PENGGANAS Sulu yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia memakai tangkal dipercayai untuk menjadi kebal.
Lahad Datu: Tangkal bertulisan Arab dipercayai ayat al-Quran dan al-Quran kecil yang dipakai serta dibawa sepanjang masa oleh pengganas Sulu kononnya untuk menjadi kebal, ternyata tidak berkesan apabila 53 daripada mereka mati ditembak di dua lokasi berasingan di Lahad Datu dan Semporna sejak 1 Mac lalu.
Tangkal terbabit ditemui ketika pemeriksaan pada mayat pengganas oleh pasukan keselamatan. Buku kecil bertulisan Arab dipercayai al-Quran kecil yang diikat dengan tali dan dililit di pinggang.
Malah tangkal itu difahamkan turut ditemui pada mayat seorang daripada pengganas yang ditembak pada 6 Mac lalu di Kampung Tanduo di sini, dan amat menyedihkan tangkal itu dipakai di celah kelangkang.
Menurut sumber, pengganas terbabit menganggap pemakaian tangkal itu dapat melindungi mereka daripada ditembusi peluru tetapi tetap kecundang ditembak pasukan keselamatan dalam pertempuran.
Pengamal perubatan Islam Sharhan Shafie ketika mengulas tindakan pengganas Sulu itu memakai tangkal berkenaan berkata, ia dianggap sebagai amalan sihir kelas pertama.
“Dalam pengamalan sihir ini, semakin Allah murka, semakin ilmu itu menjadi. “Mungkin itu pertimbangan pengganas terbabit menyebabkan dia tergamak meletakkan ayat al-Quran di tempat yang tidak bersih kerana hampir dengan kemaluan,” katanya.
Menurutnya, pemakai tangkal seperti itu yakin pihak musuh menghadapi kesukaran ketika berdepan mereka dengan bantuan ghaib termasuk pandangan dialihkan menyebabkan mereka terselamat walaupun berada dalam kepungan.
“Ia dimurkai Allah selain sihir kelas pertama seperti dinyatakan Rasulullah. Saya syorkan anggota keselamatan beragama Islam membaca surah al-Furqan ayat 23 bagi menghindari sihir diamalkan musuh,” katanya.
dah la masuk ceroboh negara orang......mati kena tembak...pakai tangkal yang jelas syirik lak tu....hmmmmm
ReplyDelete