syak apa-apa kerana mengagak dia hanya main-main,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, isteri suspek yang hanya ingin dikenali sebagai Su berkata, suaminya itu pulang awal ke kampung, manakala dia pulang berasingan bersama anak-anak ekoran cuti sekolah baru bermula.

Su berkata, kali terakhir dia menghubungi suaminya itu kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, sehari sebelum kejadian.

Menurut Su, dalam perbualan telefon, suaminya itu menyatakan perasaan rindunya pada anak-anak dan meminta isterinya itu segera pulang ke kampung mentuanya di Felda Ketengah Jaya.

Su berkata, ketika berada di rumahnya di Balakong, Selangor, tiada perubahan pelik ditunjukkan suaminya itu, cuma bapa kepada tiga anak itu sejak seminggu lalu kerap kali berulang ke masjid, selain tidak meninggalkan solat lima waktu.

Menurut wanita yang berasal dari Machang Kelantan itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Dungun dan kejadian itu diketahuinya setelah dihubungi ibu mentuanya.

“Bila saya tengok perubahan dia ke arah itu (kebaikan) saya bersyukur sebab dia semakin dekat dengan tuhan.

"Namun saya terkejut apabila diberitahu ibu mentua, dia melakukan perkara yang tidak masuk akal ini,” katanya yang ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Dua beranak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Mangsa, 67, yang putus kemaluan difahamkan dalam keadaan kritikal.

OLEH RUBIAH OMAR & NIK MUHAMMAD RAFFIQ

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©