Perghh!! Nasi Lemak Liverpool

Monday, February 25, 2013 by
Nasi lemak satukan peminat bola.Suasana bingit ketika menyaksikan perlawanan bola sepak adalah perkara biasa di sini.

MUNGKIN tidak ada kena mengena antara nasi lemak dan bola sepak. Namun itulah hakikat yang boleh dilihat di sebuah kedai di Jalan Batu Lanchang, Georgetown, Pulau Pinang, apabila makanan tradisi masyarakat Melayu itu mendapat sambutan setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak.

Kedai yang terletak di bahagian bawah flat perumahan kos rendah Batu Lancang itu akan dipenuhi orang ramai setiap kali perlawanan bola sepak terutamanya pertembungan pasukan pilihan Liga Perdana Inggeris. 

 
Kedai Nasi Lemak Liverpool begitu sinonim dengan masyarakat tempatan yang akan bersama menyaksikan perlawanan bola sepak sambil menikmati hidangan nasi lemak.

Kedai yang dibuka sejak tahun 2000, adalah hasil inspirasi kalangan peminat fanatik pasukan Liverpool, yang pada asalnya mahu menjadikan kedai berkenaan sebagai lokasi untuk mereka berkumpul dan mengadakan aktiviti.

Apa yang menariknya, kedai berkenaan dipenuhi dengan pelbagai poster pemain Liverpool, cenderamata eksklusif pasukan berkenaan dan skrin layar besar untuk menonton perlawanan bola sepak beramai-ramai.

Sinar Harian sempat bersama ratusan peminat Liverpool menyaksikan satu perlawanan pasukan itu baru-baru ini. Suasana di kedai berkenaan seolah-olah seperti di stadium yang bingit dengan jeritan sokongan walaupun mereka hanya menyaksikan perlawanan di kaca televisyen dan skrin layar besar yang disediakan.


Fadzley di sini koleksi barangan eksklusifnya. 


 
Pemilik kedai berkenaan, Fadzley Kamarulzaman, 38, berkata, hasil dorongan kalangan rakannya, beliau bersetuju untuk menjadikan kedainya sebagai markas penyokong Liverpool di negeri ini.

“Setiap kali ada perlawanan bola sepak terutamanya melibatkan pasukan Liverpool, kedai ini akan dipenuhi 300 penyokong sama ada dari pasukan Liverpool mahupun penyokong pasukan lawan," katanya.

Fadzley berkata, antara aktiviti lain yang pernah diadakan ialah program santai bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, perlawanan futsal persahabatan dan aktiviti amal bersama masyarakat setempat.

Diiktiraf makanan terbaik

Hiasan dan susun atur di dalam kedai makan itu, membuatkan pengunjung tertarik untuk melihat lebih dekat poster dan cenderamata yang dipamerkan. Fadzley menghabiskan kira-kira RM30,000 untuk mengusahakan kedai berkenaan.



Antara menu yang disediakan di Nasi Lemak Liverpool.

 
Sebahagian barangan eksklusif yang dipamerkan di kedainya itu dibeli ketika menonton perlawanan bola sepak di Liverpool beberapa tahun lalu dan selebihnya adalah pemberian rakannya.

Selain menjadi lokasi tumpuan peminat dan kaki bola, antara tarikan lain kedai berkenaan adalah menu nasi lemak spesial dan aneka lauk pada harga bermula RM3.

Menurut Fadzley, kedai makanannya itu pernah mendapat pengiktirafan makanan terbaik daripada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang dua kali berturut-turut iaitu pada 2002 dan 2003.

Bagi peminat bola sepak dan penggemar nasi lemak bolehlah berkunjung ke kedai berkenaan yang akan dibuka bermula jam 5 petang sehingga lewat malam dan ia hanya akan ditutup pada setiap Selasa.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Kedai Nasi Lemak Liverpool, anda boleh berkunjung di laman www.facebook.com/groups/nasilemakliveerpol.

OLEH MOHD ISKANDAR OTHMAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©